Sinar Kehidupan

Hidup ialah Sebuah Perjuangan

Alam

بسم الله الرحمن الرحيم


Agaknya macam mana sawah padi kat kampung sekarang?

~ Rindu ~

Desa tercinta


Resmi padi, makin tunduk makin berisi.

~ Alam banyak mengajar manusia erti kehidupan ~

Seuntai kata untuk dirasa : Setiap butir nasi yang masuk ke dalam mulut adalah rahmat dan kasih sayang Allah.

Moga dipermudahkan

بسم الله الرحمن الرحيم

Akhirnya tanggal 26 Oktober 2010 yang dinantikan akan menjelma juga. Esok saya akan ke SK Bangsar untuk menjalankan amali pengajaran mikro aka micro teaching bagi subjek Kurikulum dan Pedagogi Pendidikan Jasmani(KPPJ). Terima kasih buat pensyarah KPPJ, Encik Bai yang amat prihatin, mengambil berat masalah pelajar dan sentiasa memberi komen serta idea yang bernas untuk amali micro teaching ini dan pembinaan RPH. Sahabat-sahabat sendiri tahu betapa Encik Bai memberi komitmen tinggi dalam perkara ni.

Sesi refleksi oleh Encik Bai (P/S: Tengok awan tu cantik kan! Subhanallah!)

Ini adalah kali kedua amali pengajaran mikro ni dilaksanakan. Kali pertama dulu yang jadi murid-murid adalah rakan-rakan sendiri. Alhamdulillah berjaya dilaksanakan walaupun ada sedikit cacat cela sana sini. Maafkan saya sahabat-sahabat andai waktu melaksanakan micro teaching yang lalu saya tak lakukan yang terbaik. InsyaAllah esok akan ada penambahbaikan selepas sesi refleksi lalu. Harap-harap dapat lakukan yang terbaik untuk amanah ini.

Adakah anda sudah bersedia?

~ Moga Allah permudahkan segala urusan pada hari esok. Doakan saya ya.. ~

Sila baca pantun ni dengan gaya berpantun :

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.(Tolong ya!)

Seuntai kata untuk dirasa : Tiga tahun menjadi guru pelatih, saya tetap budak baru belajar, masih belajar dan InsyaAllah akan terus belajar hingga ke liang lahad.

Tenang di situ

بسم الله الرحمن الرحيم

Entah mengapa hati yang berkocak akan selalu menjadi tenang pabila berada di situ. Tempat tu begitu dekat dalam hati walau hakikatnya jauh. Tak tahu kenapa ya saya suka sangat... Suka sangat apabila berada dalam Masjid Negara yang terletak di Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Pertama kali ke sini adalah semasa lawatan asrama HSBM ke Kuala Lumpur, kalau tak salah waktu tu saya berada di Tingkatan Dua. Excited sangat waktu tu. Yelah bukannya selalu dapat menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.

Entrance

Main Prayer Hall

Sejak belajar di IPG KBM, adalah beberapa kali ke sini. Alhamdulillah, saya sekali lagi dapat ke sini. Satu perkara yang membuatkan saya ingin ke sini kerana teringat akan seorang mak cik yang sangat sangat khusyuk membaca Al-Quran. Saya hanya memerhati dari jauh ketika itu. Selepas bertegur sapa dan bersalaman untuk meminta diri, mak cik masih tetap khusyuk membaca Al-Quran tanpa sesiapa menemani di sisi. Sehingga pandangan terakhir saya sebelum melangkah keluar masjid, mak cik tetap setia dengan 'Sastera Ilahi'. Mungkin satu hari nanti jika dapat kembali ke sini saya harap dapat berjumpa lagi dengan mak cik. Khabarnya, mak cik sentiasa berada di sini.

Sekarang ni sebahagian kawasan masjid negara under construction. Tak tau lah bila nak siap. Harap nanti makin cantik InsyaAllah. Terima kasih kepada sahabat-sahabat kerana kalian saya dapat menjejakkan kaki ke sini lagi. Jazakumullah khair.. =)

Under construction

Kerlipan neon menyimbah perkarangan dewan solat

Di hadapan pintu dewan solat bahagian muslimah dekat kaunter tu ada macam-macam brosur. Saya sempat ambil tiga. Kalau ada yang berminat nak tengok keseluruhan brosur tu bagitau ye. InsyaAllah kalau rajin saya scan dan upload atau boleh dapatkan terus daripada saya. =D

Kebenaran tentang Isa Al-Masih

Invitation to Understanding Islam from PERKIM

Ketika menaip entri ini, teringat akan cerpen Mandala Anak Merdeka karya Zainab Haron yang mengangkat persoalan mengimarahkan masjid di tangan watak Mat yang menggunakan hikmah untuk mengajak penduduk kampung berbuat demikian. Hebatnya syabab ini.

Anda boleh membaca cerpen ni dalam Antalogi Cerpen dan Puisi : Cinta dan Rona Kinanah. Muka depannya buku ini InsyaAllah mungkin lebih berkenan andai model tak menggayakan sebegitu rupa tapi isinya Subhanallah sarat dengan pembangunan spirital dan minda tentunya.


Seuntai kata untuk dirasa : Setiap orang mesti ada tempat kesukaan masing-masing. Anda bagaimana?

Warkah Hati

بسم الله الرحمن الرحيم

Menyusuri lorong kecil berbata merah itu bukanlah sesuatu yang asing bagi ana. Cuma sudah lama tidak berkunjung ke situ. Ana tersenyum mengenangkan pertemuan tadi. Ana berjalan lambat-lambat ingin menikmati keindahan alam ciptaan-Nya. Damainya hati dikelilingi hijau warna alam. Kemudian, ana mendengar sayup-sayup nama dipanggil.


