Sinar Kehidupan

Hidup ialah Sebuah Perjuangan

Puisi : Resah

بسم الله الرحمن الرحيم


Resah


Resah yang menyapa

menular duka nestapa

membuai hati yang leka

dalam rasa jiwa gelita.


Resah menyelubungi jiwa suci

dirobek keganasan duniawi

tak pernah henti menyalakan api

menghalang laluan pada Ilahi
.

Resah tanpa malu bertandang

meronta menyelubungi segenap hati

pembawa khabar nyata pada diri
gelisah mengungkap kebatilan.


Kembali pada yang Ilahi

mengusir kebatilan menguasai diri

mencari ketenangan abadi

dalam sendu tangisan syurgawi.


Zue
IPG Kampus Bahasa Melayu


Seuntai kata untuk dirasa : Ketenangan membawa kebenaran. Kegelisahan menyuluh kebatilan.





Download Wallpaper

بسم الله الرحمن الرحيم

Berita baik buat peminat wallpaper(kertas dinding). Saya ingin kongsikan wallpaper buat anda semua. Boleh juga dijadikan koleksi atau mungkin berguna untuk untuk pembentangan menggunakan power point misalnya ataupun untuk edit gambar-gambar anda barangkali. Saya harap perkongsian ini bermanfaat untuk anda. InsyaAllah.. =)

1. Wallpaper Illustration cartoon girl

Sila klik Download

2. Wallpaper Forever Friends

Sila klik Download

Kedua-dua wallpaper ini banyak memberi bantuan buat saya terutamanya semasa menyiapkan kerja mingguan 'Tutorial Pembelajaran' untuk subjek Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (BMM3105). Jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan buat walcoo.com dan walcoo.net kerana menyediakan banyak koleksi wallpaper untuk dimuat turun. Anda juga boleh dapatkan segala wallpaper yang menarik di sana. Manfaatkan kemudahan teknologi untuk meningkatkan potensi diri.. ^_~

Seuntai kata untuk dirasa : Comel sgt bear forever friends ^_^

Cuti datang lagi!

Happy Holidays Pictures, Images and Photos

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah.. Cuti semester selama tiga minggu ini adalah waktu yang ditunggu-tunggu setelah berhempas pulas menghadap gelombang peperiksaan. Namun cuti bukanlah suatu alasan untuk bersenang-lenang. Biarpun namanya 'cuti' bukanlah bererti kita perlu merehatkan diri dan 'membalas dendam' pada kesibukan yang dilalui sebelumnya. Apa yang penting kita perlu merancang sesuatu yang bermakna untuk dilakukan pada masa senggang yang amat berharga ini. Mungkin kita tidak sedar hidup ini adalah satu perjuangan atas nama khalifah Allah. Sedarlah wahai diri, perjuangan seorang khalifah tidak akan penah terhenti hingga saat kakinya menginjak pintu syurga. Tiada noktah yang hadir dalam diari hidup sang pejuang. Tiada juga istilah berehat.

Manfaatkan masa yang terluang dengan sesuatu yang 'menambah' kebaikan dalam diri bukan sesuatu yang 'merugikan' dan 'mengurangkan' kebaikan dalam diri sendiri. 'Sesuatu' itu mestilah yang mendatangkan manfaat. Manfaat pada diri, keluarga, agama dan negara. Biarpun hanya membaca akhbar atau hanya sebuah artikel barangkali, sudah dikira sebagai perkara yang bermanfaat.

Mulakanlah setiap sesuatu dengan lafaz 'bismillahirrahmanirrahim' dan niatkan kerana Allah s.w.t. Ingatlah setiap yang kita lakukan akan dihitung. Walau sekelumit kuman, walau sekecil zarah. Malaikat sentiasa taat menjalankan perintah-Nya mencatit segala kebaikan dan keburukan yang kita lakukan. Ingatlah wahai diriku..


