Sinar Kehidupan

Hidup Adalah Sebuah Perjuangan

Sibuk

بسم الله الرحمن الرحيم

Sudah lama aku tidap menitipkan sesuatu dalam blog ini. Malah, aku sendiri sudah tidak lama menjenguk laman sendiri. Kekangan masa, kesibukan kerjaya membuatkan aku sukar menulis. Tambahan pula, beban tugas yang dipikul makin bertambah setiap hari. Sekarang ini juga masa mencemburui aku kerana masih ada tugasan yang bersisa yang perlu diselesaikan segera. Namun, aku rindu untuk menulis. Rindu untuk meluangkan masa bersama laman ini.

Apa pun kerjaya kamu, sememangnya sibuk itu ada. Tanpa kesibukan bukanlah bekerja namanya kecuali anda telah benar-benar berjaya. Aku setiap hari usai kerja masih lagi di bilik guru. Masih menyemak buku-buku murid yang bertimbun. Masih membuat tugasan fail, menyempurnakan tugasan Ketua Panitia Bahasa Melayu. Petang hari baru aku pulang. Keretaku akan berada di hadapan sekali kerana akulah yang pulang paling lewat berbanding teman-teman yang lain. Bukan kerana aku rajin ataupun buat-buat rajin. Tapi tugasan yang mendesak aku berbuat demikian.

Namun, aku cinta akan kerjaya ini. Kerjaya sebagai guru bukanlah sesuatu yang mudah. Memanusiakan manusia. Aku cinta akan anak-anak didikku kerana merekalah yang banyak mengajar aku menjadi seorang guru. Aku belajar daripada pengalaman. Pengalaman bersama mereka banyak menjadikan aku seorang guru yang sebenar.

Walaupun aku kurang gemar akan kesibukan itu, aku faham inilah yang perlu aku hadapi. Kesibukan yang dihadapi di SJKC berbeza dengan SK. Kedua-duanya sibuk tetapi dalam situasi dan cara yang berbeza. Rakan-rakan yang berada di SJKC tentu faham akan perbezaannya. Walaupun sudah pulang ke rumah, malamnya aku masih sibuk dengan kerja-kerja menyemak buku dan tugasan murid. Kadangkala aku rasa amat penat sekali namun untuk berhenti tidak sesekali. Semangat ku masih kuat.


Tinggal dalam pekan kecil yang majoritinya masyarakat Tionghua bukanlah sesuatu yang janggal bagiku. Malah aku tidak kisah ditempatkan di sekolah jenis kebangsaan cina. Memanglah sukar pada mulanya untuk menyesuaikan diri tetapi aku percaya Allah punya tujuan tersendiri mengapa aku ditempatkan di sini. Aku masih hijau dalam dunia pendidikan meskipun telah beberapa tahun mengajar. AKu masih perlu menyesuaikan diri dengan kesibukan itu.

Aku perlu menguruskan masa dengan lebih baik. Aku tidak perlu membandingkan diri dengan teman-teman yang kurang sibuk berbanding aku. Aku tidak perlu cemburu akan mereka yang punya banyak masa untuk bercuti, membaca novel, menonton televisyen dan meluangkan masa dengan hobi mereka. 

Aku punya target dalam hidup ini. Sekarang, aku sedang berjuang untuk menghabiskan ijazah sarjana di salah sebuah universiti. Aku rasa amat bersyukur kerana Allah memilih aku untuk belajar di sana. Aku berkenalan dengan orang-orang yang positif untuk berjaya. Bahkan Allah menemukan aku dengan insan-insan yang suka membantu orang lain. Aku turut terdorong mencontohi sikap mereka yang sentiasa membantu orang lain walaupun diri dilanda masalah. 

Tugasan kerja kursus dan tugasan mingguan amatlah banyak sehingga kadangkala aku tidak menang tangan antara kesibukan tugasan sekolah dan tugasan universiti. Tugasannya berbeza sekali dengan tugasan semasa di IPG dahulu. Tugasannya lebih berat dan memerlukan kita mengerah kotak fikiran yang sedia berselirat dengan pelbagai kerja. 

Namun, aku sedar kesibukan yang Allah beri tidak dapat dibandingkan dengan nikmat Allah yang terlalu luas yang telah aku nikmati selama ini. Hadiah yang Allah bagi terlalu banyak sehinggakan aku kadangkala terlupa untuk berterima kasih. Jadi, aku perlukan sesuatu untuk memastikan segala tanggungjawabku terlaksana.

Kuncinya adalah pengurusan masa yang sistematik. 

Pengurusan masa yang efisyen sememangnya perlu untuk setiap insan. Masa itu emas. Masa yang kita ada sama dengan orang lain tetapi mengapa adakalanya kita gagal menguruskan masa dengan baik. Dengan menguruskan masa, kita juga menguruskan kerjaya kita dengan lebih teratur.

Kesimpulannya, kesibukan bukanlah penghalang untuk kita menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan. Percaya setiap yang Allah datangkan itu adalah yang terbaik buat kita.

Seuntai kata untuk dirasa: Semangat jangan pernah luntur.

Related Posts with Thumbnails

Followers

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)
Solat dahulu, barulah selesaikan urusan lain. Selepas itu, Insya-Allah hati akan terasa lebih tenang untuk lakukan apa jua urusan kerana urusan dengan Allah telah kita selesaikan. =)

Hamba-Nya

My photo
Perak, Malaysia
Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah. Ya Allah kumengharap keredhaan-Mu. Kumenuju pada-Mu Ya Rabb. Pimpinlah daku. Amin Ya Rabb al-A'lamin...

Mutiara kata

...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(Al-Baqarah:216)

Dakwah tidak akan ada nilainya jika para daienya sendiri tidak menjadi bukti yang mendukung dakwah ini. ~ Sayid Qutb

Perjuangan Secebis Jihad.. Terkadang meruntun hati, menguji rasa. Namun, setiap kegetiran yang melanda, renungkanlah kembali satu hakikat, kitalah mujahidah Allah. Senyum dan menangislah hanya kerana Dia.

Nota: Saya mengalu-alukan nasihat dan teguran membina daripada anda. Teguran dan nasihat anda amat bermakna untuk saya. Sekian, terima kasih. Jazakumullah khayran khateera. =)

Kembara di tanah gersang