Sinar Kehidupan

Hidup ialah Sebuah Perjuangan

Sarjana

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah... Akhirnya dapat juga menjenguk laman ini. Tuntutan kerjaya dan bekerja sambil belajar membuatkan aku hampir terlupa akan kehadiran laman ini. Dalam perjalanan hidup ini, terlalu banyak yang indah sehingga tak dapat dinukilkan dalam laman ini. Salah satu anugerah yang Allah berikan setelah melalui pelbagai dugaan dan cabaran ialah kejayaan menggenggam ijazah sarjana. Terima kasih ya Allah.


Segalanya dalam perjalanan sarjana ini tercapai semuanya dengan rahmat daripada Allah yang terlalu luas. Bukan daripada diriku sendiri. Juga doa ibu bapa yang tak pernah putus. Harapnya dengan hadiah yang Allah berikan ini, aku tidak lupa setiap yang terjadi itu datangnya atas rahmat-Nya. Insya-Allah.

Seuntai kata untuk dirasa : Pasca graduan yang banyak mengajar erti berdikari.

Its your dreams

بسم الله الرحمن الرحيم


The moment you live your dreams, not because of what it will prove or get you, but because that is all you want to do. People’s opinions don’t matter. 

Seuntai kata untuk dirasa: Pedulikan kata-kata negatif, yang penting awak positif.

Perjuangan dalam mencapai impian

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini aku ingin berkongsi bagaimana aku mula berazam untuk menjejakkan kaki ke menara gading seletah menjadi seorang graduan di Institut Pendidikan Guru(IPG). Aku punya sasaran sendiri. Setahun sebelum berada di tahun akhir, aku telah merangka peta hidup. Setahun selepas bekerja, aku ingin melanjutkan pelajaran di universiti. Kemudian, setahun selepas itu, aku mahu membuka bisnes kecil-kecilan sambil belajar dan bekerja. Perancangan aku telah lakukannya dengan baik. Namun, perancangan Allah adalah yang terbaik.

Sebagai seorang guru baharu, tambahan pula dengan bebanan tugas guru yang amat berbeza sekali dengan guru zaman dahulu, aku mula berasa sedikit terbeban. Hanya guru-guru yang memahami apakah yang bebanan itu. Aku mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri di SJKC walaupun pada hakikatnya nampak cool sahaja tetapi hanya Allah yang tahu apa yang aku tanggung. Memang Allah campakkan di sana terlalu besar hikmahnya. Sebenarnya, aku ingin mengajar di Kuala Lumpur ataupun di Pulau Pinang. Kenapa Kuala Lumpur? 

Kuala Lumpur tentunya kerana kota itu penuh diisi dengan ilmu. Masjidnya pula sentiasa hidup dan aktif meskipun aku tidak suka akan kesesakan jalan rayanya yang berpanjangan. Aku suka sekali ke Perpustakaan Negara dan sebab utama aku ingin mengajar di KL tentunya kerana ingin ke Universiti Malaya. Aku ingin belajar di UM sambil mengenang kembali zaman IPG yang banyak mengajar aku untuk berdikari. UM dan IPG KBM bersebelahan sahaja. Selain itu, minat pada teknologi dan fotografi membuatkan aku tidak jemu ke Plaza Lowyat. Namun, kuasa Allah tempatkan bukan di KL bukan juga di Penang. 

Impian empat tahun dahulu

Setelah dua tahun menyesuaikan diri di SJKC, barulah hati aku terbuka untuk memohon kemasukan ke universiti. Aku menyenarai pendek beberapa buah universiti seperti UPM, UKM, USM dan UPSI. Kemudian, senarai aku menjadi lebih pendek, iaitu antara USM dan UPSI. Akhirnya, aku memilih UPSI yang sememangnya dekat dengan dunia pendidikan yang aku cintai. Alhamdulillah, dengan izin Allah aku berjaya. Aku masih ingat pada hari pendaftaran, aku bergerak sendirian  ke UPSI. Dengan doa ibu bapa aku, aku berjaya sampai jua walaupun tidak tahu jalan ke UPSI. Hanya bergantung kepada papan tanda jalan. Terima kasih Kuala Lumpur kerana banyak melatih aku berdikari. 