Sepanjang cuti ini, saya ada merancang beberapa rancangan. Namun, rancangan sedikit tergendala dek aral yang melintang. Namun, suratan takdir Ilahi adalah yang terbaik buat manusia. Allah kan Maha Perancang. Mana mungkin Allah akan membebankan sesuatu yang tak mampu dihadapi oleh hamba-Nya.

Pada waktu cuti ini juga saya akan menjalani latihan memandu dan ujian memandu JPJ. Berdebar rasanya. Buat sesiapa yang turut mengalami keadaan yang sama seperti saya, saya doakan anda berjaya lulus dengan cemerlang. Sedikit panduan boleh dirujuk dalam blog ini
'tips belajar memandu'. Untuk yang dah mengalaminya, kalau tak keberatan, kirimkan nasihat dan panduan kepada saya ya. Moga Allah berikan saya keyakinan yang tinggi dan dipermudahkan segala urusan sepanjang cuti ini. Selamat bercuti!

Seuntai kata untuk dirasa : Doakan saya berjaya dan lulus ujian memandu pada minggu hadapan.. =)

Zikir Harian


Add VideoSeuntai kata untuk dirasa : Amalkan selalu.. InsyaAllah akan jadi tabiat..

Semua 12 rakyat Malaysia bebas, kini ke Amman

Semua 12 rakyat Malaysia yang ditawan oleh tentera Israel semasa kapal Mavi Marmara diserang pagi Isnin lalu disahkan selamat.

Perkara itu disahkan oleh wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail, 26 yang menghubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

"Alhamdulillah, kini kami selamat," katanya.

Ashwad adalah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang ditahan itu.

"Penderitaan rakyat Palestin selama enam dekad dapat saya rasakan sepanjang 28 jam berada dalam tahanan Israel.

"Saya dapat rasakan bagaimana derita penduduk Palestin semasa berada dalam tahanan," katanya ketika menceritakan mengenai layanan yang diterimanya ketika ditahan tentera Israel.

Menurut Ashwad, dia dan jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip, 43, kini berada di Jordan selepas dibebaskan daripada tahanan Israel dan menunggu untuk dibawa pulang ke tanah air.

Semua mereka kini berada di sempadan di Jordan sementara menunggu persiapan bagi membawa mereka pulang ke Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kini dalam perjalanan ke Jordan bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia yang ditawan pihak Israel itu.

Beliau berlepas ke Jordan pada jam 10.15 pagi tadi dan dijangka tiba di Amman pada jam 1.30 tengahari waktu Malaysia.

“Anifah diiringi beberapa pegawai Wisma Putra,” kata seorang pembantu beliau.

Sementara itu menurut laporan AP, seramai 124 aktivis pro-Palestin dari 12 negara Islam termasuk Malaysia tiba di Jordan hari ini selepas dibebaskan oleh Israel.

Kumpulan itu yang ditahan dalam serangan komando Israel ke atas flotila bantuan Gaza kelmarin menyeberangi Jambatan Allenby ke Jordan dengan menaiki lima bas.

Pegawai tentera Jordan, Brigadier Mahmoud Abu Jumaa berkata, negaranya akan membantu menghantar pulang aktivis itu ke negara masing-masing dengan kerjasama kerajaan mereka.

Aktivis yang dibebaskan itu terdiri daripada rakyat Malaysia, Azerbaijan, Indonesia, Pakistan, Algeria, Jordan, Kuwait, Maghribi, Mauritania, Yemen, Oman dan Bahrain.

Sumber : Malaysiakini

Seuntai kata untuk dirasa : Alhamdulillah.. Moga kita mengambil ikhtibar daripada kejadian ini.. Moga episod luka ini mampu membuka hati.. membuka mata.. dan membuka minda ummah... Sedekahkan Al-Fatihah buat yang terkorban di jalan-Nya.. Al-Fatihah..


Serangan rejim Israel ke atas Freedom Flotilla





Seuntai kata untuk di rasa : Apakah salah kapal-kapal kebaikan yang penuh dengan bantuan kemanusiaan ini? Adakah mereka membawa senjata berbahaya? Tidak sama sekali! Ya Allah lindungilah hamba-hamba-Mu yang berjuang di jalan-Mu...

