Sinar Kehidupan

Hidup ialah Sebuah Perjuangan

Konvoi Gaza: Serah memo esok, demo Jumaat


KUALA LUMPUR, 31 Mei: PAS akan menghantar satu memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Ampang jam 12 tengah hari esok (Selasa) berhubung serangan tentera rejim Israel ke atas Konvoi Kapal Freedom Flotilla.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan (gambar) memberitahu, penyerahan tersebut akan diketuai Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan akan turut disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.


Sehubungan itu, penyokong solidariti Palestin dan ahli PAS di sekitar Lembah Klang khasnya di Kuala Lumpur dan Selangor diminta hadir sebagai tanda sokongan.
Mereka diminta membawa bendera Palestin dan placarad sebagai tanda bantahan terhadap kezaliman zionis Israel.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 20 daripada aktivis di atas kapal tersebut meninggal dunia dan 30 cedera akibat serangan tersebut awal pagi tadi.


Konvoi Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa itu diketuai oleh sebuah NGO dari Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) dan maklumat terkini mendapati kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel.


Konvoi itu membawa kira-kira 15,000 tan barangan bantuan kemanusiaan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun.


Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Pusat mewajibkan seluruh ahli dan pimpinan Pemuda kawasan dan negeri hadir ke himpunan sejuta umat di depan kedutaan Amerika selepas solat Jumaat, 4 Jun ini.


Pengerusi Dakwah dan Perkaderaan Pemuda PAS, Ustaz Ridwan Mohd Nor berharap semua peserta demo perlu membawa kain rentang, poster mempamerkan bantahan terhadap kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh rejim Israel.


Katanya, himpunan pada hari Jumaat itu akan menyatakan bantahan kepada pelindung Israel iaitu kerajaan Amerika Syarikat dan rejim Mesir.


Beliau menyelar tindakan serangan yang dilakukan oleh rejim Israel kerana kapal tersebut membawa bantuan kemanusiaan untuk membantu umat Islam Gaza.


Umat Islam Gaza kini sedang terkepung akibat pemencilan Israel dan sekutunya termasuk rejim Arab, katanya.


“Semua peserta demo akan berkumpul di Tabung Haji dan insya Allah demo akan dipimpin oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, pimpinan Pemuda dan juga wakil NGO,” ujarnya.

Beliau menyeru semua masjid dan markas PAS seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa qunut nazilah supaya Allah melindungi anggota misi kemanusiaan ke Gaza.


Sementara itu, Muslimat PAS Selangor turut membantah keras kekejaman tentera Israel yang menyerang misi sukarelawan membantu umat Islam yang terkepung di Gaza.


Naibnya, Ustazah Mariam Abd Rashid berkata, misi tersebut hanya untuk membantu mangsa perang yang sedang berhadapan dengan kesukaran dan keputusan makanan serta bekalan ubat-ubatan.


Sebenarnya kata beliau, Amerika Syarikat tidak serius melarang tentera Israel malah secara diam-diam rejim Obama menyokong tindakan tersebut.


"Kita minta umat Islam seluruh dunia berdoa dan munajat supaya konvoi sukarelawan itu terselamat dan Israel laknatullah segera dibalas Allah," katanya.

Sumber : Harakah Daily

Seuntai kata untuk dirasa : Semoga hikmah kejadian ini membuka mata hati. Moga Allah membantu misi sukarelawan di Gaza. Kirimkan doa buat mereka saudara-saudaraku sekalian...

Pelbagai pihak kutuk serangan Israel

Pelbagai pihak mengutuk serangan Israel terhadap flotila bantuan kemanusian ke Genting Gaza yang menyebabkan 16 kematian hari ini.

Menurut Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, atas apa alasan pun serangan Israel terhadap konvoi bantuan ke Palestin - yang merana di bawah sekatan ekonomi regim Zionis - tidak boleh diterima.

"Apa yang lebih mengejutkan lagi, pembunuhan kejam ini dilakukan di perairan antarabangsa, lebih kurang 65 kilometer dari persisiran Gaza, di mana tentera Israel tiada langsung hak kedaulatan untuk menyerang konvoi kapal tersebut.