Pada hari pertama mendaftar, aku sudah diduga. Pembantu tadbir sekolah menelefon bertanyakan aku berada di mana. Guru Besar sudah membekukan cuti rehat aku kerana ada pegawai KPM datang ke kawasan aku mengajar untuk membuat pemantauan. Jika ada guru yang bercuti semasa pemantauan dibuat, Guru Besar dan sekolah akan dikenakan tindakan. Pintu dewan pendaftaran pun masih belum dibuka pada waktu itu. Jadi, sebaik sahaja pendaftaran dibuka, aku terus berjumpa dengan pegawai yang bertugas untuk meminta bantuan. Setelah selesai pendaftaran, aku terus pulang ke sekolah dengan kelajuan 130 km/j. Aku singgah di rumah untuk mengambil buku rekod mengajar dan terus ke sekolah. Berjaya juga tiba akhirnya. Petang itu, aku kembali semula ke UPSI untuk taklimat seterusnya. Penat berkejaran ke sana sini macam perjalanannya dekat sangat kan. Namun, aku tidak salahkan Guru Besar kerana tugasnya jua yang mendesak beliau berbuat demikian. Itulah aturan Allah. 

Setiap pilihan ada bayarannya

Apabila memilih untuk melanjutkan pelajaran sambil bekerja, banyak perkara yang perlu difikirkan. Aku sudah tiada masa untuk membuang masa. Seperti yang aku ceritakan semasa entri terdahulu. Bebanan kerja sekolah ditambah pula dengan presentation dan kerja kursus yang amat susah pada setiap minggu. Aku kuatkan semangat. Belum pernah lagi air mata mengalir kerana aku terus sahaja menghadapi arus ini mengikut alirannya. Kesibukan sudah menjadi aku. Aku pula sudah menjadi sibuk. Itulah yang perlu aku bayar dengan pilihan ini. Aku tidak akan undur ke belakang. Malah, aku akan sedaya upaya maju ke hadapan kerana inilah impian aku, tujuan aku dan matlamat aku. Allah telah hadiahkan aku sebuah impian, dan aku perlu hargainya.

Dalam perjuangan menuntut ilmu ini, Allah tidak pernah biarkan aku sendirian. Di mana-mana Allah sentiasa ada untuk aku. Allah hadiahkan kawan-kawan yang baik hati dan sentiasa mendahulukan orang lain. Andai aku kesusahan, mereka tidak keberatan untuk menolong. Malah, ada seorang rakan non-Muslim yang amat aku hormati. Akhlaknya memang menonjolkan akhlak islami meskipun agamanya bukan Islam. Selain itu, ada pensyarah yang bukannya hanya mengajar tetapi juga membentuk pemikiran aku dan teman-teman untuk berfikir luar daripada kebiasaan. Mereka juga mendidik bukan hanya mengajar. Apa sahaja yang aku lalui semuanya adalah satu pengajaran untuk kehidupan. Setiap yang yang berlaku kepada kita, fikirkanlah semula apa yang Allah mahu kita tahu. Fikirkan. Kemudian, anda akan tahu betapa sayangnya Allah kepada anda.

Kakak-kakak yang sentiasa menjadi tulang belakang antara satu sama lain

Doa

Saat ini, aku masih berjuang menyiapkan tugasan kerja kursus yang paling susah untuk semester ini. Mohon doakan aku, kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang membaca entri ini. Doakan aku agar tidak mengaku kalah, sentiasa bersangka baik dengan Allah, positif selalu dan dipermudahkan segala urusan dan menjawab peperiksaan dengan lancar pada minggu hadapan. Dua hari sebelum peperiksaan, aku ada amanah untuk mengajar tuisyen UPSR murid tahun 6 di sekolahku. Aku harap aku kuat dan tabah sepertimana orang-orang yang berjihad dalam perjuangan menuntut ilmu Allah. 