Mavi Marmara dikosongkan, rakyat kita selamat

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Laporan terakhir mengenai keadaan misi kemanusiaan Freedom Flotilla yang diserang oleh komando rejim Israel menyebut bahawa sejumlah 535 penumpang sudah diturunkan dari kapal Mavi Marmara.

Menurut laman web Haluan Palestin, kapal itu kini dilabuhkan di Ashdod dan dalam keadaan kosong.

Informasi yang diungkapkan oleh Al-Jazeera tersebut diperolehi dari Kementerian Luar Negeri Israel.

Kebanyakan penumpang berasal dari negara yang memiliki hubungan diplomatik dengan Israel, seperti Lubnan, Mesir, Yaman dan yang lainnya sementara bakinya berasal dari negara yang tidak memiliki hubungan diplomatik dengan Israel.

Bagi aktivis yang berasal dari negara yang memiliki hubungan diplomatik, jika mereka tidak membantah arahan pemerintah, maka Israel maka mereka akan dihantar pulang secara langsung dengan menaikkan pesawat yang disediakan di bandar Tel Aviv.

Manakala bagi aktivis yang negaranya tidak memiliki hubungan diplomatik, ditahan oleh Israel hingga ada negara ketiga yang mahu menerima mereka.

Sehingga laporan ini dicatatkan, Al-Jazeera menyatakan ada 48 aktivis yang telah dihantar pulang, salah seorangnya adalah Edward Peck, warga yang berusia 81 tahun yang juga merupakan mantan Duta Amerika Syarikat.

Bakinya sejumlah 480 orang ditahan di penjara Israel di Beersheba. Mereka akan dihantar pulang jika urusan perundangan mereka dengan kerajaan Israel selesai.

Sementara itu, Wisma Putra melalui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan semua 12 orang rakyat Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marmara berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang kini masih di bawah tahanan Israel di Haifa.

Menurut Anifah, kerajaan sedang berusaha untuk membawa pulang kesemua mereka.

Malaysia telah mendapatkan kerjasama dari Kerajaan Turki dan Ireland bagi mendapatkan maklumat keadaan rakyat Malaysia tersebut.

Sumber : Harakah Daily

Laporan Radio Militer Israel menyebutkan, kapal MV Rachel Corrie akan masuk ke perairan Gaza pada Rabu (2/6) dan seorang anggota marinir Israel berpangkat Letnan yang tidak disebut namanya, dalam siaran radio militer Israel mengatakan, pihaknya berharap bisa mengambil alih kapal MV Rachel Corrie dengan mudah. Letnan itu juga menegaskan bahwa pasukan Israel sudah "siaga" untuk menghadang kapal Rachel Corrie.

Seuntai kata untuk dirasa : Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kapal MV Rachel Corrie.. Moga para aktivis dan bantuan selamat tiba di Gaza.. Allahuakhbar!

31 Mei 2010, apa yang Allah nak ajar kita?


Oleh : Hilal Asyraf

Semalam masih menghantui saya hari ini. Malam tidur kurang lena. Termimpi-mimpi mereka yang ditawan di Israel sana. Seakan keluarga saya sendiri yang ditawan. Berdebar-debar menanti keadaan nasib mereka.

Hingga hari ini, update yang didapati adalah sangat kurang dan kebanyakannya masih tidak mampu dijelaskan kesahihannya.

Sungguh saya melihat gelombang besar di dalam Facebook apabila kebanyakan news feed galak mencritakan peristiwa 31 Mei 2010. Forward memforward mesej, bertukar-tukar berita, laungan-laungan semangat, celaan dan selaan kepada Israel, kata-kata pembakar kepada kepimpinan dan 1001 macam lagi ekspressi.

Saya memandang jauh. Berhadapan realiti, saya tahu kemenangan tak akan sampai esok.

Justeru saya suka agar yang mengikuti Langit Ilahi belajar dari peristiwa.

