Matahari perlahan-lahan mula meninggi. Cahaya yang lembut dari pagi kini beransur-ansur panas. Butir-butir embun di hujung rumput hampir kering. Bayu lembut pada pagi itu telah mula sidang. Terasa segar sungguh pagi ini. Aku bersama sahabat baikku, Sofea Liyana tekun mengulangkaji pelajaran di bawah sebatang pohon yang rendang berhampiran pantai. Sofealah teman hidupku sejak kecil lagi. Segala suka dan duka kami harungi bersama. Segala masalah kami kongsi bersama. Persahabatan kami amat erat bagaikan isi dengan kuku. Di mana ada Sofea Liyana, di situlah adanya Emily Qistina. Pantai inilah menjadi saksi terjalinnya sebuah persahabatan yang utuh antara kami. Masih segar di kotak ingatanku detik pertama perkenalan kami 10 tahun dahulu.
“ Assalamualaikum, saya Sofea Liyana. Saya baru berpindah ke sini, ” sapa seorang gadis yang berwajah manis dan lembut itu.
“ Waalaikumussalam, saya Emily Qistina, ” ujarku sambil tangan menyambut salam perkenalan daripadanya.
“ Emily Qistina, cantik nama tu, secantik orangnya juga. Panggil saja saya Sofea. Boleh saya panggil awak Qis? ”
“ Sudah tentu boleh, ” jawabku sambil tersipu malu. Lamunanku terhenti sebaik sahaja Sofea memanggilku.
“ Qis berangan ya…Sofea panggil dah banyak kali pun tak dengar? Teringatkan siapa agaknya ya? ” usik Sofea.
“ Qis teringatkan detik perkenalan kitalah. ”
“ Oh, di sinilah tempatnya kan. Sejak perkenalan tu, kita mula rapat. Sofea harap kita tak akan berpisah sampai bila-bila pun kecuali ajal yang memisahkan kita. Manalah tahu, Sofea ‘pergi’ dahulu. ”
“ Usah cakap begitu Sofea, hanya takdir Ilahi yang akan menentukannya. Sekarang kita sambung ulangkaji ya. Esok kan ujian. ”
Tahun ini aku dan Sofea akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Kami berazam untuk memperoleh keputusan yang cemerlang. Impian kami hanya satu iaitu untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading dan membalas jasa dan pengorbanan kedua orang tua yang kami sayangi.
Sejak akhir-akhir ini, aku lihat satu perubahan besar telah berlaku kepada Sofea. Dia tidak seceria dan seriang dahulu. Wajahnya sentiasa pucat dan muram. Pertuturannya tidak sepetah dahulu. Penampilannya tidak seyakin dahulu. Tubuh badannya semakin cengkung. Aku dapat merasakan ada sesuatu tersembunyi di sebalik mata yang redup itu. Lebih membimbangkan, petang semalam dia jatuh pengsan semasa menjalani latihan sukan. Aku berjanji akan melawatnya petang nanti.
“ Sofea dah sihat? Apa kata doktor tadi ? ” aku terburu-buru bertanya sebaik saja berjumpa dengan teman kesayanganku itu.
“ Alhamdulillah, tak ada apa. Cuma sakit kepala saja. Usah risaukan Sofea, “ pinta Sofea sambil tersenyum menampakkan lesung pipit di kiri pipinya.
“ Betul? “ aku bertanya mendapatkan kepastian. Sofea menganggukkan kepalanya memberi jawapan kepada pertanyaanku. Kebimbangan aku lenyap setelah mendapat jawapan dari Sofea.
“ Jangan lupa makan ubat, nanti boleh cepat sembuh, “ aku memberi nasihat. Macam doktor pula.
“ Yalah, baik tuan puteri Cik Emily Qistina. Nanti Sofea makan ubat ya, “ lantas terungkap tawa dari bibirnya.
“ Amboi, sakit kepala macam ni pun boleh ketawa lagi? Pagi tadi bukan main lagi sakit kepalanya, pucat muka Sofea sampai pengsan tau, ” aku cuba mengusik Sofea.
“ Alah Qis, ketawa tu kan penawar duka. Lagipun Qis tau tak, setiap kali kita ketawa, tubuh kita akan membebaskan sejenis hormon yang dipanggil endorphins, “ terang Sofea bersungguh-sungguh.
“ Iyalah tu, banyaklah awak punya dolphin, “ aku membalas.
“ Sofea sebut en…dor…phins. Bukannya dolphin!! Apabila hormon itu dibebaskan, ia akan memberi kelegaan kepada perasaan kita, “ jelas Sofea tanpa dipinta.
“ Sofea ni cakap macam pakar psikologilah, “ usik aku lagi.
Sekali lagi tawa Sofea terburai. Kakak Sofea, Kak Riza dan Kak Zue yang sedang menonton televisyen tidak jauh dari tempat kami berbual turut terhibur dengan gelak tawa Sofea. Sememangnya Sofea menanam impian utuk bergelar pakar psikologi. Aku pun tidak tahu mengapa Sofea memilih kerjaya itu.
Dua minggu kemudian, hari yang ditunggu-tunggu telah tiba, iaitu hari sukan. Aku dan Sofea mewakili rumah Cheeseman dalam acara larian 4Χ100 meter. Aku merupakan pelari kedua sementara Sofea menggalas tanggungjawab sebagai pelari terakhir. Sebelum memulakan larian, kami melakukan senaman ringan untuk memanaskan badan. Aku berasa berdebar-debar walaupun ini bukan pertama kali aku menyertai acara ini. Acara yang kami sertai akan bermula sebentar saja lagi. Semua peserta mengambil tempat masing-masing. Aku berasa bangga kerana Cheeseman memperoleh markah yang paling tinggi setakat ini. Aku yakin Cheeseman mampu menjuarai sukan tahunan kali ini.
