Bicara
Zue
at
Saturday, November 26, 2011
komen (4)
بسم الله الرحمن الرحيم
Salam Maal Hijrah 1433
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُواْ وَالَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَاهَدُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ أُوْلَـئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللّهِ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Surah Al-Baqarah: 218)
Seuntai kata untuk dirasa : Tanyalah diri kita apa erti hijrah yang sebenarnya. =)
Bicara
Zue
at
Wednesday, November 9, 2011
komen (1)
بسم الله الرحمن الرحيم
Sebenarnya peristiwa tidak mencetuskan sebarang emosi. Tanggapan atau paradigma kitalah yang mencetuskan emosi. Kita boleh melihat setiap perkara yang berlaku terhadap diri kita daripada dua perspektif, iaitu positif atau negatif. Mulai hari ini ambillah daripada sudut yang positif. Ingatlah setiap perkara yang berlaku adalah ujian daripada Allah dan ada hikmah sekiranya kita bersabar. Dengan cara ini kita mampu membenteng emosi kita. Emosi mampu menggugat diri andainya tidak dikawal rapi.Jangan biarkan diri kita dikawal emosi, biarlah kita yang mengawal emosi!(✿◠‿◠)
Seuntai kata untuk dirasa : Bukan mudah mengawal emosi sendiri. Biarlah iman yang memandu kita. Mudah-mudahan kita tidak tersasar di jalan-Nya. =)
Bicara
Zue
at
Thursday, October 27, 2011
komen (7)
بسم الله الرحمن الرحيم
Subhanallah! Lihatlah dinding reban ayam di rumah saya yang telah diukir dengan indah sekali oleh anai-anai dan kerabatnya
Siapakah si pemakan serat kayu?
Tentulah anai-anai, serangga sosial yang biasanya membuat sarang dalam tanah atau kayu. Kitaran hidup anai-anai kompleks kerana hidup dalam kasta. Bermula dengan raja dan permaisurinya yang menghasilkan beribu-ribu telur dan menetaskannya. Ribuan anak anai-anai kemudiannya menjadi pekerja, askar atau kadang-kala menjadi kelekatu (anai-anai bersayap).
Pernahkah anda mendengar peribahasa seperti anai-anai makan kayu?
Peribahasa ini bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun dan rajin.
Minggu peperiksaan sudah semakin hampir. Oleh itu, marilah kita mencontohi anai-anai. Maksud saya bukannya makan serat kayu mati atau serat kayu hidup macam anai-anai tetapi contohilah sikapnya yang tekun dan rajin tu. (◠‿◠✿)
Seuntai kata untuk dirasa : Tahukah anda anai-anai suap-menyuap makanan kepada rakan masing-masing? =)
Dahulu, saya pernah titipkan mutiara ini kepada sahabiah yang sedang berduka. Hmm.. Hidup bagaikan roda. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Namun, harus diingat kitalah yang menunggangnya. Kini, saya pulangkan mutiara itu pada diri saya pula. =)
Bila kau memandang segalanya daripada Tuhanmu yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang serta menyusahkan hidupmu, pasti akan damailah hatimu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu derita hidupmu, retaknya hatimu tapi mungkin itulah yang Dia mahukan kerana Dia tahu hati yang sebeginilah selalunya lebih lunak dan mudah untuk akrab dan dekat dengan-Nya.
Seuntai kata untuk dirasa : Cik Hamidah pernah berpesan belajarlah untuk menikmati kesusahan dan kegagalan. Barulah terasa nikmat kejayaan. =)
Tahukah anda siapa yang sebenarnya membuka Pulau Pinang?
Kesahihan fakta sejarah yang dikarang oleh orientalis barat menyatakan Pulau Pinang dibuka Kapten Francis Light boleh dipertikaikan berikutan penemuan bukti yang menunjukkan orang Melayu bertapak di negeri ini lebih awal lagi.