Terima kasih kerana sudi membaca coretanku ini.

Seuntai kata untuk dirasa: Curi-curi menulis walaupun ada tugasan perlu disiapkan. =P

Sabar

 بسم الله الرحمن الرحيم


Pujuklah hati apabila sesuatu yang berbeza dengan kehendak kita berlaku dalam hidup ini. Setiap yang Allah takdirkan pasti ada hikmah dan kebaikannya. Mungkin kita inginkan KESENANGAN, tapi Allah anugerahkan KESABARAN. Kita inginkan KEINDAHAN, tetapi Allah kurniakan KEBENARAN.

Seuntai kata untuk dirasa: Sabar itu indah. 

Cintaku pada alam

بسم الله الرحمن الرحيم

Aku suka sekali mengambil gambar alam. Bunga, tumbuh-tumbuhan, laut dan bukit-bukau ciptaan Allah yang mampu membuatkan sesiapa sahaja yang gundah menjadi tenang. Indahnya alam membuatkan kita kembali mengingati siapa Penciptanya. Hal ini membuatkan aku mempunyai impian untuk menjadi backpackers

Aku ingin menjelajah ke seluruh pelusuk dunia, menikmati keindahan alam, mengenal budaya orang dan menimba pengalaman di tempat orang. Itulah perkara yang dipesan oleh pensyarah aku, Profesor Emeritus Dr Abdul Hamid Mahmood. Beliau berpesan kepada aku dan kawan-kawan agar merantau ke negara orang dan menimba pengalaman baharu. 

Gambar-gambar bunga ini aku rakamkan di Botanical Gardens. Tempatnya hijau dan menyamankan. Aku suka sekali tempat sebegitu. Tak sempat nak edit cantik-cantik. Aku muat naik terus saja. Jadi, no filters ya. =P






Seuntai kata untuk dirasa: Dulu benci bunga, sekarang suka pulak. =)

Sibuk

بسم الله الرحمن الرحيم

Sudah lama aku tidap menitipkan sesuatu dalam blog ini. Malah, aku sendiri sudah tidak lama menjenguk laman sendiri. Kekangan masa, kesibukan kerjaya membuatkan aku sukar menulis. Tambahan pula, beban tugas yang dipikul makin bertambah setiap hari. Sekarang ini juga masa mencemburui aku kerana masih ada tugasan yang bersisa yang perlu diselesaikan segera. Namun, aku rindu untuk menulis. Rindu untuk meluangkan masa bersama laman ini.

Apa pun kerjaya kamu, sememangnya sibuk itu ada. Tanpa kesibukan bukanlah bekerja namanya kecuali anda telah benar-benar berjaya. Aku setiap hari usai kerja masih lagi di bilik guru. Masih menyemak buku-buku murid yang bertimbun. Masih membuat tugasan fail, menyempurnakan tugasan Ketua Panitia Bahasa Melayu. Petang hari baru aku pulang. Keretaku akan berada di hadapan sekali kerana akulah yang pulang paling lewat berbanding teman-teman yang lain. Bukan kerana aku rajin ataupun buat-buat rajin. Tapi tugasan yang mendesak aku berbuat demikian.

Namun, aku cinta akan kerjaya ini. Kerjaya sebagai guru bukanlah sesuatu yang mudah. Memanusiakan manusia. Aku cinta akan anak-anak didikku kerana merekalah yang banyak mengajar aku menjadi seorang guru. Aku belajar daripada pengalaman. Pengalaman bersama mereka banyak menjadikan aku seorang guru yang sebenar.

Walaupun aku kurang gemar akan kesibukan itu, aku faham inilah yang perlu aku hadapi. Kesibukan yang dihadapi di SJKC berbeza dengan SK. Kedua-duanya sibuk tetapi dalam situasi dan cara yang berbeza. Rakan-rakan yang berada di SJKC tentu faham akan perbezaannya. Walaupun sudah pulang ke rumah, malamnya aku masih sibuk dengan kerja-kerja menyemak buku dan tugasan murid. Kadangkala aku rasa amat penat sekali namun untuk berhenti tidak sesekali. Semangat ku masih kuat.