"Tindakan ini ternyata melanggar peraturan antarabangsa lantas membuktikan sekali lagi bahawa rejim Israel adalah satu regim zalim laknatullah yang langsung tidak menghormati undang-undang," kata Khairy yang juga ahli parlimen Rembau.

Dalam kenyataannya sebentar tadi, Khairy menambah, Pemuda UMNO juga menggesa Kerajaan Malaysia melalui Kementeri Luar Negeri bersama rakan-rakan luar yang lain segera mendesak Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan keras terhadap Israel.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya berkata, selain mengancam beratus orang aktivis, serangan pasukan tentera laut Zionis itu turut mengancam ahli parlimen daripada Kesatuan Eropah dan pemenang hadiah nobel.

"PKR mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim Israel Zionis yang telah menyerang dan membunuh beberapa orang di atas kapal antarabangsa yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza," katanya.

Beliau juga mengambil kesempatan itu mengulangi tuntutan supaya kerajaan membatalkan kontrak bersama syarikat perunding APCO Worldwide bagi "menghantar mesej yang kuat" berhubung kejadian terbaru itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akan mengadakan demonstrasi besar dalam tempoh terdekat bagi menyatakan bantahan mereka.

"Ia akan diumumkan oleh setiausaha (Pemuda PAS) tidak beberapa lama lagi. Saya masih di Istanbul dan Insya-Allah menyertai himpunan bantahan bersama umat islam Turki hari ini di kedutaan Israel di sini," katanya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim pula dalam reaksi segeranya menyeru menyeru rakyat Malaysia supaya berdoa supaya kesemua tahanan dan bantuan yang diberikan selamat tiba.

"Saya juga memohon agar kerajaan mengambil sikap dan pendirian yang tegas di pentas antarabangsa melalui diplomasi antarabangsa kerana ia juga melibatkan (nyawa) rakyat Malaysia" katanya kepada Malaysiakini.

Sumber : Malaysiakini

Seuntai kata untuk dirasa : Demonstrasi di Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat ini! InsyaAllah..

Serangan Zionis ke atas konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza

Dua belas rakyat Malaysia disahkan berada di kapal Mavi Marmara - kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel.

Mereka termasuk dua wartawan sebuah televisyen berbayar di Malaysia. Mereka adalah sebahagian daripada misi 11 anggota yang dinamakan Lifeline4Gaza, yang mengambil bahagian dalam 'Flotila Kebebasan' bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Semenajung Gaza. Adalah dipercayai Lifeline bukan badan kemanusian tunggal dari Malaysia yang terbabit, kerana ada beberapa kumpulan yang bergerak secara berasingan dengan kapal yang lain.

Jurucakap Lifeline4Gaza, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata sembilan daripada mereka adalah sukarelawan dari enam NGO dari Malaysia. Mereka termasuk Haluan, Aqsa Syarif, Yayasan Amal, Muslim Care, Palestine Centre of Excellence (Pace) dan Jemaah Islamiah Malaysia (JIM). Dr Hafidzi berkata dia gagal menghubungi kumpulannya itu apabila serangan bermula dan mereka belum dapat mengenal-pasti identiti ke-12 rakyat Malaysia berkenaan.

Sementara itu, menurut ADUN Meri, Dr Abd Rani Osman yang kini di Instanbul juga mengesahkan penahanan rakyat Malaysia itu. Dr Abd Rani melalui SMS kepada Malaysiakini juga memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 16 aktivis pro-Palestin dibunuh, manakala puluhan lagi cedera dalam serangan itu.