Kajian menunjukkan orang Melayu sudah bertapak di Pulau Pinang sebelum kedatangan pedagang Syarikat Hindia Timur Inggeris itu pada 17 Julai 1786. Ada bukti budaya neolitik mengenai penempatan awal di Gelugor dan Sungai Ara sebelum Light. Orang Melayu sudah membuka Tanjong Penaga sebelum kedatangan Light membina Fort Cornwalis.
Prof Ahmad Murad Merican menjelaskan bahawa sebenarnya Pulau Pinang bukanlah dibuka oleh Francis Light. Orang yang bertanggungjawab membuka Pulau Pinang atau nama asalnya Tanjung Penaga ialah Tok Jenaton yang berasal dari Pagar Ruyong.
Seuntai kata untuk dirasa : Mereka bukan sahaja menjajah tanah air kita, tetapi turut menjajah minda kita dengan penyimpangan fakta sejarah yang menunjukkan mereka sebagai pencetus tamadun orang lain. Ingat, sejarah ialah akar diri dan jati diri.
"Minat yang tersemai kukuh sejak sebagai mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 1978 menyebabkan TIGA BUAH BILIK saya sesak dengan buku. Kini, saya menganggarkan sekurang-kurangnya terdapat sekitar 10,000 JUDUL BUKU dalam simpanan saya." ~ Dr. Jeniri Amir
Banyaknya! Sememangnya beliau seorang tokoh yang hebat... Saya suka sekali dengan buku '7000 Mutiara Kata' karangan beliau. Pertama kalinya memandang buku ini di rak buku-buku baharu di Pusat Sumber Dato' Lokman Musa, saya sudah mula jatuh hati dengan buku ini. Namun, pada ketika itu, buku baharu seperti ini tidak boleh dipinjam, hanya boleh dibaca di dalam pusat sumber. Oleh itu, saya sering menjadikan buku ini sebagai satu 'kewajiban' setiap kali singgah di pusat sumber. Mengapa? Sudah tentu kerana hendak menyalin mutiara kata yang menarik. =P
Saat ini, saya sudah memilikinya. Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Tak perlu mencari-cari buku ini lagi di pusat sumber. Andai anda peminat mutiara kata, tidak rugi untuk menjadikan buku ini sebagai salah satu koleksi bahan bacaan anda. Buku ini menghimpunkan ungkapan-ungkapan yang terhasil daripada ketinggian daya fikir para pemimpin, pemikir dan cendekiawan besar. Idea-idea mereka tahan diuji zaman hingga layak menjadi kata-kata hikmah.
Adakalanya, kata-kata kiasan ini bisa melembutkan hati insani dengan 'menyindir secara harus dan tulus'. Saya cukup kagum dengan individu yang punya kemampuan menghasilkan mutiara kata dan kata-kata hikmah yang hebat yang tentunya menyentuh hati manusia dengan izin-Nya. Mereka tentunya pemikir yang hebat!
Bukan tokoh-tokoh ternama sahaja yang mampu melakukan sedemikian, malah anda juga. Tentu ada yang pernah menukilkan kata-kata hikmah yang dikarang sendiri secara peribadi. Jangan malu untuk mempamerkannya. Andai ungkapan yang anda hasilkan itu dapat memotivasikan diri sendiri, tidak mustahil ada yang tersentuh dan menjadikan ungkapan itu sebagai satu perangsang kepada diri mereka juga. Ingat SN Usman Awang pernah berpesan, "Tajam keris raja, tajam lagi pena pujangga".
Seuntai kata untuk dirasa : Kalau tidak keberatan, kongsikan mutiara kata atau kata-kata hikmah kegemaran anda di sini. Terima kasih. =)
Sepi.. Bukan tidak mahu mengemas kini teratak ini. Ada sahaja bicara yang berlegar-legar di ruang minda, melahirkan monolog sepi di kamar hati, namun tidak terzahir pada kanvas maya ini.