Tinggal dalam pekan kecil yang majoritinya masyarakat Tionghua bukanlah sesuatu yang janggal bagiku. Malah aku tidak kisah ditempatkan di sekolah jenis kebangsaan cina. Memanglah sukar pada mulanya untuk menyesuaikan diri tetapi aku percaya Allah punya tujuan tersendiri mengapa aku ditempatkan di sini. Aku masih hijau dalam dunia pendidikan meskipun telah beberapa tahun mengajar. AKu masih perlu menyesuaikan diri dengan kesibukan itu.

Aku perlu menguruskan masa dengan lebih baik. Aku tidak perlu membandingkan diri dengan teman-teman yang kurang sibuk berbanding aku. Aku tidak perlu cemburu akan mereka yang punya banyak masa untuk bercuti, membaca novel, menonton televisyen dan meluangkan masa dengan hobi mereka. 

Aku punya target dalam hidup ini. Sekarang, aku sedang berjuang untuk menghabiskan ijazah sarjana di salah sebuah universiti. Aku rasa amat bersyukur kerana Allah memilih aku untuk belajar di sana. Aku berkenalan dengan orang-orang yang positif untuk berjaya. Bahkan Allah menemukan aku dengan insan-insan yang suka membantu orang lain. Aku turut terdorong mencontohi sikap mereka yang sentiasa membantu orang lain walaupun diri dilanda masalah. 

Tugasan kerja kursus dan tugasan mingguan amatlah banyak sehingga kadangkala aku tidak menang tangan antara kesibukan tugasan sekolah dan tugasan universiti. Tugasannya berbeza sekali dengan tugasan semasa di IPG dahulu. Tugasannya lebih berat dan memerlukan kita mengerah kotak fikiran yang sedia berselirat dengan pelbagai kerja. 

Namun, aku sedar kesibukan yang Allah beri tidak dapat dibandingkan dengan nikmat Allah yang terlalu luas yang telah aku nikmati selama ini. Hadiah yang Allah bagi terlalu banyak sehinggakan aku kadangkala terlupa untuk berterima kasih. Jadi, aku perlukan sesuatu untuk memastikan segala tanggungjawabku terlaksana.

Kuncinya adalah pengurusan masa yang sistematik. 

Pengurusan masa yang efisyen sememangnya perlu untuk setiap insan. Masa itu emas. Masa yang kita ada sama dengan orang lain tetapi mengapa adakalanya kita gagal menguruskan masa dengan baik. Dengan menguruskan masa, kita juga menguruskan kerjaya kita dengan lebih teratur.

Kesimpulannya, kesibukan bukanlah penghalang untuk kita menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan. Percaya setiap yang Allah datangkan itu adalah yang terbaik buat kita.

Seuntai kata untuk dirasa: Semangat jangan pernah luntur.

Perjalanan masih jauh

 بسم الله الرحمن الرحيم

Aku Musafir Gigih

Aku musafir gigih
kembara ke pelusuk tanah ini
berjalan sendirian
berbekalkan ilmu dan iman
kuturutkan.

Alangkah pedihnya
saat kuterjatuh
luka menjalar
menusuk ke tulang hitam
tiada daya kutahan
kulemas dalam kesakitan.

Aku musafir gigih
bangun melangkah
maju ke hadapan
menurut bulan dan bintang
yang membimbing ku
menghapus duka yang bersisa.

Perjalanan masih jauh
aku berhenti di persinggahan
mohon kasihnya Tuhan
aku ingin lenyapkan 
sembilu yang menikam nubari
kuharap memori hentian ini
bisa menyembuhkan hati
mengajar ku lebih berdikari.

 Persinggahan Sang Musafir


Teman dalam persinggahan

Seuntai kata untuk dirasa: Hentian ini akan kuhirup udara segarnya, akan kujelajahi taman ilmunya.

