Sinar Kehidupan

Hidup ialah Sebuah Perjuangan

Perjuangan dalam mencapai impian

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini aku ingin berkongsi bagaimana aku mula berazam untuk menjejakkan kaki ke menara gading seletah menjadi seorang graduan di Institut Pendidikan Guru(IPG). Aku punya sasaran sendiri. Setahun sebelum berada di tahun akhir, aku telah merangka peta hidup. Setahun selepas bekerja, aku ingin melanjutkan pelajaran di universiti. Kemudian, setahun selepas itu, aku mahu membuka bisnes kecil-kecilan sambil belajar dan bekerja. Perancangan aku telah lakukannya dengan baik. Namun, perancangan Allah adalah yang terbaik.

Sebagai seorang guru baharu, tambahan pula dengan bebanan tugas guru yang amat berbeza sekali dengan guru zaman dahulu, aku mula berasa sedikit terbeban. Hanya guru-guru yang memahami apakah yang bebanan itu. Aku mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri di SJKC walaupun pada hakikatnya nampak cool sahaja tetapi hanya Allah yang tahu apa yang aku tanggung. Memang Allah campakkan di sana terlalu besar hikmahnya. Sebenarnya, aku ingin mengajar di Kuala Lumpur ataupun di Pulau Pinang. Kenapa Kuala Lumpur? 

Kuala Lumpur tentunya kerana kota itu penuh diisi dengan ilmu. Masjidnya pula sentiasa hidup dan aktif meskipun aku tidak suka akan kesesakan jalan rayanya yang berpanjangan. Aku suka sekali ke Perpustakaan Negara dan sebab utama aku ingin mengajar di KL tentunya kerana ingin ke Universiti Malaya. Aku ingin belajar di UM sambil mengenang kembali zaman IPG yang banyak mengajar aku untuk berdikari. UM dan IPG KBM bersebelahan sahaja. Selain itu, minat pada teknologi dan fotografi membuatkan aku tidak jemu ke Plaza Lowyat. Namun, kuasa Allah tempatkan bukan di KL bukan juga di Penang. 

Impian empat tahun dahulu

Setelah dua tahun menyesuaikan diri di SJKC, barulah hati aku terbuka untuk memohon kemasukan ke universiti. Aku menyenarai pendek beberapa buah universiti seperti UPM, UKM, USM dan UPSI. Kemudian, senarai aku menjadi lebih pendek, iaitu antara USM dan UPSI. Akhirnya, aku memilih UPSI yang sememangnya dekat dengan dunia pendidikan yang aku cintai. Alhamdulillah, dengan izin Allah aku berjaya. Aku masih ingat pada hari pendaftaran, aku bergerak sendirian  ke UPSI. Dengan doa ibu bapa aku, aku berjaya sampai jua walaupun tidak tahu jalan ke UPSI. Hanya bergantung kepada papan tanda jalan. Terima kasih Kuala Lumpur kerana banyak melatih aku berdikari. 

Pada hari pertama mendaftar, aku sudah diduga. Pembantu tadbir sekolah menelefon bertanyakan aku berada di mana. Guru Besar sudah membekukan cuti rehat aku kerana ada pegawai KPM datang ke kawasan aku mengajar untuk membuat pemantauan. Jika ada guru yang bercuti semasa pemantauan dibuat, Guru Besar dan sekolah akan dikenakan tindakan. Pintu dewan pendaftaran pun masih belum dibuka pada waktu itu. Jadi, sebaik sahaja pendaftaran dibuka, aku terus berjumpa dengan pegawai yang bertugas untuk meminta bantuan. Setelah selesai pendaftaran, aku terus pulang ke sekolah dengan kelajuan 130 km/j. Aku singgah di rumah untuk mengambil buku rekod mengajar dan terus ke sekolah. Berjaya juga tiba akhirnya. Petang itu, aku kembali semula ke UPSI untuk taklimat seterusnya. Penat berkejaran ke sana sini macam perjalanannya dekat sangat kan. Namun, aku tidak salahkan Guru Besar kerana tugasnya jua yang mendesak beliau berbuat demikian. Itulah aturan Allah. 

Setiap pilihan ada bayarannya

Apabila memilih untuk melanjutkan pelajaran sambil bekerja, banyak perkara yang perlu difikirkan. Aku sudah tiada masa untuk membuang masa. Seperti yang aku ceritakan semasa entri terdahulu. Bebanan kerja sekolah ditambah pula dengan presentation dan kerja kursus yang amat susah pada setiap minggu. Aku kuatkan semangat. Belum pernah lagi air mata mengalir kerana aku terus sahaja menghadapi arus ini mengikut alirannya. Kesibukan sudah menjadi aku. Aku pula sudah menjadi sibuk. Itulah yang perlu aku bayar dengan pilihan ini. Aku tidak akan undur ke belakang. Malah, aku akan sedaya upaya maju ke hadapan kerana inilah impian aku, tujuan aku dan matlamat aku. Allah telah hadiahkan aku sebuah impian, dan aku perlu hargainya.

