Sinar Kehidupan

Hidup Adalah Sebuah Perjuangan

Setulus doa

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Segala puji-pujian semata-mata bagi Allah s.w.t Tuhan pencipta alam semesta. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w juga kepada ahli keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.


Assalamualaikum...

Salam kasih

salam sayang

salam mesra

salam setulus doa

salam indahnya perkenalan…


Setinggi kasih dan penghargaan buat anda semua kerana sudi melawat blog saya yang masih hijau ini. Saya berharap anda sudi menghulurkan nasihat dan berkongsi cerita, menjadikan kehidupan kita semua lebih bermakna, kerana erti hidup pada memberi (bak kata Ustaz Hasrizal). Untuk entri yang pertama dalam blog ini, saya ingin berkongsi kisah mengenai doa. Semoga entri ini bermanfaat untuk kita semua. Insya’Allah =)


DOA adalah satu permintaan atau permohonan seseorang Muslim kepada Allah SWT bertujuan memperoleh sesuatu yang dihajati. Doa sebagai satu senjata umat Islam sering kita lupakan terutama ketika menghadapi pelbagai masalah sepanjang kehidupan di dunia ini.

Doa seperti ditegaskan oleh Rasulullah sebagai ’senjata’ kepada orang mukmin perlu disedari dan dihayati sepenuhnya oleh umat Islam. Doa menjadi tanda kepada perhambaan seorang manusia kepada Allah iaitu dengan cara merintih dan merayu kepada-Nya serta mengadu segala hal dan permasalahan dengan air mata berlinangan tanpa mengharapkan pertolongan selain daripada Allah sebagai Tuhan yang Maha Mendengar dan Mengasihani hamba-Nya.


Sesungguhnya, persoalan doa bukan sekadar fungsinya sebagai cara pengaduan kepada Allah tetapi juga turut diiktiraf sebagai ibadah yang amat agung. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad), berdoalah kepada-Ku. Nescaya Kumakbulkan permintaanmu. Sesungguhnya mereka yang takbur dan enggan beribadat kepada-Ku akan dicampakkan ke dalam neraka Jahanam yang perit azabnya.” (Surah al-Ghafir: ayat 60)


Dalam ayat itu, Allah menerangkan doa adalah satu wasilah pengaduan seseorang hamba kepada Tuhannya yang dijamin akan diperkenankan permintaan itu sama ada di dunia ini disegerakan permintaan itu) atau di akhirat (ditangguhkan atau diberikan pahala kepadanya atas ibadah doa dikerjakan).

Doa memainkan peranan penting melembutkan hati dan dibukakan jalan untuk mendapat hidayah Allah. Bukan semua orang yang Allah berikan keinginan untuk berdoa dan menadah tangannya di hadapan Allah, bahkan ramai malas dan berdoa hanya sekadar untuk mencukupkan syarat tanpa rasa
gerun dan takut kepada Allah; tunduk dan merasai kehebatan dan keagungan-Nya serta penuh pengharapan di hadapan Allah.

Apabila malas berdoa mula melebar dalam diri kita, perlu melakukan

muhasabah ke dalam hati kita, mungkin ada yang tidak kena atau ada perkara menghalang sehingga kita tidak dapat merasai kemanisan berdoa.

Doa dilafazkan oleh seseorang Muslim itu amat mustajab dan mampu mendatangkan kesan dengan izin Allah. Selain itu, seseorang Muslim harus sedar keengganannya untuk berdoa kepada Allah akan menyebabkan kemurkaan Allah kepadanya. Apabila seseorang itu memohon kepada selain daripada Allah ketika dalam kesulitan, dia dianggap mensyirikkan Allah.


Di samping itu, keengganannya juga menggambarkan takbur dan merasakan diri sudah cukup tanpa memerlukan pertolongan daripada Allah. Ia jelas bertentangan dengan prinsip kehambaan seorang hamba terhadap tuannya apatah lagi terhadap Allah yang Pencipta sekalian alam.

Allah menjadikan doa sebagai perisai kepada golongan mukmin dan mereka yang sentiasa mengharapkan keredaan-Nya. Dalam beberapa riwayat ada dinyatakan golongan yang doa mereka amat mustajab dan dikabulkan oleh Allah. Antara yang tergolong dalam golongan ini ialah :


Pertama; mereka yang dizalimi. Ia termasuklah golongan yang dihina, dihalau daripada tempat kediaman mereka tanpa hak atau bentuk kezaliman yang lain;

Kedua; golongan yang bermusafir untuk tujuan yang baik;

Ketiga; doa kedua-dua ibu bapa kepada anaknya,

Keempat; doa mereka yang menunaikan ibadah haji atau umrah.


Di sini jelas betapa mereka yang berada dalam situasi sedemikian sememangnya Allah muliakan dan doa mereka juga dijanjikan oleh Allah akan dimakbulkan selagi tidak membawa kepada maksiat atau kejahatan.