Saat bersiar-siar di taman maya melihat sahabat-sahabat gigih berusaha menyebar ilmu Allah, menegakkan kalimah La ilaha ilallah di bumi Allah ini, hati terasa begitu pilu, apakah diri ini bisa sebegitu? Menjalankan tugas sebagai khalifah seperti yang dijanjikan suatu ketika dahulu.
Sungguh hebat mereka mungkin juga kamu yang sedang membaca coretan ini. =) Punya ilham yang dikurniakan-Nya yang bisa menyentuh hati-hati yang leka. Mudah-mudahan kamu istiqamah dalam bertinta kerana Allah. Teruskan perjuangan kamu yang tidak akan terhenti itu. Semoga kalimah-kalimah indah yang tersusun rapi itu mampu membuatkan diri ini dan sesiapa jua mengingati-Mu seterusnya mencintai-Mu Ya Rabb. Tahniah!
Seuntai kata untuk dirasa : Sahabat-sahabat sila lihat mutiara kata keempat di 'sidebar' sebelah ini.^_~
Seuntai kata untuk dirasa : Apa yang dijangkakan itu selalunya menjadi realiti kerana jangkaan itu adalah doa dalam senyap yang diulang-ulang dengan penuh keyakinan. Doakan saya! =)
Sungguh menggugah hati insani. Apalagi kalau musuh Allah sentiasa berusaha membisikkan hasutan supaya diri menyalahkan takdir Ilahi. Andai tidak diperangi, diri akan mudah sekali terjerumus ke dalam lumpur dosa.
Kala ini, simpati saya tumpah pada seorang sahabat. Ketabahan dan kekentalan jiwanya diuji dengan lemparan fitnah yang cukup mengguris hati. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya berharap dia tidak mudah mengalah dengan kehadiran sang fitnah yang melukakan ini. Pernah dahulu dia meluahkan rasa mengenai fitnah yang melanda. Kekuatan hatinya menepis serangan sang fitnah membuatkan saya kagum pada kesabarannya. Kini, sang fitnah hadir lagi mencabar keteguhan hati. Ujian ini amat berat sekali. Namun, ketahuilah sahabatku, hikmahnya amat besar untukmu. Indah hikmahnya andai digali dengan mata hati. Allah ingin mengajarkan sesuatu kepadamu. Bersangka baiklah pada-Nya. Jangan pernah menganggap dugaan ini sebagai satu beban, angaplah dugaan ini sebagai satu keistimewaan buat insan-insan yang terpilih. Ujian itu tanda sayang Allah pada hamba-hamba-Nya. Jangan pernah menyesali nikmat ini. Semakin kita mendekati-Nya, semakin banyak ujian daripada-Nya. Lantas, kita akan semakin menghargai segala nikmat ujian dan nikmat anugerah-Nya. Redhalah dengan hati yang ikhlas hanya kerana-Nya.
Maafkan diriku andai tidak berupaya memujuk hatimu. Namun, ketahuilah tangan ini ingin sekali menghapus air jernih yang mengalir dari matamu. Hanya Dia yang memiliki hati, Pemilik Hati yang berkuasa menyentuh jiwamu, jiwa hamba-Nya.
Sahabatku, ini hadiah untukmu. Dengarkanlah. Renungkan dengan mata hati...
Pasrah Segalanya-DeHearty
Seuntai kata untuk dirasa : Diri ini sentiasa mengharapkan mekar senyumanmu. Usah berduka lagi. Allah sentiasa bersama hamba-Nya yang sabar. Insya-Allah.
Sebuah perubahan... Cukup mudah diungkap dengan kata-kata. Realitinya sebuah perubahan menuntut sebuah pengorbanan yang tinggi disulam dengan perjuangan yang hebat dalam diri. Apa ertinya sebuah perubahan andai akhirnya tewas di tengah jalan?
Guru saya pernah berpesan :"Alam terbentang jadikan guru."