31 Mei 2010, apa yang Allah nak ajar kita?

Di sini kita muhasabah diri dan melihat kunci kemenangan yang sebenarnya.

Hakikat sebuah perjuangan

Mungkin sebelum ini, kita sering sahaja melaung-laung akan perjuangan. Saya masih ingat betapa dari saya kecil, entah sudah berapa orang menyebut, dan entah sudah berapa kali saya dengar, suara-suara yang menyatakan harapan mereka:

“Ana nanti, nak pergi Palestin, bantu orang di sana”

Dan apabila konvoi Lifeline4Gaza bergerak, saya melihat realitinya. Manusia-manusia yang membumikan harapan mereka yang besar lagi tinggi. Mereka ini, kita lihat, akhirnya tersekat di tengah perjalanan ditahan oleh Israel. Lebih memburukkan, diserang dan ada yang terbunuh. Israel dengan berani menuduh pula bahawa orang di atas kapal yang menyerang terlebih dahulu.

Konvoi yang sekadar membawa bantuan kemanusiaan, dilayan lebih teruk dari binatang.

Maka, itulah dia hakikat perjuangan yang sebenar. Punya risiko. Perjuangan bukanlah satu jalan ‘pasti selamat’ yang kita lalui. Tetapi pejuangan adalah satu jalan yang menuntut pengorbanan.

Maka saya suka kita memandang semula kehidupan kita.

Apa yang telah kita korbankan?

Kadangkala, masa lapang pun sukar untuk kita berikan. Harta pun lokek kita kongsikan. Apatah lagi mengorbankan nyawa dengan mengambil risiko berjuang di atas jalan Allah.

Sungguh, kita hanya ada di pinggiran.

Hari ini terjadi, kerana kebodohan semalam

Walaupun saya amat sakit hati dengan tindakan Israel, sikap mereka, dan tindakan konco-konco mereka, saya tetap memandang bahawa apa yang terjadi hari ini adalah kerana kebodohan ummat Islam itu sendiri sebelum ini.

Kita lihat kehidupan kita. Kita lihat bagaimana keadaan negara-negara yang mencanangkan dirinya negara Islam. Kemudian kita lihat keadaan rakyat-rakyat di dalam negara Islam itu pula. Bagaimana keadaannya?

Kita lihat pula pergerakan-pergerakan dakwah. Bagaimana keadaannya?

Dan kita akan melihat betapa sebelum ini, kita asyik bergaduhan, berpecah belah, larut dalam kemaksiatan, lemas dalam kemungkaran, jauh daripada Allah SWT, tidak mengambil tatacara hidupNya, tidak membumikan ajaran RasulNya, dan melakukan 1001 macam kerosakan baik kepada diri, keluarga, rakan, mahupun negara.

Ummat Islam yang tidak faham Islam menghina-hina Islam. Ummat Islam yang faham Islam pula malas menyebarkannya. Yang menyebarkannya pula bergaduhan akan teritori dakwahnya. Yang bergaduhan, berakhir dengan benci membenci sesama mereka.

Kalau kita semua semenjak dahulu lagi tidak memakai pakaian kemegahan dunia, dan telah menyarung pada diri mereka qamis akhirat, nescaya tiada kebaculan kita, pemimpin-pemimpin kita hari ini yang mampu membuatkan perkara ini terjadi. Kapal kemanusiaan terapung di atas laut tanpa diiringi tentera yang boleh menjaga keselamatan? Itu sahaja sudah menunjukkan betapa negara-negara Islam tidak sensitif dengan semangat rakyatnya sendiri.

Dan lihatlah pula kita. Berapa ramai antara kita yang peka dan sensitif? Berapa ramai antara kita yang mengambil Islam sebagai cara hidup? Berapa ramai pula antara kita yang faham akan tuntutan diri sebagai hamba Allah? Berapa ramai pula yang menyebarkannya? Berapa ramai yang senang bersatu berbanding bergaduh?

Berapa ramai dan berapa ramai?

