Sinar Kehidupan

Hidup ialah Sebuah Perjuangan

Maal Hijrah 1433

بسم الله الرحمن الرحيم


Salam Maal Hijrah 1433


إِنَّ الَّذِينَ آمَنُواْ وَالَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَاهَدُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ أُوْلَـئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللّهِ وَاللّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
(Surah Al-Baqarah: 218)

Seuntai kata untuk dirasa : Tanyalah diri kita apa erti hijrah yang sebenarnya. =)

Kemanisan sebuah pengorbanan

بسم الله الرحمن الرحيم

Bunga ini seringkali diganggu ayam dan kucing saya tetapi tidak
pernah serik untuk menjalankan tugasnya menghiasi halaman rumah.


Hanya hati yang benar-benar ikhlas berkorban akan merasai kemanisan sebuah pengorbanan.

Seuntai kata untuk dirasa : Pengorbanan mengajar kita untuk tabah menempuhi kehidupan.

Emosi

بسم الله الرحمن الرحيم


Sebenarnya peristiwa tidak mencetuskan sebarang emosi. Tanggapan atau paradigma kitalah yang mencetuskan emosi. Kita boleh melihat setiap perkara yang berlaku terhadap diri kita daripada dua perspektif, iaitu positif atau negatif. Mulai hari ini ambillah daripada sudut yang positif. Ingatlah setiap perkara yang berlaku adalah ujian daripada Allah dan ada hikmah sekiranya kita bersabar. Dengan cara ini kita mampu membenteng emosi kita.
Emosi mampu menggugat diri andainya tidak dikawal rapi. Jangan biarkan diri kita dikawal emosi, biarlah kita yang mengawal emosi!(✿◠‿◠)

Seuntai kata untuk dirasa :
Bukan mudah mengawal emosi sendiri. Biarlah iman yang memandu kita. Mudah-mudahan kita tidak tersasar di jalan-Nya. =)

Pemakan serat kayu

بسم الله الرحمن الرحيم

Subhanallah! Lihatlah dinding reban ayam di rumah saya yang
telah diukir
dengan indah sekali oleh anai-anai dan kerabatnya

Siapakah si pemakan serat kayu?

Tentulah anai-anai, serangga sosial yang biasanya membuat sarang dalam tanah atau kayu. Kitaran hidup anai-anai kompleks kerana hidup dalam kasta. Bermula dengan raja dan permaisurinya yang menghasilkan beribu-ribu telur dan menetaskannya. Ribuan anak anai-anai kemudiannya menjadi pekerja, askar atau kadang-kala menjadi kelekatu (anai-anai bersayap).

Pernahkah anda mendengar peribahasa seperti anai-anai makan kayu?

Peribahasa ini bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun dan rajin.

Minggu peperiksaan sudah semakin hampir. Oleh itu, marilah kita mencontohi anai-anai. Maksud saya bukannya makan serat kayu mati atau serat kayu hidup macam anai-anai tetapi contohilah sikapnya yang tekun dan rajin tu. (◠‿◠✿)

Seuntai kata untuk dirasa : Tahukah anda anai-anai suap-menyuap makanan kepada rakan masing-masing? =)

Ujian

بسم الله الرحمن الرحيم


Dahulu, saya pernah titipkan mutiara ini kepada sahabiah yang sedang berduka. Hmm.. Hidup bagaikan roda. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Namun, harus diingat kitalah yang menunggangnya. Kini, saya pulangkan mutiara itu pada diri saya pula. =)


Bila kau memandang segalanya daripada Tuhanmu yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang serta menyusahkan hidupmu, pasti akan damailah hatimu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu derita hidupmu, retaknya hatimu tapi mungkin itulah yang Dia mahukan kerana Dia tahu hati yang sebeginilah selalunya lebih lunak dan mudah untuk akrab dan dekat dengan-Nya.


Seuntai kata untuk dirasa : Cik Hamidah pernah berpesan belajarlah untuk menikmati kesusahan dan kegagalan. Barulah terasa nikmat kejayaan. =)

Penyimpangan fakta sejarah?

بسم الله الرحمن الرحيم


Tahukah anda siapa yang sebenarnya membuka Pulau Pinang?