Lihatlah...
Pohon yang besar tinggi bermula daripada benih yang kecil halus. Tiada apa-apa yang akan terjadi tanpa LANGKAH PERTAMA.
Pohon hijau itu...
Renungkan...
Setiap pekerjaan ada kali pertamanya. Langkah yang beribu-ribu bermula daripada langkah yang pertama. Tiada apa-apa akan terjadi tanpa LANGKAH PERTAMA.
Bukankah kita perlu bermula daripada LANGKAH PERTAMA andai mahu menuju ke destinasi pilihan? Kita tentu tidak akan tiba di dewan kuliah andai kaki tidak mahu melangkah. Kita tidak akan dapat belajar andai diri masih berdegil mahu bersantai di kamar. Kita tidak akan mencapai impian andai diri masih enak di dalam buaian.
Ya...
Kita tentu tidak akan berubah andai diri tidak mahu melangkah.
Segalanya bermula daripada LANGKAH PERTAMA. Ayuh diriku, laksanakan sebuah transformasi!
Mulakan langkah pertama dengan yakin dan percaya pada diri!
Seuntai kata untuk dirasa : Siapa yang paling mengenali diri kalau bukan diri sendiri. Siapa yang paling berkuasa untuk membawa perubahan dalam diri kalau bukan DIRI SENDIRI?
Perjalanan dari IPG KBM ke PWTC bermula di Stesen Kerinchi terus ke KL Sentral(LRT Putra) dan Stesen Putra(KTM). Dari Stesen Putra ke PWTC tidaklah sejauh Perlis ke Johor. =D Oh, ya! Ungkapan 'Membina Tamadun Budaya Membaca' anda akan temui di 'booth' Kumpulan Karangkraf. Sebuah pembinaan yang memerlukan usaha gigih daripada pelbagai pihak.
Dawama
Pelbagai bahan bacaan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka boleh didapati di Dawama Sdn. Bhd. Majalah DBP yang agak sukar ditemui di kedai-kedai buku boleh didapati di sini. Alhamdulillah, Tunas Cipta yang berharga RM 5.00 dijual dengan harga RM 4.00 di sini. Pegawai DBP memang mengakui majalah terbitan DBP seperti Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat, Tunas Cipta dan lain-lain sukar didapati di pasaran. Oleh itu, pihak Dawama mengalu-alukan pembaca majalah DBP melanggan majalah pilihan hati di 'booth' Dawama di PBAKL 2011 tanpa perlu menggunakan khidmat pos.
Kumpulan Karangkraf
Pada pandangan saya, suasana paling meriah dapat dirasakan di 'booth' Kumpulan Karangkraf yang dihangatkan dengan pelbagai aktiviti menarik. Hampir semua jenis bahan bacaan terdapat di sini. Sememangnya Karangkraf merupakan salah satu kuasa penerbitan bahan bacaan yang besar di Malaysia. Tidak hairanlah andai 'booth' Kumpulan Karangkraf menyamai luas sebuah 'ballroom'. Seperti yang anda lihat dalam gambar, terdapat pakej promosi dengan harga RM 45.00 untuk setiap pembelian tiga novel novelis thriller Ramlee Awang Murshid(kecuali novel Sutera Bidadari) di sini.
ILuvIslam di Kumpulan Karangkraf
Para peminat ILuvIslam boleh mendapatkan buletin ILuvIslam dan aksesori yang comel-comel di sini seperti 'badge' dalam gambar. Memang betul. Sangat comel.