Sudah nyata, apa yang berlaku hari ini, itu kebodohan kita dahulu.

Dan Allah menunjukkan pembayarannya kepada kita hari ini.

Kita lemah dan tidak berdaya.

Hanya mampu menjerit sahaja.

Allah memperkenalkan wajah sebenar musuh kita

Selamat berkenalan dengan Israel Zionis. Itulah yang mampu saya sebutkan apabila peristiwa kejam 31 Mei 2010 berlaku. Ya, itulah dia Israel Zionis. Saya tak faham jika masih ada lagi yang hendak memberikan justifikasi kepada musuh-musuh Allah itu.

Sungguh, sikap mereka telah Allah nyatakan di dalam Al-Quran semenjak dahulu lagi.

Kita mungkin sebelum ini menyangka bahawa Israel hanya bermusuh dengan manusia di Palestina. Tetapi itulah kesilapan kita. Hakikatnya Israel bermusuh dengan sesiapa sahaja yang berusaha melakukan kebaikan. Sebab itu mereka tidak teragak-agak membunuh mereka yang ada di atas kapal semalam. Mereka juga tidak teragak-agak membuat tuduhan palsu.

Allah ingin menyatakan kepada kita, itulah dia Israel. Bukannya Israel tidak tahu bahawa kapal itu sedang diperhatikan perjalanannya oleh seluruh dunia. Tetapi mereka tetap berani melakukan sedemikian teruknya. Maka, pastinya lebih teruk lagi telah mereka kerjakan Palestin yang terputus dari dunia dikelilingi tembok kematian.

Itulah dia musuh kita.

Dan itulah dia yang menguasai dunia. Itulah dia yang kita sokong selama ini secara tidak langsung menggunakan hiburan yang melampau, menggunakan dosa-dosa, menggunakan maksiat kepada Allah SWT. Secara tidak langsung, kita menjadi askar-askar senyap mereka yang membuatkan merkea kuat hingga ke hari ini.

Sungguh hairan orang yang masih redha dengan kehidupannya yang bernaung bawah kekuasaan manusia yang ingkar dengan Allah SWT jika dia menyedari hal ini.

Jalan kemenangan bukan dengan jeritan

Saya dapat melihat betapa jeritan, laungan, seruan di dalam Facebook atau di mana-mana sahaja berkenaan peristiwa ini akan senyap tidak berapa masa lagi. Forward-memforward gambar akan berhenti. Post-post berkenaan Palestin akan surut kembali tidak lama lagi.

Saya kira, nanti apabila tawanan perang dibebaskan, dunia akan senyap kembali. Alangkan pembunuhan besar-besaran seperti Shabra dan Shatilla yang menggemparkan dunia pun akhirnya senyap begitu sahaja. Apatah lagi 20 orang yang mati di atas kapal yang cuba merentas Gaza tanpa kebenaran Israel?

Ya, itu realitinya. Jiwa ummat terbius. Semangat hanya hangat-hangat tahi ayam. Kita sampai satu tahap rasa telah menang. Menang sorak sahaja hakikatnya. Kita rasa puas dengan membakar bendera Israel. Mendelete lambang-lambangnya di dalam komputer. Menyelar-nyelarnya di dalam internet. Mendoa laknat dan kehancuran untuk mereka.

Tetapi kita lupa, kemenangan memerlukan lebih daripada itu.

Kemenangan perlukan jiwa yang memahami matlamat yang jelas. Kemenangan memerlukan kesatuan yang utuh. Kemenangan perlukan pengorbanan. Kemenangan perlukan perancangan yang bersistematik. Kemenangan bukannya datang sepantas esok apabila kita berusaha hari ini. Kemenangan bukannya datang dengan jeritan-jeritan kita.

Jerit, laung, doa, yang kini hangat di alam maya, itu semua hanyalah pembakar semangat.

Api, tetap akan padam jika tiada bahan bakarnya yang konsisten.

Persoalan utama, apakah kita telah memenuhi ciri-ciri untuk diberikan kemenangan?