Kesahihan fakta sejarah yang dikarang oleh orientalis barat menyatakan Pulau Pinang dibuka Kapten Francis Light boleh dipertikaikan berikutan penemuan bukti yang menunjukkan orang Melayu bertapak di negeri ini lebih awal lagi.

Kajian menunjukkan orang Melayu sudah bertapak di Pulau Pinang sebelum kedatangan pedagang Syarikat Hindia Timur Inggeris itu pada 17 Julai 1786. Ada bukti budaya neolitik mengenai penempatan awal di Gelugor dan Sungai Ara sebelum Light. Orang Melayu sudah membuka Tanjong Penaga sebelum kedatangan Light membina Fort Cornwalis.

Prof Ahmad Murad Merican menjelaskan bahawa sebenarnya Pulau Pinang bukanlah dibuka oleh Francis Light. Orang yang bertanggungjawab membuka Pulau Pinang atau nama asalnya Tanjung Penaga ialah Tok Jenaton yang berasal dari Pagar Ruyong.

Selanjutnya, boleh baca sini.

Seuntai kata untuk dirasa : Mereka bukan sahaja menjajah tanah air kita, tetapi turut menjajah minda kita dengan penyimpangan fakta sejarah yang menunjukkan mereka sebagai pencetus tamadun orang lain. Ingat, sejarah ialah akar diri dan jati diri.

Guru

بسم الله الرحمن الرحيم


Terjumpa kata-kata William Arthur Ward ini di bilik guru :

Guru yang biasa memberitahu,
guru yang baik memberi penjelasan,
guru yang bagus memberi tunjuk ajar,
guru yang hebat menjadi inspirasi.

Seuntai kata untuk di rasa : Kita semua adalah 'guru' tidak kira siapa kita. Jadilah guru yang terbaik terutamanya kepada diri sendiri. =)

Mutiara

بسم الله الرحمن الرحيم
"Minat yang tersemai kukuh sejak sebagai mahasiswa di Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 1978 menyebabkan TIGA BUAH BILIK saya sesak dengan buku. Kini, saya menganggarkan sekurang-kurangnya terdapat sekitar 10,000 JUDUL BUKU dalam simpanan saya." ~ Dr. Jeniri Amir

Banyaknya! Sememangnya beliau seorang tokoh yang hebat... Saya suka sekali dengan buku '7000 Mutiara Kata' karangan beliau. Pertama kalinya memandang buku ini di rak buku-buku baharu di Pusat Sumber Dato' Lokman Musa, saya sudah mula jatuh hati dengan buku ini. Namun, pada ketika itu, buku baharu seperti ini tidak boleh dipinjam, hanya boleh dibaca di dalam pusat sumber. Oleh itu, saya sering menjadikan buku ini sebagai satu 'kewajiban' setiap kali singgah di pusat sumber. Mengapa? Sudah tentu kerana hendak menyalin mutiara kata yang menarik. =P


Saat ini, saya sudah memilikinya. Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Tak perlu mencari-cari buku ini lagi di pusat sumber. Andai anda peminat mutiara kata, tidak rugi untuk menjadikan buku ini sebagai salah satu koleksi bahan bacaan anda. Buku ini menghimpunkan ungkapan-ungkapan yang terhasil daripada ketinggian daya fikir para pemimpin, pemikir dan cendekiawan besar. Idea-idea mereka tahan diuji zaman hingga layak menjadi kata-kata hikmah.

Adakalanya, kata-kata kiasan ini bisa melembutkan hati insani dengan 'menyindir secara harus dan tulus'. Saya cukup kagum dengan individu yang punya kemampuan menghasilkan mutiara kata dan kata-kata hikmah yang hebat yang tentunya menyentuh hati manusia dengan izin-Nya. Mereka tentunya pemikir yang hebat!

Bukan tokoh-tokoh ternama sahaja yang mampu melakukan sedemikian, malah anda juga. Tentu ada yang pernah menukilkan kata-kata hikmah yang dikarang sendiri secara peribadi. Jangan malu untuk mempamerkannya. Andai ungkapan yang anda hasilkan itu dapat memotivasikan diri sendiri, tidak mustahil ada yang tersentuh dan menjadikan ungkapan itu sebagai satu perangsang kepada diri mereka juga. Ingat SN Usman Awang pernah berpesan, "Tajam keris raja, tajam lagi pena pujangga".