Dalam perjuangan menuntut ilmu ini, Allah tidak pernah biarkan aku sendirian. Di mana-mana Allah sentiasa ada untuk aku. Allah hadiahkan kawan-kawan yang baik hati dan sentiasa mendahulukan orang lain. Andai aku kesusahan, mereka tidak keberatan untuk menolong. Malah, ada seorang rakan non-Muslim yang amat aku hormati. Akhlaknya memang menonjolkan akhlak islami meskipun agamanya bukan Islam. Selain itu, ada pensyarah yang bukannya hanya mengajar tetapi juga membentuk pemikiran aku dan teman-teman untuk berfikir luar daripada kebiasaan. Mereka juga mendidik bukan hanya mengajar. Apa sahaja yang aku lalui semuanya adalah satu pengajaran untuk kehidupan. Setiap yang yang berlaku kepada kita, fikirkanlah semula apa yang Allah mahu kita tahu. Fikirkan. Kemudian, anda akan tahu betapa sayangnya Allah kepada anda.

Kakak-kakak yang sentiasa menjadi tulang belakang antara satu sama lain

Doa

Saat ini, aku masih berjuang menyiapkan tugasan kerja kursus yang paling susah untuk semester ini. Mohon doakan aku, kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang membaca entri ini. Doakan aku agar tidak mengaku kalah, sentiasa bersangka baik dengan Allah, positif selalu dan dipermudahkan segala urusan dan menjawab peperiksaan dengan lancar pada minggu hadapan. Dua hari sebelum peperiksaan, aku ada amanah untuk mengajar tuisyen UPSR murid tahun 6 di sekolahku. Aku harap aku kuat dan tabah sepertimana orang-orang yang berjihad dalam perjuangan menuntut ilmu Allah. 

Terima kasih kerana sudi membaca coretanku ini.

Seuntai kata untuk dirasa: Curi-curi menulis walaupun ada tugasan perlu disiapkan. =P

Sabar

 بسم الله الرحمن الرحيم


Pujuklah hati apabila sesuatu yang berbeza dengan kehendak kita berlaku dalam hidup ini. Setiap yang Allah takdirkan pasti ada hikmah dan kebaikannya. Mungkin kita inginkan KESENANGAN, tapi Allah anugerahkan KESABARAN. Kita inginkan KEINDAHAN, tetapi Allah kurniakan KEBENARAN.

Seuntai kata untuk dirasa: Sabar itu indah. 

Cintaku pada alam

بسم الله الرحمن الرحيم

Aku suka sekali mengambil gambar alam. Bunga, tumbuh-tumbuhan, laut dan bukit-bukau ciptaan Allah yang mampu membuatkan sesiapa sahaja yang gundah menjadi tenang. Indahnya alam membuatkan kita kembali mengingati siapa Penciptanya. Hal ini membuatkan aku mempunyai impian untuk menjadi backpackers

Aku ingin menjelajah ke seluruh pelusuk dunia, menikmati keindahan alam, mengenal budaya orang dan menimba pengalaman di tempat orang. Itulah perkara yang dipesan oleh pensyarah aku, Profesor Emeritus Dr Abdul Hamid Mahmood. Beliau berpesan kepada aku dan kawan-kawan agar merantau ke negara orang dan menimba pengalaman baharu. 

Gambar-gambar bunga ini aku rakamkan di Botanical Gardens. Tempatnya hijau dan menyamankan. Aku suka sekali tempat sebegitu. Tak sempat nak edit cantik-cantik. Aku muat naik terus saja. Jadi, no filters ya. =P






Seuntai kata untuk dirasa: Dulu benci bunga, sekarang suka pulak. =)

Sibuk

بسم الله الرحمن الرحيم

Sudah lama aku tidap menitipkan sesuatu dalam blog ini. Malah, aku sendiri sudah tidak lama menjenguk laman sendiri. Kekangan masa, kesibukan kerjaya membuatkan aku sukar menulis. Tambahan pula, beban tugas yang dipikul makin bertambah setiap hari. Sekarang ini juga masa mencemburui aku kerana masih ada tugasan yang bersisa yang perlu diselesaikan segera. Namun, aku rindu untuk menulis. Rindu untuk meluangkan masa bersama laman ini.

Apa pun kerjaya kamu, sememangnya sibuk itu ada. Tanpa kesibukan bukanlah bekerja namanya kecuali anda telah benar-benar berjaya. Aku setiap hari usai kerja masih lagi di bilik guru. Masih menyemak buku-buku murid yang bertimbun. Masih membuat tugasan fail, menyempurnakan tugasan Ketua Panitia Bahasa Melayu. Petang hari baru aku pulang. Keretaku akan berada di hadapan sekali kerana akulah yang pulang paling lewat berbanding teman-teman yang lain. Bukan kerana aku rajin ataupun buat-buat rajin. Tapi tugasan yang mendesak aku berbuat demikian.