Musim walimah

بسم الله الرحمن الرحيم

Musim cuti sekolah. Musim walimah. Bakal pengantin sibuk membuat persediaan pernikahan dan perkahwinan. Siti pun sibuk juga. Sibuk menghadiri walimah. Awal cuti dia ke utara. Pertengahan cuti ke selatan. Akhir cuti ke Pantai Timur. Setiap kali hadir walimah, dia sudah tentu ditanya soalan yang sama. 

Semasa walimah di utara, ibu sahabatnya bertanya, "Siti, hang bila lagi?" 

"Belum tiba jodohnya, mak cik. Allah lebih tahu." jawabnya ringkas.

Sewaktu walimah di selatan tanah air nun jauh di Johor, sahabatnya Sarah bertanya, "Siti, ko bila lagi?"

Siti tersenyum lantas berkata, " Tak pasti Sarah. Allah lebih tahu."

Ketika walimah di Pantai Timur, rakan sekelasnya, Minah bertanya, "Siti, mu bila lagi?"

Siti, tersenyum lebar lalu menjawab, "Itu bukan kerja aku, Minah. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha. Jadi berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Jadikan diri kita seorang wanita yang solehah. Insya-Allah pasti Allah hantarkan
lelaki yang soleh untuk kita
."

Seuntai kata untuk dirasa : Jodoh itu ada. Mati itu pasti.

Bengkok dan patah

بسم الله الرحمن الرحيم

Wanita.

Dirinya sentiasa perlu ditegur.
Andai tidak ditegur, semakin membengkok,
andai terlalu kasar, akan mudah patah. 

Seuntai kata untuk dirasa : Kasar atau lembut pilihan mu duhai pemimpin?

Yakinlah


بسم الله الرحمن الرحيم 


Andai sesuatu itu berlaku tidak seperti yang diharapkan, yakinlah akan ada yang lebih baik Allah telah sediakan untuk mu.

Yakinlah.

Percayalah.

Seuntai kata untuk dirasa : Mana mungkin Dia berbuat yang tidak baik pada mu, sedangkan Dialah yang paling mencintaimu sejak diri mu belum melihat isi dunia ini.

Cintai dirimu

بسم الله الرحمن الرحيم  
"Apabila seseorang itu kerap jatuh cinta, ertinya dia belum berjaya mencintai diri sendiri."

- Ustaz Pahrol Mohd Juoi -



Seuntai kata untuk dirasa : Sayangi diri sendiri. Dirimu kurniaan Ilahi.

Tugasanku

بسم الله الرحمن الرحيم 
 
Akhir-akhir ini, banyak tugasan dan tanggungjawab perlu diselesaikan. Apabila banyak urusan yang perlu diselesaikan dalam satu masa saya jadi bingung seketika. Tarik nafas. Cuba dan cuba untuk tidak mengeluh. Pengurusan masa amat penting supaya kita menjadi orang yang efektif. 
 
Oleh itu, salah satu cara yang boleh dilakukan untuk mengurus hal ini ialah kita perlu senaraikan perkara yang perlu dilakukan dan letakkan tarikh akhir. Susun tugas yang utama dahulu dan nomborkan di atas kertas. Saya menggunakan sticky notes dan seterusnya saya lekatkan di atas papan putih. Bertindak dengan segera dan berusaha untuk selesaikan amanah tersebut dengan baik. Setelah siap, kita boleh menanggalkan sticky notes itu daripada papan putih. Inilah yang diajar mentor saya. Semoga bermanfaat untuk anda jua.
 