Seuntai kata untuk dirasa : Kalau tidak keberatan, kongsikan mutiara kata atau kata-kata hikmah kegemaran anda di sini. Terima kasih. =)

Teruskan ya!

بسم الله الرحمن الرحيم


Sepi.. Bukan tidak mahu mengemas kini teratak ini. Ada sahaja bicara yang berlegar-legar di ruang minda, melahirkan monolog sepi di kamar hati, namun tidak terzahir pada kanvas maya ini.

Saat bersiar-siar di taman maya melihat sahabat-sahabat gigih berusaha menyebar ilmu Allah, menegakkan kalimah La ilaha ilallah di bumi Allah ini, hati terasa begitu pilu, apakah diri ini bisa sebegitu? Menjalankan tugas sebagai khalifah seperti yang dijanjikan suatu ketika dahulu.


Sungguh hebat mereka mungkin juga kamu yang sedang membaca coretan ini. =) Punya ilham yang dikurniakan-Nya yang bisa menyentuh hati-hati yang leka. Mudah-mudahan kamu istiqamah dalam bertinta kerana Allah. Teruskan perjuangan kamu yang tidak akan terhenti itu. Semoga kalimah-kalimah indah yang tersusun rapi itu mampu membuatkan diri ini dan sesiapa jua mengingati-Mu seterusnya mencintai-Mu Ya Rabb. Tahniah!


Seuntai kata untuk dirasa : Sahabat-sahabat sila lihat mutiara kata keempat di 'sidebar' sebelah ini.^_~

Mod Peperiksaan

بسم الله الرحمن الرحيم

Selamat Menghadapi Peperiksaan! =)

Al-Sya'bi berkata, "Aku tidak pernah menuliskan tinta hitam ke atas kertas putih tentang sesuatu ilmu kecuali aku menghafalnya terlebih dahulu".

Positif, bukan negatif. Aktif, bukan Pasif.~Hamka

Pastikan kunci kejayaan ukhrawi dan duniawi dalam genggaman!

...tiada kemenangan melainkan berkat pertolongan Allah...(Al-'Imran:126)


Seuntai kata untuk dirasa : Apa yang dijangkakan itu selalunya menjadi realiti kerana jangkaan itu adalah doa dalam senyap yang diulang-ulang dengan penuh keyakinan. Doakan saya! =)

Sang Fitnah

بسم الله الرحمن الرحيم

Apa perasaannya difitnah?

Sungguh menggugah hati insani. Apalagi kalau musuh Allah sentiasa berusaha membisikkan hasutan supaya diri menyalahkan takdir Ilahi. Andai tidak diperangi, diri akan mudah sekali terjerumus ke dalam lumpur dosa.

Kala ini, simpati saya tumpah pada seorang sahabat. Ketabahan dan kekentalan jiwanya diuji dengan lemparan fitnah yang cukup mengguris hati. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya berharap dia tidak mudah mengalah dengan kehadiran sang fitnah yang melukakan ini. Pernah dahulu dia meluahkan rasa mengenai fitnah yang melanda. Kekuatan hatinya menepis serangan sang fitnah membuatkan saya kagum pada kesabarannya. Kini, sang fitnah hadir lagi mencabar keteguhan hati. Ujian ini amat berat sekali. Namun, ketahuilah sahabatku, hikmahnya amat besar untukmu. Indah hikmahnya andai digali dengan mata hati. Allah ingin mengajarkan sesuatu kepadamu. Bersangka baiklah pada-Nya. Jangan pernah menganggap dugaan ini sebagai satu beban, angaplah dugaan ini sebagai satu keistimewaan buat insan-insan yang terpilih. Ujian itu tanda sayang Allah pada hamba-hamba-Nya. Jangan pernah menyesali nikmat ini. Semakin kita mendekati-Nya, semakin banyak ujian daripada-Nya. Lantas, kita akan semakin menghargai segala nikmat ujian dan nikmat anugerah-Nya. Redhalah dengan hati yang ikhlas hanya kerana-Nya.