Namun, aku cinta akan kerjaya ini. Kerjaya sebagai guru bukanlah sesuatu yang mudah. Memanusiakan manusia. Aku cinta akan anak-anak didikku kerana merekalah yang banyak mengajar aku menjadi seorang guru. Aku belajar daripada pengalaman. Pengalaman bersama mereka banyak menjadikan aku seorang guru yang sebenar.

Walaupun aku kurang gemar akan kesibukan itu, aku faham inilah yang perlu aku hadapi. Kesibukan yang dihadapi di SJKC berbeza dengan SK. Kedua-duanya sibuk tetapi dalam situasi dan cara yang berbeza. Rakan-rakan yang berada di SJKC tentu faham akan perbezaannya. Walaupun sudah pulang ke rumah, malamnya aku masih sibuk dengan kerja-kerja menyemak buku dan tugasan murid. Kadangkala aku rasa amat penat sekali namun untuk berhenti tidak sesekali. Semangat ku masih kuat.


Tinggal dalam pekan kecil yang majoritinya masyarakat Tionghua bukanlah sesuatu yang janggal bagiku. Malah aku tidak kisah ditempatkan di sekolah jenis kebangsaan cina. Memanglah sukar pada mulanya untuk menyesuaikan diri tetapi aku percaya Allah punya tujuan tersendiri mengapa aku ditempatkan di sini. Aku masih hijau dalam dunia pendidikan meskipun telah beberapa tahun mengajar. AKu masih perlu menyesuaikan diri dengan kesibukan itu.

Aku perlu menguruskan masa dengan lebih baik. Aku tidak perlu membandingkan diri dengan teman-teman yang kurang sibuk berbanding aku. Aku tidak perlu cemburu akan mereka yang punya banyak masa untuk bercuti, membaca novel, menonton televisyen dan meluangkan masa dengan hobi mereka. 

Aku punya target dalam hidup ini. Sekarang, aku sedang berjuang untuk menghabiskan ijazah sarjana di salah sebuah universiti. Aku rasa amat bersyukur kerana Allah memilih aku untuk belajar di sana. Aku berkenalan dengan orang-orang yang positif untuk berjaya. Bahkan Allah menemukan aku dengan insan-insan yang suka membantu orang lain. Aku turut terdorong mencontohi sikap mereka yang sentiasa membantu orang lain walaupun diri dilanda masalah. 

Tugasan kerja kursus dan tugasan mingguan amatlah banyak sehingga kadangkala aku tidak menang tangan antara kesibukan tugasan sekolah dan tugasan universiti. Tugasannya berbeza sekali dengan tugasan semasa di IPG dahulu. Tugasannya lebih berat dan memerlukan kita mengerah kotak fikiran yang sedia berselirat dengan pelbagai kerja. 

Namun, aku sedar kesibukan yang Allah beri tidak dapat dibandingkan dengan nikmat Allah yang terlalu luas yang telah aku nikmati selama ini. Hadiah yang Allah bagi terlalu banyak sehinggakan aku kadangkala terlupa untuk berterima kasih. Jadi, aku perlukan sesuatu untuk memastikan segala tanggungjawabku terlaksana.

Kuncinya adalah pengurusan masa yang sistematik. 

Pengurusan masa yang efisyen sememangnya perlu untuk setiap insan. Masa itu emas. Masa yang kita ada sama dengan orang lain tetapi mengapa adakalanya kita gagal menguruskan masa dengan baik. Dengan menguruskan masa, kita juga menguruskan kerjaya kita dengan lebih teratur.

Kesimpulannya, kesibukan bukanlah penghalang untuk kita menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan. Percaya setiap yang Allah datangkan itu adalah yang terbaik buat kita.

Seuntai kata untuk dirasa: Semangat jangan pernah luntur.

Related Posts with Thumbnails

Followers

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)
Solat dahulu, barulah selesaikan urusan lain. Selepas itu, Insya-Allah hati akan terasa lebih tenang untuk lakukan apa jua urusan kerana urusan dengan Allah telah kita selesaikan. =)

Hamba-Nya

My photo
Penang, Malaysia
Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah. Ya Allah kumengharap keredhaan-Mu. Kumenuju pada-Mu Ya Rabb. Pimpinlah daku. Amin Ya Rabb al-A'lamin...

Mutiara kata

...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(Al-Baqarah:216)

Perjuangan Secebis Jihad.. Terkadang meruntun hati, menguji rasa. Namun, setiap kegetiran yang melanda, renungkanlah kembali satu hakikat, kitalah mujahidah Allah. Senyum dan menangislah hanya kerana Dia.

Nota: Saya mengalu-alukan nasihat dan teguran membina daripada anda. Teguran dan nasihat anda amat bermakna untuk saya. Sekian, terima kasih. Jazakumullah khayran khateera. =)