Ketika giliran peserta keempat, aku lihat Sofea mandahului peserta-peserta lain. Sofea banyak kali mewakili sekolah dalam acara larian dan menjuarainya hingga mendapat julukan ‘ ratu pecut ‘. Malah, Sofea pernah mewakili negeri dalam acara olahraga. Ramai pelajar lelaki tertawan dengan kebolehan dan kecantikannya tetapi Sofea tidak sekali pun melayan karenah mereka. Sikapnya mengagumkan aku. Aku sempat memberikan sorakan dan jeritan semangat kepadanya. Aku pasti Sofea mampu memberikan satu lagi kemenangan buat Cheeseman.
“ Cheeseman menang!!!! ” terdengar jeritan ahli rumah Cheeseman. Aku melonjak gembira. Sememangnya sangkaan aku tepat. Aku bersyukur kepada Allah kerana Sofea menamatkan larian dengan jayanya. Namun kegembiraan aku hilang begitu sahaja. Tanpa diduga, Sofea jatuh menyembah bumi tidak lama selepas menamatkan larian. Aku menerpa mendapatkannya.
“ Sofea… Bangun Sofea…, ” aku cuba menyedarkan Sofea. Ahli Persatuan Bulan Sabit Merah memberi rawatan kecemasan kepada Sofea. Mereka memutuskan untuk menghantar Sofea ke hospital. Aku turut membantu dan mengiringi ahli PBSM.
Sofea terus dimasukkan ke dalam wad kecemasan setibanya di hospital. Cikgu Faezah telah menghubungi ibu bapa Sofea untuk memaklumkan berita tentang kejadian yang tidak diingini itu. Tidak lama kemudian, ibu bapa Sofea tiba di hospital bersama Kak Riza dan Kak Zue. Encik Taufiq dan Puan Hayati terus menerpa ke arah seorang doktor yang berusia separuh abad sebaik sahaja doktor itu keluar dari wad kecemasan.
“ Minta maaf, pihak kami telah berusaha sedaya upaya untuk membantu anak tuan dan puan. Terus terang saya terpaksa nyatakan perkara ini walaupun terlalu pahit untuk menerimanya. Barah otak yang dihidapi anak tuan puan telah sampai ke tahap yang kritikal. Sel-sel barah telah menyerang dan merebak ke seluruh bahagian otak dan memusnahkan fungsinya. Pihak kami tidak mampu melakukan apa-apa lagi. Diharap pihak tuan puan bertawakal dan banyak berdoa kepada Yang Maha Esa, “ luah doktor itu pilu.
Puan Hayati terus rebah di pangkuan suaminya sebaik sahaja mendengar kenyataan doktor itu. Tubuh aku terasa lemah longlai. Dengan kudrat yang ada, aku menerpa masuk ke dalam wad. Begitu juga dengan ahli keluarga Sofea dan Cikgu Faezah. Kerisauanku semakin menggila. Sesekali ombakan nafas Sofea mengundang bimbang. Aku semakin resah dengan helaan nafas yang semakin memberat itu. Hatiku berdetik kesal kerana tidak dapat mengesan rahsia Sofea mengenai penyakitnya.
Innalillahhiwainnailaihirojiun… Pergi sudah Sofea Liyana. Kepulangannya menyahut seruan Ilahi memuncakkan rasa kehilangan. Tiada sepatah kata yang terlahir dari bibir insan-insan yang menyayanginya. Sepi, sayu, syahdu membungkusi perit derita jiwa. Dalam kepiluan, pemergian Sofea Liyana diredhai jua.
Beberapa hari selepas pemergian Sofea, Puan Hayati memberikan sepucuk surat yang ditujukan buat aku yang dijumpai dalam diari milik Sofea. Aku membuka surat yang diberikan dengan penuh debaran.
Menemui sahabatku, Emily Qistina… Dugaan yang menimpa diri ini amat perit untuk diterima. Setiap hari ketika mentari muncul, Sofea bersyukur kerana masih bernafas. Setiap hari apabila mentari pergi, Sofea menanti penuh debaran hari-hari mendatang. Sofea menanam tekad di hati, Sofea mahu sepuas-puasnya menikmati hidup ini dengan kasih sayang yang diberi Qis. Betapa bersyukur kepada Allah kerana diri ini dikurniakan sahabat yang amat menyayangi Sofea. Walau diterokai tujuh petala langit pun, pastinya tidak dapat menembusi kasih sayang yang Qis curahkan selama ini. Kasih sayang Sofea terhadap Qis tidak dapat Sofea ungkapkan dengan kata-kata. Tiada yang lebih ternilai darinya. Sofea mohon sejuta ampun kerana merahsiakan penyakit Sofea. Sofea tidak mahu Qis berduka kerana penyakit Sofea. Warkah ini ditulis buat Qis ketika diri ini terasa hampir dengan detik yang ditunggu setelah sekian lama. Jangan ditangisi pemergian diri ini. Terima kasih atas luhurnya kasih yang diberikan untuk Sofea kerana tiada apa di dunia yang dapat menjadi galang ganti kasih Qis. Salam sayang buat Emily Qistina…
Sahabatmu,
Sofea Liyana
Dengan pilu, aku menutup warkah pemberian arwah Sofea. Air jernih yang bertakung di kelopak mataku terlerai jua membasahi pipi. Sekalung doa dan Al-Fatihah akan menjadi titipan yang tidak ternilai buat arwah Sofea Liyana di sana. Al-Fatihah…
Seuntai kata untuk dirasa : teman sejati tak pernah memungkiri janji...
0 komen:
Post a Comment