Maafkan diriku andai tidak berupaya memujuk hatimu. Namun, ketahuilah tangan ini ingin sekali menghapus air jernih yang mengalir dari matamu. Hanya Dia yang memiliki hati, Pemilik Hati yang berkuasa menyentuh jiwamu, jiwa hamba-Nya.

Sahabatku, ini hadiah untukmu. Dengarkanlah. Renungkan dengan mata hati...


Pasrah Segalanya-DeHearty

Seuntai kata untuk dirasa : Diri ini sentiasa mengharapkan mekar senyumanmu. Usah berduka lagi. Allah sentiasa bersama hamba-Nya yang sabar. Insya-Allah.

Langkah Pertama

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebuah perubahan... Cukup mudah diungkap dengan kata-kata. Realitinya sebuah perubahan menuntut sebuah pengorbanan yang tinggi disulam dengan perjuangan yang hebat dalam diri. Apa ertinya sebuah perubahan andai akhirnya tewas di tengah jalan?

Guru saya pernah berpesan :"Alam terbentang jadikan guru."


Lihatlah...


Pohon yang besar tinggi bermula daripada benih yang kecil halus. Tiada apa-apa yang akan terjadi tanpa LANGKAH PERTAMA.

Pohon hijau itu...

Renungkan...


Setiap pekerjaan ada kali pertamanya. Langkah yang beribu-ribu bermula daripada langkah yang pertama. Tiada apa-apa akan terjadi tanpa LANGKAH PERTAMA.


Bukankah kita perlu bermula daripada LANGKAH PERTAMA andai mahu menuju ke destinasi pilihan? Kita tentu tidak akan tiba di dewan kuliah andai kaki tidak mahu melangkah. Kita tidak akan dapat belajar andai diri masih berdegil mahu bersantai di kamar.
Kita tidak akan mencapai impian andai diri masih enak di dalam buaian.

Ya...

Kita tentu tidak akan berubah andai diri tidak mahu melangkah.

Segalanya bermula daripada LANGKAH PERTAMA. Ayuh diriku, laksanakan sebuah transformasi!

Mulakan langkah pertama dengan yakin dan percaya pada diri!

Seuntai kata untuk dirasa : Siapa yang paling mengenali diri kalau bukan diri sendiri. Siapa yang paling berkuasa untuk membawa perubahan dalam diri kalau bukan DIRI SENDIRI?

Sekitar Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011

بسم الله الرحمن الرحيم

Perjalanan ke PWTC

Perjalanan dari IPG KBM ke PWTC bermula di Stesen Kerinchi terus ke KL Sentral(LRT Putra) dan Stesen Putra(KTM). Dari Stesen Putra ke PWTC tidaklah sejauh Perlis ke Johor. =D Oh, ya! Ungkapan 'Membina Tamadun Budaya Membaca' anda akan temui di 'booth' Kumpulan Karangkraf. Sebuah pembinaan yang memerlukan usaha gigih daripada pelbagai pihak.

Dawama

Pelbagai bahan bacaan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka boleh didapati di Dawama Sdn. Bhd. Majalah DBP yang agak sukar ditemui di kedai-kedai buku boleh didapati di sini. Alhamdulillah, Tunas Cipta yang berharga RM 5.00 dijual dengan harga RM 4.00 di sini. Pegawai DBP memang mengakui majalah terbitan DBP seperti Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat, Tunas Cipta dan lain-lain sukar didapati di pasaran. Oleh itu, pihak Dawama mengalu-alukan pembaca majalah DBP melanggan majalah pilihan hati di 'booth' Dawama di PBAKL 2011 tanpa perlu menggunakan khidmat pos.

Kumpulan Karangkraf

Pada pandangan saya, suasana paling meriah dapat dirasakan di 'booth' Kumpulan Karangkraf yang dihangatkan dengan pelbagai aktiviti menarik. Hampir semua jenis bahan bacaan terdapat di sini. Sememangnya Karangkraf merupakan salah satu kuasa penerbitan bahan bacaan yang besar di Malaysia. Tidak hairanlah andai 'booth' Kumpulan Karangkraf menyamai luas sebuah 'ballroom'. Seperti yang anda lihat dalam gambar, terdapat pakej promosi dengan harga RM 45.00 untuk setiap pembelian tiga novel novelis thriller Ramlee Awang Murshid(kecuali novel Sutera Bidadari) di sini.