Selain itu, doa yang mustajab juga ialah doa daripada seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah; dan sahabatnya itu tidak mengetahui bahawa dia sedang didoakan oleh seseorang. Di samping itu, individu yang mendoakan sahabatnya itu juga akan diberikan ganjaran dan diberikan kebaikan seperti dia mendoakan sahabatnya itu.


Setiap Muslim perlu memahami doa dimakbulkan oleh Allah atas permintaan hamba-Nya itu adakalanya dikurniakan berdasarkan apa yang dimintanya atau dipaling iaitu menjauhkan daripadanya sesuatu kejahatan setaraf dengan doanya itu atau Allah menangguhkan dahulu permohonan hamba itu untuk dijadikan sebagai pahala pada akhirat kelak.


Rasulullah bersabda bermaksud: “Tiada seorang Muslim berdoa tidak mengandungi dosa atau mengarah kepada pemutusan hubungan kekeluargaan, melainkan Allah akan mengurniakan baginya salah satu daripada tiga keadaan, iaitu :


(1) segera dikabulkan doanya;
(2) disimpan untuk diberikan di akhirat;
(3) atau kerana doanya itu maka Allah menjauhkan dia daripada kesulitan.”


Setiap mukmin percaya bahawa ada tuhan yang maha pencipta dan maha berkuasa iaitu Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.Bagi setiap mumin hanya Allah tempat bergantung dan meminta pertolongan. Maka orang mukmin disuruh berdoa dan memohon apa jua kepada Allah kerana Allah memperkenankan permohonan hambanya yang sentiasa mengingatinya, maka berdoalah siang dan malam kerana orang yang sentiasa kepada Allah adalah orang yang sentiasa mengingati Allah.

Rasulullah saw bersabda, "Doa itu senjata bagi orang mukmin". Rasulullah saw berdoa kepada Allah siang dan malam dan doa baginda sentiasa diperkenankan oleh Allah. Sebelum tercetus Perang Badar,Rasullah berdoa kepada Allah supaya memberi kemenangan kepada tentera muslimin. Allah memperkenankan doa baginda dan tentera muslimin yang sedikit berjaya menewaskan tentera musyrikin yang lebih besar jumlahnya.


Rasulullah pernah berdoa supaya hujan turun atas permintaan penduduk suatu daerah yang menderita akibat kemarau panjang. Pada hari itu juga hujan pun turun di daerah yang kering itu. Ketika Rasulullah berdoa,para sahabat yang mendengar doa baginda sempat menghafal dan menulis doanya itu hingga mereka pun berdoa dengan mengucapkan doa Rasululah itu.

Pernah seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw dan mengadu bahawa dia puas berdoa meminta dimurahkan rezeki tetapi doanya tidak diperkenankan oleh Allah. Rasulullah saw bersabda "Kamu berdoa kepada Allah dan kamu duga Allah mengabulkan doa kamu, pada hal makanan kamu diperoleh dengan cara haram, pakaian kamu kamu juga haram dan tempat tinggal kamu haram. Bagaimana Allah akan mengabulkan doa kamu?"


Oleh itu,syarat utama untuk allah memperkenankan doa hambanya ialah menjauhi segala perbuatan haram, apa lagi sumber rezeki yang haram, disamping mengerjakan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang. Semoga Allah memperkenankan doa hamba-hambanya yang berdoa dengan hati yang ikhlas dan memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan oleh Rasulullah saw sehingga doa mereka benar-benar berfungsi sebagai senjata bagi orang mukmin. Insya'Allah =)


Seuntai kata untuk dirasa : Allah rindukan doa hamba-Nya.. Jangan cepat berputus asa.. Teruskan berdoa.. =)

2 komen:

anak laut March 20, 2009 at 12:04 PM  

salam...ziarah..

nice blog..izinkan saya link dengan blog anda..

Salsabila March 12, 2010 at 1:12 AM  

waalaikumsalam.. sdh tntu boleh.. terima kasih.. =)

Related Posts with Thumbnails

Followers

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)
Solat dahulu, barulah selesaikan urusan lain. Selepas itu, Insya-Allah hati akan terasa lebih tenang untuk lakukan apa jua urusan kerana urusan dengan Allah telah kita selesaikan. =)

Hamba-Nya

My photo
Perak, Malaysia
Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah. Ya Allah kumengharap keredhaan-Mu. Kumenuju pada-Mu Ya Rabb. Pimpinlah daku. Amin Ya Rabb al-A'lamin...

Mutiara kata

...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(Al-Baqarah:216)

Dakwah tidak akan ada nilainya jika para daienya sendiri tidak menjadi bukti yang mendukung dakwah ini. ~ Sayid Qutb

Perjuangan Secebis Jihad.. Terkadang meruntun hati, menguji rasa. Namun, setiap kegetiran yang melanda, renungkanlah kembali satu hakikat, kitalah mujahidah Allah. Senyum dan menangislah hanya kerana Dia.

Nota: Saya mengalu-alukan nasihat dan teguran membina daripada anda. Teguran dan nasihat anda amat bermakna untuk saya. Sekian, terima kasih. Jazakumullah khayran khateera. =)

Kembara di tanah gersang