Sebelum berpisah, saya ingin kongsikan tazkirah daripada Ustaz Don Daniyal tentang nilai kesyukuran yang amat bermanfaat.
Alhamdulillah syukur. InshaAllah. Rezeki ada di mana-mana. Jika tiada rezeki anak, mungkin diberikan rezeki mertua yang baik. Maka kita lebih bahagia dari mendapat anak yang liar. Jika tiada rezeki wang ringgit, mungkin diberikan rezeki kesihatan. Maka kita lebih bahagia dari kerisauan menjaga harta dunia. Jika tiada rezeki kereta mewah, mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang menimbulkan masalah. Maka kita lebih bahagia dari membayar kerosakan yang mahal. Jika tiada rezeki rumah yang besar, mungkin diberikan rezeki makanan yang tidak pernah putus. Maka kita lebih bahagia dari si gelandangan. Jika tiada rezeki pasangan yang cantik, mungkin diberikan rezeki pasangan yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga. Maka kita lebih bahagia kerana hidup berteman dan terjaga segala. Jika tiada rezeki jodoh, mungkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang panjang. Maka kita lebih bahagia dapat berbakti sepenuhnya pada orang tua. Jika tiada rezeki hari ini, mungkin ada rezeki yang lebih baik pada esok hari. Maka kita lebih bahagia kerana rezeki yang tidak dijangka. Bersabar. Bersyukur. Berusaha. Berdoa. Bertawakal. Hanya Dia, Allah Yang Maha Adil.
Renung-renungkan. Selamat berfikir, menghayati dan beramal. 
 
Seuntai kata untuk dirasa: Esok hari pertama bekerja untuk minggu ini. Jangan mengeluh pada 'Monday Blues'.-Nasihat untuk diriku.

Kemas ruang tamu

بسم الله الرحمن الرحيم  

Berbulan lamanya teratak ini sepi. Apakan daya ada perkara yang perlu diutamakan.

Oleh hal yang demikian, saya ingin mencuri sedikit masa untuk mengemas kini ruang tamu teratak ini yang kian suram kelam. Jom sapu sampah, buang sampah, mop lantai, lap perabot dan akhir sekali letakkan jambangan bunga.

Ok, siap!

Cuti masih berbaki beberapa hari. Tugasan-tugasan yang memenuhi ruang kamar masih belum disiapkan dengan sempurna. Oh Tuhanku, ringankanlah tangan dan hati ku untuk menyempurnakan amanah-Mu!

Alhamdulillah.

Tanggal 8 Syawal 1434 H. Masih belum terlambat rasanya untuk saya ucapkan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Taqabbalallâhu minnâ wa minkum

Semoga amal ibadah kita semua di bulan Ramadhan diterima oleh Allah SWT.
Aamiin. 

Sahabat-sahabat yang budiman,

Saat ini bumi Kinanah sedang basah disimbahi darah, tanah Syria berkecamuk perang dan dunia Islam dalam keadaan bimbang.

Marilah kita sama-sama mengangkat 'senjata' memohon pada-Nya yang Maha Kuasa.

"Ya Allah, bantulah saudara kami di sana. Andai Engkau takdirkan mereka terbunuh, terimalah mereka sebagai para syuhada' yang berjuang menegakkan agama-Mu."

Marilah kita berusaha mendapatkan berita terkini tentang keadaan mereka di sana. Kita punya media massa. Kita punya media elektronik. Kita punya akses internet. Kita punya sahabat dan orang-orang di sekeliling kita yang dapat menjelaskan suasana dan keadaan di sana. Pilihlah mana-mana saluran yang tepat agar kita dapat merasai derita keluarga di sana.

Cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya jua.

Seuntai kata untuk dirasa : Semoga doa-doa kita akan terus mengiringi saudara seakidah kita di sana.

Di celah-celah kesibukan

بسم الله الرحمن الرحيم

Di celah-celah kesibukan melewati hari-hari ku di sini, aku tiba-tiba teringat akan teratak maya ku yang kini sunyi sepi tanpa coretan kata. Teratak ini hampir aku lupakan sejak memulakan khidmat sebagai pendidik di negeri orang. Aku jadi teringat akan teratak orang tua ku di desa. Apa khabar mereka di sana?

Syukurlah aku punya ibu bapa. Cinta mereka terhadap ku-cinta tanpa syarat.

Terima kasih Allah!

Saat ini, aku fikir aku mahu menghubungi mereka segera.

Mohon undur diri.

Seuntai kata untuk dirasa: Benarlah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.