ILuvIslam di Kumpulan Karangkraf

Para peminat ILuvIslam boleh mendapatkan buletin ILuvIslam dan aksesori yang comel-comel di sini seperti 'badge' dalam gambar. Memang betul. Sangat comel.

Produksi Ana Muslim

Si comel Ana Muslim. Lagi comel. =)

PTS

'Booth' PTS merupakan salah satu tempat yang wajib saya kunjungi setiap kali pesta buku. Kenapa ya? Rahsia. 'Booth' PTS agak sederhana berbanding PBAKL 2010 pada tahun lepas. Saya tidak pasti adakah hanya saya sahaja yang merasakan perkara ini. Namun, sambutan yang diberikan oleh para pengunjung tetap meriah sehingga pergerakan agak terbatas ketika mahu memilih buku. Saya sempat membeli empat buah novel di sini - Nyanyi Sunyi karya Maskiah Masrom, Mekar Sakura Di Mimbar Cinta nukilan Ilham Hamdani dan novel tulisan Tere-Liye iaitu Moga Bonda Disayang Allah serta Bidadari-bidadari Syurga. Saya telah jatuh hati dengan tulisan Tere-Liye selepas membaca Hafalan Solat Delisa. Sebuah buku beliau yang belum saya temukan ialah Rembulan Tenggelam di Wajahmu.

Telaga Biru

Saya sangat suka dengan ungkapan 'Kembalikan Palestin' di 'booth' Telaga Biru. yang dihiasi bendera Palestin. =) Selain itu, sesiapa yang tidak berpeluang mendapatkan majalah Solusi bolehlah berkunjung ke sini. Banyak juga buku-buku baharu terdapat di sini.

Galeri Ilmu

Salah satu 'booth' sasaran saya ialah Galeri Ilmu. Buku-buku tulisan Ustaz Hasrizal dan Hilal Asyraf boleh diperoleh dengan lengkap di sini.

Sebenarnya, masih banyak tempat yang tidak dapat saya kunjungi atas sebab kekangan masa misalnya Al-Hidayah, Jasmin, MPH, Al-Ameen Serve Holdings, Pustaka Salam dan banyak lagi. Sekiranya anda telah ke PBAKL 2010, bolehlah anda kongsikan pengalaman anda di sana. Andai diizinkan-Nya, saya berharap saya diberi kesempatan ke PBAKL 2011 sekali lagi sebelum berlabuh tirainya pada 1 Mei 2011 nanti.

~Masih tercari-cari~

Tenggelamnya Kapal Ven Der Wijck-Hamka
Hati Sebening Mata Air-Amru Khalid
Ibadah Sepenuh Hati-Amru Khalid
Imam-Abdullah Hassan
Mahabbah-Shahnon Ahmad
Life Is An Open Secret-Zabrina A. Bakar
Seuntai kata untuk dirasa : Pastikan anda membuat belanjawan sebelum ke PBAKL. Keperluan lebih penting berbanding keinginan. Perkara yang paling penting selepas membeli buku-buku tersebut usah dibiarkan mereka sepi di rak menunggu kehadiran tuan. Ingatan untuk diri ini terutamanya! Selamat membaca!=)

Jom ke PBAKL 2011!

بسم الله الرحمن الرحيم

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011(KLIBF 2011)

Jom musafir ke PWTC!


Merindui buku

Inilah denai jejak seni ke hati,
puncak fikir yang indah sekali,
tanpa himpunan ilmu di kalbu buku
kita tak sempat sampai ke mercu itu.

Di sini diri sentiasa di taman
menikmati unggas dan puspa menawan;
di sinilah vista buku saraf seni,
meranum akal mematang peribadi.

Kita wajar berpesta di kalbu buku
menghayati nikmatnya seindah syahdu
dalam tenang waktu khusyuk di pustaka
lebih cepat kita terasuh dewasa.

Buku adalah denyut nadi utama
penting bagi minda waras manusia;
dan buku juga gema fakir yang sakti,
nyaman dan mesranya sebuah simfoni.