Produksi Ana Muslim
Si comel Ana Muslim. Lagi comel. =)
PTS
'Booth' PTS merupakan salah satu tempat yang wajib saya kunjungi setiap kali pesta buku. Kenapa ya? Rahsia. 'Booth' PTS agak sederhana berbanding PBAKL 2010 pada tahun lepas. Saya tidak pasti adakah hanya saya sahaja yang merasakan perkara ini. Namun, sambutan yang diberikan oleh para pengunjung tetap meriah sehingga pergerakan agak terbatas ketika mahu memilih buku. Saya sempat membeli empat buah novel di sini - Nyanyi Sunyi karya Maskiah Masrom, Mekar Sakura Di Mimbar Cinta nukilan Ilham Hamdani dan novel tulisan Tere-Liye iaitu Moga Bonda Disayang Allah serta Bidadari-bidadari Syurga. Saya telah jatuh hati dengan tulisan Tere-Liye selepas membaca Hafalan Solat Delisa. Sebuah buku beliau yang belum saya temukan ialah Rembulan Tenggelam di Wajahmu.
Telaga Biru
Saya sangat suka dengan ungkapan 'Kembalikan Palestin' di 'booth' Telaga Biru. yang dihiasi bendera Palestin. =) Selain itu, sesiapa yang tidak berpeluang mendapatkan majalah Solusi bolehlah berkunjung ke sini. Banyak juga buku-buku baharu terdapat di sini.
Galeri Ilmu
Salah satu 'booth' sasaran saya ialah Galeri Ilmu. Buku-buku tulisan Ustaz Hasrizal dan Hilal Asyraf boleh diperoleh dengan lengkap di sini.
Sebenarnya, masih banyak tempat yang tidak dapat saya kunjungi atas sebab kekangan masa misalnya Al-Hidayah, Jasmin, MPH, Al-Ameen Serve Holdings, Pustaka Salam dan banyak lagi. Sekiranya anda telah ke PBAKL 2010, bolehlah anda kongsikan pengalaman anda di sana. Andai diizinkan-Nya, saya berharap saya diberi kesempatan ke PBAKL 2011 sekali lagi sebelum berlabuh tirainya pada 1 Mei 2011 nanti.
~Masih tercari-cari~
Tenggelamnya Kapal Ven Der Wijck-Hamka Hati Sebening Mata Air-Amru Khalid Ibadah Sepenuh Hati-Amru Khalid Imam-Abdullah Hassan Mahabbah-Shahnon Ahmad Life Is An Open Secret-Zabrina A. Bakar
Seuntai kata untuk dirasa : Pastikan anda membuat belanjawan sebelum ke PBAKL. Keperluan lebih penting berbanding keinginan. Perkara yang paling penting selepas membeli buku-buku tersebut usah dibiarkan mereka sepi di rak menunggu kehadiran tuan. Ingatan untuk diri ini terutamanya! Selamat membaca!=)
"What is a teacher? I'll tell you: it isn't someone who teaches something, but someone who inspires the student to give of her best in order to discover what she already knows."- Paulo Coelho
Adakala putik kasih tak terucap oleh kata-kata, namun bunga-bunganya bersemi dalam kudus doa. =)
Seuntai kata untuk dirasa : Seorang guru tidak akan pernah bisa benar-benar mengajar kecuali dia sendiri masih belajar.
Semoga Allah memberi kekuatan buatmu untuk menempuh hidup ini.. Jangan sesekali meminta dikurangkan ujian, sebaliknya mohonlah kepada-Nya untuk ditambahkan kekuatan iman untuk menempuh ujian-Nya, sesungguhnya Allah sayangkan kamu...
Seuntai kata untuk dirasa : Ingin hati sedingin embun pagi...
Bicara
Zue
at
Saturday, February 26, 2011
komen (0)
بسم الله الرحمن الرحيم
Pokok dan bunga... Subhanallah!
“Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun”~(Al-Israa:4).
Subhanallah! Sebenarnya sangat teruja tika melihat ciptaan-Nya ini. Tambahan pula saya tidak pernah menemukan tumbuh-tumbuhan seperti ini(kasihannya) - bunga yang tumbuh pada sebatang pohon(tidak tahu namanya) di sekitar Taman Rekreasi Amcorp. Bagaikan si kembar tidak seiras. Apalagi tangan ini terus sahaja tidak segan silu memotretkan keindahan sang flora.
