Sinar Kehidupan

Hidup ialah Sebuah Perjuangan

Tugasanku

بسم الله الرحمن الرحيم 
 
Akhir-akhir ini, banyak tugasan dan tanggungjawab perlu diselesaikan. Apabila banyak urusan yang perlu diselesaikan dalam satu masa saya jadi bingung seketika. Tarik nafas. Cuba dan cuba untuk tidak mengeluh. Pengurusan masa amat penting supaya kita menjadi orang yang efektif. 
 
Oleh itu, salah satu cara yang boleh dilakukan untuk mengurus hal ini ialah kita perlu senaraikan perkara yang perlu dilakukan dan letakkan tarikh akhir. Susun tugas yang utama dahulu dan nomborkan di atas kertas. Saya menggunakan sticky notes dan seterusnya saya lekatkan di atas papan putih. Bertindak dengan segera dan berusaha untuk selesaikan amanah tersebut dengan baik. Setelah siap, kita boleh menanggalkan sticky notes itu daripada papan putih. Inilah yang diajar mentor saya. Semoga bermanfaat untuk anda jua.
 
Sebelum berpisah, saya ingin kongsikan tazkirah daripada Ustaz Don Daniyal tentang nilai kesyukuran yang amat bermanfaat.
Alhamdulillah syukur. InshaAllah. Rezeki ada di mana-mana. Jika tiada rezeki anak, mungkin diberikan rezeki mertua yang baik. Maka kita lebih bahagia dari mendapat anak yang liar. Jika tiada rezeki wang ringgit, mungkin diberikan rezeki kesihatan. Maka kita lebih bahagia dari kerisauan menjaga harta dunia. Jika tiada rezeki kereta mewah, mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang menimbulkan masalah. Maka kita lebih bahagia dari membayar kerosakan yang mahal. Jika tiada rezeki rumah yang besar, mungkin diberikan rezeki makanan yang tidak pernah putus. Maka kita lebih bahagia dari si gelandangan. Jika tiada rezeki pasangan yang cantik, mungkin diberikan rezeki pasangan yang baik dan pandai menguruskan rumahtangga. Maka kita lebih bahagia kerana hidup berteman dan terjaga segala. Jika tiada rezeki jodoh, mungkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang panjang. Maka kita lebih bahagia dapat berbakti sepenuhnya pada orang tua. Jika tiada rezeki hari ini, mungkin ada rezeki yang lebih baik pada esok hari. Maka kita lebih bahagia kerana rezeki yang tidak dijangka. Bersabar. Bersyukur. Berusaha. Berdoa. Bertawakal. Hanya Dia, Allah Yang Maha Adil.
Renung-renungkan. Selamat berfikir, menghayati dan beramal. 
 
Seuntai kata untuk dirasa: Esok hari pertama bekerja untuk minggu ini. Jangan mengeluh pada 'Monday Blues'.-Nasihat untuk diriku.

Kemas ruang tamu

بسم الله الرحمن الرحيم  

Berbulan lamanya teratak ini sepi. Apakan daya ada perkara yang perlu diutamakan.

Oleh hal yang demikian, saya ingin mencuri sedikit masa untuk mengemas kini ruang tamu teratak ini yang kian suram kelam. Jom sapu sampah, buang sampah, mop lantai, lap perabot dan akhir sekali letakkan jambangan bunga.

Ok, siap!

Cuti masih berbaki beberapa hari. Tugasan-tugasan yang memenuhi ruang kamar masih belum disiapkan dengan sempurna. Oh Tuhanku, ringankanlah tangan dan hati ku untuk menyempurnakan amanah-Mu!

Alhamdulillah.

Tanggal 8 Syawal 1434 H. Masih belum terlambat rasanya untuk saya ucapkan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Taqabbalallâhu minnâ wa minkum

Semoga amal ibadah kita semua di bulan Ramadhan diterima oleh Allah SWT.
Aamiin. 

Sahabat-sahabat yang budiman,

Saat ini bumi Kinanah sedang basah disimbahi darah, tanah Syria berkecamuk perang dan dunia Islam dalam keadaan bimbang.

Marilah kita sama-sama mengangkat 'senjata' memohon pada-Nya yang Maha Kuasa.

"Ya Allah, bantulah saudara kami di sana. Andai Engkau takdirkan mereka terbunuh, terimalah mereka sebagai para syuhada' yang berjuang menegakkan agama-Mu."

Marilah kita berusaha mendapatkan berita terkini tentang keadaan mereka di sana. Kita punya media massa. Kita punya media elektronik. Kita punya akses internet. Kita punya sahabat dan orang-orang di sekeliling kita yang dapat menjelaskan suasana dan keadaan di sana. Pilihlah mana-mana saluran yang tepat agar kita dapat merasai derita keluarga di sana.

Cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya jua.

Seuntai kata untuk dirasa : Semoga doa-doa kita akan terus mengiringi saudara seakidah kita di sana.

Di celah-celah kesibukan

بسم الله الرحمن الرحيم

Di celah-celah kesibukan melewati hari-hari ku di sini, aku tiba-tiba teringat akan teratak maya ku yang kini sunyi sepi tanpa coretan kata. Teratak ini hampir aku lupakan sejak memulakan khidmat sebagai pendidik di negeri orang. Aku jadi teringat akan teratak orang tua ku di desa. Apa khabar mereka di sana?

Syukurlah aku punya ibu bapa. Cinta mereka terhadap ku-cinta tanpa syarat.

Terima kasih Allah!

Saat ini, aku fikir aku mahu menghubungi mereka segera.

Mohon undur diri.

Seuntai kata untuk dirasa: Benarlah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.

Doa mereka

 بسم الله الرحمن الرحيم


Sepanjang 20 tahun lebih bernafas di muka bumi ini, rupa-rupanya ada satu doa yang belum kupinta dalam doaku usai solat.


"Ya Allah! Makbulkanlah doa-doa kedua ibu bapa ku. Aamiin." 


Seuntai kata untuk dirasa: Alhamdulillah. Allah tolong ingatkan daku.

Related Posts with Thumbnails

Followers

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)
Solat dahulu, barulah selesaikan urusan lain. Selepas itu, Insya-Allah hati akan terasa lebih tenang untuk lakukan apa jua urusan kerana urusan dengan Allah telah kita selesaikan. =)

Hamba-Nya

My photo
Penang, Malaysia
Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah. Ya Allah kumengharap keredhaan-Mu. Kumenuju pada-Mu Ya Rabb. Pimpinlah daku. Amin Ya Rabb al-A'lamin...

Mutiara kata

...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(Al-Baqarah:216)

Perjuangan Secebis Jihad.. Terkadang meruntun hati, menguji rasa. Namun, setiap kegetiran yang melanda, renungkanlah kembali satu hakikat, kitalah mujahidah Allah. Senyum dan menangislah hanya kerana Dia.

Nota: Saya mengalu-alukan nasihat dan teguran membina daripada anda. Teguran dan nasihat anda amat bermakna untuk saya. Sekian, terima kasih. Jazakumullah khayran khateera. =)