Jangan fikir jerit kita, laungan kita, forward-forward gambar kita, semuanya itu bermakna untuk kemenangan seandainya kita sendiri dalam bentuk jasad dan kehidupan tidak bergerak menewaskan Israel di dalam jiwa kita, di dalam tatacara kehidupan kita.

Israel hanya akan tewas, bila ummah dalam kondisinya yang baik.

Maka siapa yang menggerakkan dirinya, memperbaiki dirinya, dan mengajak masyarakat sekeliling agar kembali kepada Allah SWT? Siapa yang menggerakkan dirinya, agar ikhlas bersatu dengan sahabat-sahabat muslimnya yang lain? Siapakah yang mendidik dirinya agar kehidupannya bergerak atas lembayung Allah SWT?

Siapakah yang berusaha untuk menang ini?

Penutup: Apa yang mereka ada, apa yang kita tiada?

Akhirnya, saya suka kita mengambil pengajaran yang mendalam akan hal 31 Mei 2010. Memang Israel kejam. Tetapi jika difikirkan semula, itulah dia tugasan dan kerja musuh-musuh Allah. Bukankah kita yang lebih kejam daripada Israel sekiranya kita hidup bukan dengan kehidupan Islam yang akhirnya membawa kepada kelemahan ummah dan menyebabkan peristiwa seperti ini berlaku?

Saya suka kita memandang zaman-zaman kemenangan Islam. Zaman Saidina Umar Al-Khattab dan Salahuddin Al-Ayubi. Mari kita soal diri kita, apa yang dua zaman itu ada, dan apa yang kita tiada?

Zaman itu ada masyarakat yang hidup betul-betul dengan kehidupan Islam, duduk betul-betul di bawah lembayung redha Allah SWT, bersatu, bersih akhlak dan ibadah, pemimpin yang adil, rakyat yang faham dan semuanya tetap menjungjung agama Allah SWT dalam apa jua keadaan.

Zaman itu ada semua itu.

Zaman kita apa yang ada?

Maka saya melihat, jika hendakkan kemenangan, maka mahu atau tidak, itu semua perlu kita dapatkan kembali.

Dahulu, negara-negara arab pernah menggerakkan Perang Enam Hari. Mesir, Jordan dan Syria bergabung untuk menewaskan Israel yang sekangkang kera. Tetapi akhirnya, ketiga-tiga negara itu tewas dan akhirnya Israel menjadi tuan mutlak ke atas Palestina.

Kenapa mereka tidak menang?

Jawapan saya, mereka tidak memenuhi ciri-ciri kemenangan.

Tidakkah kita mengambil pengajaran?

Sesungguhnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan kita. Tetapi kitalah yang meninggalkan Allah SWT.

Sumber : Langit Ilahi


Seuntai kata untuk dirasa : “Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’iin. Ihdinaassiraatalmustaqiim, siraatalladziina an’amta alayhim ghayril maghdhoobi alayhim walaadhhaalliin”

Related Posts with Thumbnails

Followers

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)
Solat dahulu, barulah selesaikan urusan lain. Selepas itu, Insya-Allah hati akan terasa lebih tenang untuk lakukan apa jua urusan kerana urusan dengan Allah telah kita selesaikan. =)

Hamba-Nya

My photo
Penang, Malaysia
Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah. Ya Allah kumengharap keredhaan-Mu. Kumenuju pada-Mu Ya Rabb. Pimpinlah daku. Amin Ya Rabb al-A'lamin...

Mutiara kata

...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(Al-Baqarah:216)

Perjuangan Secebis Jihad.. Terkadang meruntun hati, menguji rasa. Namun, setiap kegetiran yang melanda, renungkanlah kembali satu hakikat, kitalah mujahidah Allah. Senyum dan menangislah hanya kerana Dia.

Nota: Saya mengalu-alukan nasihat dan teguran membina daripada anda. Teguran dan nasihat anda amat bermakna untuk saya. Sekian, terima kasih. Jazakumullah khayran khateera. =)