Sinar Kehidupan

Hidup ialah Sebuah Perjuangan

Pada-Mu kubersujud

بسم الله الرحمن الرحيم


Hening pagi itu membuatkan aku terfikir masih adakah sahabat yang berada di bilik memandangkan waktu ini merupakan waktu kuliah. Sunyi sepi. Pintu bilik itu  kuketuk. Salam yang diberi tidak bersahut. Pintu yang terbuka sedikit membuatkan aku menjengah ke dalam untuk mencari-cari penghuninya. Subhanallah. Rupanya dia sedang khusyuk menghadap pencipta-Nya. Lama aku terpaku di situ. Dia menangis dalam sujudnya. Aku merasakan tentunya dia menikmati pertemuan itu. Air matanya masih mengalir setelah bangun dari sujud yang panjang. Aku tidak pasti mengapa.

Saat dia berdoa, sekali lagi aku melihat dia menangis teresak-esak. Bening air matanya diusap dengan hujung telekung putih yang dipakainya. Sungguh mengharukan. Adakah dia punya masalah yang sedang mengganggu fikirannya? Aku jadi tidak keruan. Adakah aku terlalu dipengaruhi keceriaan dan kegembiraannya pada setiap masa sehingga aku tidak mampu melihat lukanya? Oh, ingin sekali aku berkongsi duka dengannya!

Selesai dia mengaminkan doa, aku memberi salam lantas masuk ke dalam kamarnya sebaik sahaja salamku bersambut. Kulihat dia tersenyum sambil menjemputku masuk dan duduk di atas katilnya yang dialas cadar hijau lembut berbunga kuning. Dia melipat sejadah dan telekungnya sambil membelakangiku. Aku tahu dia sedang menepis air mata yang masih bergenang di tubir matanya.

Aku tersenyum saat dia bertanya tujuan kedatanganku. Aku menyatakan mahu meminjam pemacu penanya. Kedua-dua pemacu penaku dipinjam kakak. Tanpa ragu, dia menjawab "InsyaAllah, boleh" dihiasi senyumannya yang manis itu. Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana memberi saat aku benar-benar memerlukan. Apabila pemacu pena berwarna biru dihulurkan kepada ku, aku mengucapkan terima kasih kepadanya lalu berjanji akan memulangkannya sebaik sahaja tugasan ku selesai.

Sebelum meminta diri, aku bertanya kepadanya apa dia punya masalah? Dia menggelengkan kepalanya. Sambil tersengih-sengih, aku mengaku sebentar tadi aku melihat keadaannya semasa dia menghadap pemilik nyawa-Nya. Aku tahu dia tidak akan menyembunyikan apa-apa daripada ku.

"Ana sujud syukur tadi, Alhamdulillah syukur pada Allah. Allah terlalu baik pada ana. Dia berikan sesuatu yang melebihi apa yang ana usahakan... Alhamdulillah... Dengan rahmat dan redha-Nya dia berikan sesuatu yang ana tidak jangkakan. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan ana adalah yang terbaik untuk ana walaupun bukan yang  terbaik dalam kalangan kita.  Ana rasa ana kurang bersungguh-sungguh untuk peperiksaan yang lepas tapi Allah bagi sesuatu yang indah. Syukur, Alhamdulillah. Terharu sangat sampai menangis." ujarnya sambil tersenyum.

Aku turut bertahmid mensyukuri nikmat-Nya; meraikan kesyukuran sahabat ku ini. Kebimbangan ku turut lenyap mendengarkan penjelasannya. Aku ingin sekali mencontohi kesyukuran-Nya terhadap Sang Khalik. Titisan air mata ini hanya untuk Allah. Insya-Allah.

Setiap perkara yang Allah tentukan tentu ada hikmahnya tersendiri. Bersyukurlah dengan setiap ketentuan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa bersyukur. Jangan mudah kecewa dan berputus asa andai Allah menunda apa-apa yang kita mahu, apa yang kita suka. Jangan bersedih hati. Tapi senyum dan bersabarlah kerana dia berfirman dengan penuh kasih sayang...

Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. (Al-Insyirah : 6)

Belum terlambat lagi...^^ Marilah sama-sama sujud syukur!

Fa-biayyi alaa'i Rabbi kuma tukadzdzi ban 
"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
Pesanan penaja : Kisah ini tiada kaitan dengan sesiapa sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. =D

Seuntai kata untuk dirasa : Apakah ayat yang diulang sebanyak 31 kali dalam Surah Ar-Rahman?(Kuiz)

4 komen:

Lukluk Sofea July 28, 2012 at 7:27 PM  

ayat "Fa-biayyi alaa'i Rabbi kuma tukadzdzi ban"....betul tak ayat ni yang diulang 31 kali dalam surah ar-rahman?

Zue July 28, 2012 at 11:42 PM  

Betul! Tahniah ukhti wardatulsofea..^^

Lukluk Sofea July 29, 2012 at 5:35 AM  

Alhamdulillah...Terima Kasih Ukhti Zue ^_^ kuiz ni ada dapat apa2 reward x?

Zue August 4, 2012 at 8:03 PM  

Sama-sama.. Aasif jiddan.. Tak ada lah.. (◠‿◠✿)

Related Posts with Thumbnails

Followers

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)
Solat dahulu, barulah selesaikan urusan lain. Selepas itu, Insya-Allah hati akan terasa lebih tenang untuk lakukan apa jua urusan kerana urusan dengan Allah telah kita selesaikan. =)

Hamba-Nya

My photo
Penang, Malaysia
Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah. Ya Allah kumengharap keredhaan-Mu. Kumenuju pada-Mu Ya Rabb. Pimpinlah daku. Amin Ya Rabb al-A'lamin...

Mutiara kata

...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(Al-Baqarah:216)

Perjuangan Secebis Jihad.. Terkadang meruntun hati, menguji rasa. Namun, setiap kegetiran yang melanda, renungkanlah kembali satu hakikat, kitalah mujahidah Allah. Senyum dan menangislah hanya kerana Dia.

Nota: Saya mengalu-alukan nasihat dan teguran membina daripada anda. Teguran dan nasihat anda amat bermakna untuk saya. Sekian, terima kasih. Jazakumullah khayran khateera. =)