Kita pula adalah makhluk yang mampu berfikir, sudah tentu mampu juga berzikir. Akan tetapi yang mana satu pilihan kita? Tepuk dada tanyalah iman...=) (peringatan buat diri ini yang sering alpa).
Seuntai kata untuk dirasa : Biarkan mereka bernafas di bumi ini.
Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad
Seuntai kata untuk dirasa : Adakah cinta kita pada junjungan mulia Rasulullah s.a.w hanya terasa pada 'hari ini' atau pada tiap saat nafas yang terhela ... atau bagaimana?
Bicara
Zue
at
Thursday, February 3, 2011
komen (0)
بسم الله الرحمن الرحيم
"Seorang pendekar kesateria, tidak mencuba bermain senjata. Hanya orang yang tidak yakin, belum percaya akan kekuatan diri sajalah yang memakai senjata." ~ Usman Awang
Seuntai kata untuk dirasa : Percaya. Tuhan selalu punya rahsia.
“Syafakallah syifaan ajilan, syifaan la yughadiru ba’dahu saqaman.”
Semoga Allah menyembuhkanmu secepatnya, dengan kesembuhan yang tiada sakit setelahnya.
Bukan mudah bertarung dengan kesakitan yang hanya diri merasakannya. Bukan mudah menangani keuzuran yang tidak mampu dikongsi deritanya. Sahabat yang disayangi, jangan pernah merasa sendirian. Wujudmu benar-benar ada dan bererti. Kamu punya Sang Khalik yang tidak pernah sesaat melupakanmu. Kamu sentiasa diperhatikan, disayangi dan dicintai semua orang. Yakinlah, kesembuhan akan menjengah dengan izin-Nya. Banyakkan istighfar dan selawat. Moga Allah memberikan jalan kesembuhan yang lebih mudah. InsyaAllah...
Seuntai kata untuk dirasa : Pintu-pintu syurga terbuka lebar untuk orang yang sabar menerima ujian dari Allah!
Bicara
Zue
at
Wednesday, January 12, 2011
komen (0)
بسم الله الرحمن الرحيم
Jangan berbangga dengan pakaian yang cantik dan mahal, kerana pakaian terakhir kita nanti ialah kain kapan.
Jangan berbangga dengan kenderaan mewah, kerana kenderaan terakhir kita ialah van jenazah dan papan keranda.
Janganlah terlalu seronok dengan tempat tidur yang empuk dan nyaman kerana tempat tidur terakhir kita adalah di liang lahad.
Jangan pula ego dan bongkak kerana mampu memiliki rumah mewah seperti istana kerana rumah terakhir kita nanti ialah kubur bertiang dua.
Jangan terlalu megah dengan pangkat dan darjat kerana apabila sudah tiada nanti, kita dapat gelaran al-marhum.
Janganlah terlalu bangga dan berlagak dengan wajah yang kacak dan cantik kerana apabila kita mati nanti, wajah itu akan berubah menjadi tengkorak dan dimakan cacing.
Seuntai kata untuk dirasa : Setiap detik menghampiri sebuah kematian.
Solat dahulu, barulah selesaikan urusan lain. Selepas itu, Insya-Allah hati akan terasa lebih tenang untuk lakukan apa jua urusan kerana urusan dengan Allah telah kita selesaikan. =)
...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(Al-Baqarah:216)
Perjuangan Secebis Jihad.. Terkadang meruntun hati, menguji rasa. Namun, setiap kegetiran yang melanda, renungkanlah kembali satu hakikat, kitalah mujahidah Allah. Senyum dan menangislah hanya kerana Dia.
Nota: Saya mengalu-alukan nasihat dan teguran membina daripada anda. Teguran dan nasihat anda amat bermakna untuk saya. Sekian, terima kasih. Jazakumullah khayran khateera. =)