Kita memupuk insan yang luhur budi
melalui tapisan hikmat berseni;
dan buku memang tasik aneka ilmu
yang perlu diselami sejujur kalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara;
membaca menjadi jambatan bertuah
kita merindu buku dan ghairah baca
agar sentiasa canggih dan berhemah.

A Samad Said
7 Mac 2004
Dewan Sastera Ogos 2004 ms 50

Seuntai kata untuk di rasa : Selamat mengembara di lautan ilmu duhai pencinta buku!

Kasih tak terucap

بسم الله الرحمن الرحيم

"What is a teacher? I'll tell you: it isn't someone who teaches something, but someone who inspires the student to give of her best in order to discover what she already knows."- Paulo Coelho

Adakala putik kasih tak terucap oleh kata-kata, namun bunga-bunganya bersemi dalam kudus doa. =)

Seuntai kata untuk dirasa : Seorang guru tidak akan pernah bisa benar-benar mengajar kecuali dia sendiri masih belajar.

Pesanan untuk hati

بسم الله الرحمن الرحيم


Semoga Allah memberi kekuatan buatmu untuk menempuh hidup ini.. Jangan sesekali meminta dikurangkan ujian, sebaliknya mohonlah kepada-Nya untuk ditambahkan kekuatan iman untuk menempuh ujian-Nya, sesungguhnya Allah sayangkan kamu...

Seuntai kata untuk dirasa : Ingin hati sedingin embun pagi...

Kulihat dia

بسم الله الرحمن الرحيم

Semalam 
kulihat dia
mengutus duka
meratap hiba
menangis di ribaan-Nya.


Semalam 
kulihat dia
menghimpun harapan
merintih dahagakan
embun kasih-Mu Tuhan.

 

Semalam
kulihat dia
 
menyingkap tirai malam
melamar secebis kekuatan
dalam sujud syahdu berpanjangan.

Dingin malam ini
kulihat dia

mengguyur setitik cinta
melangit semerbak haruman taqwa
 
kutahu kini dia
damai dalam pelukan-Nya.

Seuntai kata untuk dirasa : Ingin kulamar senyum malam dengan secebis kekuatan. Ya Rabbul Izzati, pinjamkan daku kekuatan itu...



Nafas mereka adalah zikir

بسم الله الرحمن الرحيم

Pokok dan bunga... Subhanallah!

Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun”~(Al-Israa:4).

Subhanallah! Sebenarnya sangat teruja tika melihat ciptaan-Nya ini. Tambahan pula saya tidak pernah menemukan tumbuh-tumbuhan seperti ini(kasihannya) - bunga yang tumbuh pada sebatang pohon(tidak tahu namanya) di sekitar Taman Rekreasi Amcorp. Bagaikan si kembar tidak seiras. Apalagi tangan ini terus sahaja tidak segan silu memotretkan keindahan sang flora.

Begitulah ciptaan-Nya yang tiada tandingan. Keindahannya kadang kala terlalu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Tumbuh-tumbuhan adalah makhluk yang sentiasa mengalunkan zikir membesarkan-Nya. Setiap nafasnya adalah zikir. Setiap gerakannya adalah tasbih cinta memuji Yang Esa. Subhanallah!

Kita pula adalah makhluk yang mampu berfikir, sudah tentu mampu juga berzikir. Akan tetapi yang mana satu pilihan kita? Tepuk dada tanyalah iman...=) (peringatan buat diri ini yang sering alpa)
.

Seuntai kata untuk dirasa : Biarkan mereka bernafas di bumi ini.

Salam Maulidur Rasul

بسم الله الرحمن الرحيم

Salam Maulidur Rasul 1432H

Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad

Seuntai kata untuk dirasa : Adakah cinta kita pada junjungan mulia Rasulullah s.a.w hanya terasa pada 'hari ini' atau pada tiap saat nafas yang terhela ... atau bagaimana?

Senjata

بسم الله الرحمن الرحيم

"Seorang pendekar kesateria, tidak mencuba bermain senjata. Hanya orang yang tidak yakin, belum percaya akan kekuatan diri sajalah yang memakai senjata." ~ Usman Awang

Seuntai kata untuk dirasa : Percaya. Tuhan selalu punya rahsia.