Ana berpaling. Ukhti, itu kamu. Tidak tahu mengapa ukhti tergesa-gesa berlari anak mendapatkan ana.
Kehadiranmu mengejutkan. Matamu bergenang air mata. Air mata tulus yang hadir dari jiwa yang bersih suci. Ana merasakannya. Khali sejenak. Mata kita bertentang. Pandangan kita bertaut. Sepi. Timbul seribu persoalan bergalau dalam benak. Tangan ana digenggam erat. Ukhti sebak tidak dapat meluahkan kata. Ana tergamam diserbu panik. Tiada tenaga untuk memulakan bicara merungkai segala tanda tanya.


Ukhti menarik tangan ana. Kita duduk menghadap tasik itu.
Sedaya upaya ukhti meluahkan segala yang terbuku di hati. Ana mendengar satu-persatu dengan teliti. Setiap butir bicara ukhti lembut menusuk kalbu. Mengalunkan kebenaran dengan ketegasan. Setiap bait kata disusun atur dengan baik. Ukhti begitu berhati-hati meyelami lautan hati ini. Ana tidak pernah menyangka ukhti begitu mengambil berat akan diri ini sungguhpun kita terpisah oleh jarak dan masa. Hati ana hiba bukan kerana terluka dek teguran ukhti tapi sungguh ana terharu hebatnya kasih sayang yang Allah anugerahkan ini. Pesanan dan nasihat yang ukhti sampaikan akan ana sisip kemas dalam hati.

Sungguh keikhlasan hati terpancar pada setiap tingkah dan tutur katamu. Ana akan berpegang pada senjata yang ukhti titipkan buat menyusuri denai kehidupan yang penuh onak duri ini. Juga buat dijadikan benteng mendepani dugaan yang satu itu.
Sebelum mengakhiri pertemuan pada petang itu, ukhti sekali lagi menggengam erat tangan ana. Ukhti bilang ukhti sentiasa bersama ana. Andai tidak di sisi, kita kan bertemu dalam kudus doa. Sambil mengesat air jernih di tubir mata, ukhti menyatakan ukhti sayangkan ana kerana Allah. Sungguh indah kalimah itu...

Lidah ana kelu. Ungkapan itu tersekat di kerongkong. Ana sukar sekali meluahkan rasa apatah lagi mengalirkan air mata. Namun,
ketahuilah ana juga sayangkan ukhti kerana Allah. Ukhti hadir tepat pada masanya tanpa dipinta. Ukhtilah permata yang dicari. Jazakillah khair ya ukhti...


Seuntai kata untuk dirasa : Ukhti, terima kasih. Moga Allah meredhai persahabatan ini...

Menjana Transformasi?

بسم الله الرحمن الرحيم

Papan iklan di Stesen LRT Masjid Jamek


'1 Malaysia Menjana Transformasi'

Bukankah '1 Malaysia Menjanakan Transformasi'?

~ Bahasa Jiwa Bangsa ~

Seuntai kata untuk di rasa : Mohon betulkan andai saya khilaf. =)

Bahagia

بسم الله الرحمن الرحيم


Seuntai kata untuk dirasa : Bahagialah orang yang dapat menjadi tuan untuk dirinya, menjadi kusir untuk nafsunya dan menjadi kapten untuk bahtera hidupnya~Saidina Ali bin Abi Talib~

Hamparan Biru 2

بسم الله الرحمن الرحيم


Hamparan Biru 2

Aku ingin meniti jaluran pelangi

agar aku bisa menikmati ketenanganmu
beralaskan gumpalan putih suci
berteman senyum sang mentari
serta desir angin membuai hati.

Aku ingin bebas berkejaran
menyusuri denai hamparan biru
tampak girang sinarmu
meneduh sukma rusuh
penawar jiwa keruh.

Aku tak ingin beradu di penghujung waktu
tiada di sisi menemani suka dukamu
andai aku tiada di sini
tiada lagi kunikmati
tenang hamparan biru yang kuimpi.

Zue
IPG Kampus Bahasa Melayu

Seuntai kata untuk dirasa : Sajak ini sambungan daripada Hamparan Biru.




=)

بسم الله الرحمن الرحيم


Seuntai kata untuk dirasa : Kenakalan mereka mengusir segala duka yang bertamu di hati=)

Related Posts with Thumbnails

Followers

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)
Solat dahulu, barulah selesaikan urusan lain. Selepas itu, Insya-Allah hati akan terasa lebih tenang untuk lakukan apa jua urusan kerana urusan dengan Allah telah kita selesaikan. =)

Hamba-Nya

My photo
Penang, Malaysia
Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah. Ya Allah kumengharap keredhaan-Mu. Kumenuju pada-Mu Ya Rabb. Pimpinlah daku. Amin Ya Rabb al-A'lamin...

Mutiara kata

...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(Al-Baqarah:216)

Perjuangan Secebis Jihad.. Terkadang meruntun hati, menguji rasa. Namun, setiap kegetiran yang melanda, renungkanlah kembali satu hakikat, kitalah mujahidah Allah. Senyum dan menangislah hanya kerana Dia.

Nota: Saya mengalu-alukan nasihat dan teguran membina daripada anda. Teguran dan nasihat anda amat bermakna untuk saya. Sekian, terima kasih. Jazakumullah khayran khateera. =)