Doa mereka

 بسم الله الرحمن الرحيم


Sepanjang 20 tahun lebih bernafas di muka bumi ini, rupa-rupanya ada satu doa yang belum kupinta dalam doaku usai solat.


"Ya Allah! Makbulkanlah doa-doa kedua ibu bapa ku. Aamiin." 


Seuntai kata untuk dirasa: Alhamdulillah. Allah tolong ingatkan daku.

Seperti Awan

بسم الله الرحمن الرحيم



Belajar untuk melupakan dan melepaskan ia pergi. 

Mahu menjadi seperti awan, 
tidak kandung beban berat lama-lama, 
terus maju ke hadapan mengikut arus angin.

Seuntai kata untuk dirasa: Bersemangat terus maju ke hadapan bagai semangatnya si petani menghargai jerih payah hujun yang mengguyur tanah gersang.

Pemergian sang embun pagi

  بسم الله الرحمن الرحيم

 Tika pagi meniti gigi hari,
saat sang mentari 
terbangun daripada mimpi,
 diam-diam dalam sepi,
kau lenyap di celah lapisan bumi.

Seuntai kata untuk dirasa: Pemergian sang embun pagi seringkali dilupai.

Aku malu

بسم الله الرحمن الرحيم


Bismillah... YA ALLAH, ketika aku tidak tahajud aku malu, ketika aku tidak tilawah aku malu, ketika aku solat tidak tepat waktu aku malu. Ketika aku marah aku malu, ketika aku malas aku malu, ketika aku berdusta aku malu, ketika aku bercanda berlebihan aku malu, ketika aku mencintai melebihi cinta-Mu aku malu. Malu pada-Mu tapi ketika malu itu tidak datang padaku, aku takut. Takut akan murka-Mu, maka oleh itu izinkanlah aku malu di hadapan-Mu, dan izinkanlah malu ini melekat di jiwaku kerana Engkau lebih mengetahui isi hati ini. Aamiin ya rabbal alamin.

Seuntai kata untuk dirasa: Aku lebih malu andai aku masih khilaf setelah menyedari kekhilafan diriku suatu ketika dahulu.

Burung kuning

بسم الله الرحمن الرحيم

Hening pagi dihiasi makhluk Allah ini yang bertenggek berhampiran ampaian di luar kamar. 
Cantik. Subhanallah! =)

Seuntai kata untuk dirasa: Susahnya nak ambil gambar awak cik burung. Malu ya?

Seindah hiasan

بسم الله الرحمن الرحيم

Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah

Antara ciri bidadari dunia adalah malu.
Dengan malu itulah dia menjadi mahal.
Auratnya tidak terdedah murah,
Prinsipnya kuat tidak tergugah,
akhlaknya sopan tidak mudah berubah.
 Oleh sebab malu yang mengikat,
membuatkan seorang perempuan itu menjadi hebat.
-Hilal Asyraf-

Seuntai kata untuk dirasa: Oh, Al-Haya sebatilah dalam diriku!

Related Posts with Thumbnails

Followers

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)
Solat dahulu, barulah selesaikan urusan lain. Selepas itu, Insya-Allah hati akan terasa lebih tenang untuk lakukan apa jua urusan kerana urusan dengan Allah telah kita selesaikan. =)

Hamba-Nya

My photo
Penang, Malaysia
Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah. Ya Allah kumengharap keredhaan-Mu. Kumenuju pada-Mu Ya Rabb. Pimpinlah daku. Amin Ya Rabb al-A'lamin...

Mutiara kata

...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(Al-Baqarah:216)

Perjuangan Secebis Jihad.. Terkadang meruntun hati, menguji rasa. Namun, setiap kegetiran yang melanda, renungkanlah kembali satu hakikat, kitalah mujahidah Allah. Senyum dan menangislah hanya kerana Dia.

Nota: Saya mengalu-alukan nasihat dan teguran membina daripada anda. Teguran dan nasihat anda amat bermakna untuk saya. Sekian, terima kasih. Jazakumullah khayran khateera. =)