بسم الله الرحمن الرحيم
"Minat yang tersemai kukuh sejak sebagai mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 1978 menyebabkan TIGA BUAH BILIK saya sesak dengan buku. Kini, saya menganggarkan sekurang-kurangnya terdapat sekitar 10,000 JUDUL BUKU dalam simpanan saya." ~ Dr. Jeniri Amir
Banyaknya! Sememangnya beliau seorang tokoh yang hebat... Saya suka sekali dengan buku '7000 Mutiara Kata' karangan beliau. Pertama kalinya memandang buku ini di rak buku-buku baharu di Pusat Sumber Dato' Lokman Musa, saya sudah mula jatuh hati dengan buku ini. Namun, pada ketika itu, buku baharu seperti ini tidak boleh dipinjam, hanya boleh dibaca di dalam pusat sumber. Oleh itu, saya sering menjadikan buku ini sebagai satu 'kewajiban' setiap kali singgah di pusat sumber. Mengapa? Sudah tentu kerana hendak menyalin mutiara kata yang menarik. =P

Saat ini, saya sudah memilikinya. Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Tak perlu mencari-cari buku ini lagi di pusat sumber. Andai anda peminat mutiara kata, tidak rugi untuk menjadikan buku ini sebagai salah satu koleksi bahan bacaan anda. Buku ini menghimpunkan ungkapan-ungkapan yang terhasil daripada ketinggian daya fikir para pemimpin, pemikir dan cendekiawan besar. Idea-idea mereka tahan diuji zaman hingga layak menjadi kata-kata hikmah.
Adakalanya, kata-kata kiasan ini bisa melembutkan hati insani dengan 'menyindir secara harus dan tulus'. Saya cukup kagum dengan individu yang punya kemampuan menghasilkan mutiara kata dan kata-kata hikmah yang hebat yang tentunya menyentuh hati manusia dengan izin-Nya. Mereka tentunya pemikir yang hebat!
Bukan tokoh-tokoh ternama sahaja yang mampu melakukan sedemikian, malah anda juga. Tentu ada yang pernah menukilkan kata-kata hikmah yang dikarang sendiri secara peribadi. Jangan malu untuk mempamerkannya. Andai ungkapan yang anda hasilkan itu dapat memotivasikan diri sendiri, tidak mustahil ada yang tersentuh dan menjadikan ungkapan itu sebagai satu perangsang kepada diri mereka juga. Ingat SN Usman Awang pernah berpesan, "Tajam keris raja, tajam lagi pena pujangga".
Seuntai kata untuk dirasa : Kalau tidak keberatan, kongsikan mutiara kata atau kata-kata hikmah kegemaran anda di sini. Terima kasih. =)