Simpulan

بسم الله الرحمن الرحيم


Tali ini akan kusimpul rapi hingga pertemuan abadi.

Seuntai kata untuk dirasa : Pertemuan abadi di negeri abadi
.

Memandang

بسم الله الرحمن الرحيم

"Berhati-hatilah dalam memandang kerana sesungguhnnya memandang dapat menumbuhkan syahwat dalam hati dan ini akan menyebabkan fitnah."~Nabi Isa a.s
Bukan mudah mengawal mata. Namun, andai hati mengawal mata, maka setiap pandangan akan dikuasai hati.

Jangan biarkan si A'war memanfaatkan kebolehannnya menyusup masuk ke dalam pandangan mata!

P/S : Sila rujuk Advencer Si Peniup Ney-Faisal Tehrani(halaman 149) untuk maklumat lanjut.

Seuntai kata untuk dirasa : Dia tidak suka memandang. Dia tidak suka dipandang. Indah senyumannya. Indah akhlaknya.

Sakit

بسم الله الرحمن الرحيم

Sumber

“Syafakallah syifaan ajilan, syifaan la yughadiru ba’dahu saqaman.”

Semoga Allah menyembuhkanmu secepatnya, dengan kesembuhan yang tiada sakit setelahnya.

Bukan mudah bertarung dengan kesakitan yang hanya diri merasakannya. Bukan mudah menangani keuzuran yang tidak mampu dikongsi deritanya. Sahabat yang disayangi, jangan pernah merasa sendirian. Wujudmu benar-benar ada dan bererti. Kamu punya Sang Khalik yang tidak pernah sesaat melupakanmu. Kamu sentiasa diperhatikan, disayangi dan dicintai semua orang. Yakinlah, kesembuhan akan menjengah dengan izin-Nya. Banyakkan istighfar dan selawat. Moga Allah memberikan jalan kesembuhan yang lebih mudah. InsyaAllah...

Seuntai kata untuk dirasa : Pintu-pintu syurga terbuka lebar untuk orang yang sabar menerima ujian dari Allah!

Pesan Sebuah Kematian

بسم الله الرحمن الرحيم

Jangan berbangga dengan pakaian yang cantik dan mahal, kerana pakaian terakhir kita nanti ialah kain kapan.

Jangan berbangga dengan kenderaan mewah, kerana kenderaan terakhir kita ialah van jenazah dan papan keranda.

Janganlah terlalu seronok dengan tempat tidur yang empuk dan nyaman kerana tempat tidur terakhir kita adalah di liang lahad.

Jangan pula ego dan bongkak kerana mampu memiliki rumah mewah seperti istana kerana rumah terakhir kita nanti ialah kubur bertiang dua.

Jangan terlalu megah dengan pangkat dan darjat kerana apabila sudah tiada nanti, kita dapat gelaran al-marhum.

Janganlah terlalu bangga dan berlagak dengan wajah yang kacak dan cantik kerana apabila kita mati nanti, wajah itu akan berubah menjadi tengkorak dan dimakan cacing.

Seuntai kata untuk dirasa : Setiap detik menghampiri sebuah kematian.

Related Posts with Thumbnails

Followers

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)
Solat dahulu, barulah selesaikan urusan lain. Selepas itu, Insya-Allah hati akan terasa lebih tenang untuk lakukan apa jua urusan kerana urusan dengan Allah telah kita selesaikan. =)

Hamba-Nya

My photo
Penang, Malaysia
Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah. Ya Allah kumengharap keredhaan-Mu. Kumenuju pada-Mu Ya Rabb. Pimpinlah daku. Amin Ya Rabb al-A'lamin...

Mutiara kata

...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(Al-Baqarah:216)

Perjuangan Secebis Jihad.. Terkadang meruntun hati, menguji rasa. Namun, setiap kegetiran yang melanda, renungkanlah kembali satu hakikat, kitalah mujahidah Allah. Senyum dan menangislah hanya kerana Dia.

Nota: Saya mengalu-alukan nasihat dan teguran membina daripada anda. Teguran dan nasihat anda amat bermakna untuk saya. Sekian, terima kasih. Jazakumullah khayran khateera. =)