Kapal Mavi Marmara yang dimiliki Turki itu kini dilaporkan dibawa ke Haifa, manakala semua penumpangnya akan dipenjarakan. Dua wartawan Astro Awani itu dikenalpasti sebagai Ashwad Ismail dan jurugambar dan Samsul Kamal Abdul Latip. Usaha Malaysiakini menghubungi Ashwad setakat ini tidak berhasil. Manakala dalam laman Twitter-nya, Ashwad hanya mengemaskinikan statusnya kira-kira 14 jam lalu. "Mavi Marmara on alert. Semua berada pada tahap tertinggi. Dua pesawat pemantau Drone dipercayai milik Israel kelihatan," coretan terakhirnya sebelum tragedi itu dipetik.

Terdahulu, menurut
AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.
Rangkaian televisyen berkenaan berkata, laporan awal mengesahkan dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan. Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Sumber :
Malaysiakini

Seuntai kata untuk dirasa : Begitu terkejut saat mendengar khabar Flotila di televisyen tadi. Zionis laknatullah benar-benar membuktikan kebenaran kedegilan mereka di dalam Al-Quran. Ya Allah, lindungilah saudara seaqidah kami dari Yahudi Zionis laknatullah! Ya Allah di tanganMu segala kekuatan dan hanya padaMu kami mengharap...

Sepahit-pahit ubat

”Dimanakah peganganmu selama ini? Dimana alunan Kalamullah itu? Sudah lama benar aku tidak mendengar suaramu memuji Kalam Allah itu. Kau berpotensi untuk menjadi calon soleh untuk dirimu, keluargamu, dan agamamu. Perhatikanlah Allah tidak pernah menyediakan sepahit-pahit ubat kepada makhlukNya melainkan ubat itu menjanjikan satu kenikmatan kesihatan pada jiwamu yang takkan kau temui jika kau masih menutup mata hatimu...”
~ bait-bait nasihat Mardhiahtul Aliah buat sepupunya, Umar ~

Seuntai kata untuk dirasa : Kemanisan sebuah kesembuhan bermula daripada pahitnya sebiji ubat...

Doa Imam Ali Zainal Abidin

بسم الله الرحمن الرحيم

"Ya Allah, setiap hari Engkau berkhidmat kepadaku, seakan-akan tiada lagi hamba selain aku. Padahal setiap hari pula malaikat menghantarkan kemaksiatanku kepada-Mu seakan-akan aku punya Tuhan yang lain selain Engkau."~Imam Ali Zainal Abidin~

Seuntai kata untuk dirasa : Ya Allah kurniakanlah kami kefahaman dalam agama-Mu, jadikanlah kami insan-insan yang tetap thabat pada jalan-Mu, ikatkanlah hati-hati kami, supaya tetap bersama-Mu, mengingati-Mu dan merindui syurga-Mu...

Tips Belajar Saat Akhir

Belajar pada saat-saat akhir menjelang peperiksaan bukanlah sesuatu yang bagus. Bagaimanapun, sekiranya anda terpaksa juga belajar sebegini, cuba amalkan kaedah di bawah ini:

1. Beri tumpuan lebih terhadap pembelajaran

Letakkan seluruh tumpuan fikiran anda kepada proses pembelajaran yang anda lakukan. Jangan terlalu memikirkan bahawa anda kesuntukan masa. Hafal perkara yang sepatutnya dihafal seperti biasa dan jangan melengah-lengahkan masa belajar.

Meskipun anda cuba mengenepikan ketakutan dan kegelisahan yang anda alami itu, tetapi lama-kelamaan perasaan itu akan datang semula. Sekiranya hal ini berlaku, cuba alihkan diri anda dari tempat belajar untuk melakukan senaman ringan seperti berdiri sambil menarik dan melepaskan nafas panjang-panjang secara perlahan-lahan beberapa kali. Kemudian duduk semula dan cuba teruskan pembelajaran anda. Cara ini sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan perasaan anda yang tidak tenteram itu.

2. Yakin terhadap kebolehan diri

Selalu tanamkan dalam diri anda bahawa “saya boleh” dan tulis besar-besar dan terang dan letakkan di hadapan anda (di tempat anda belajar). Tiap-tiap kali anda melihat kad itu anda yakin bahawa anda boleh berjaya. Sekiranya anda dapat menanamkan dalam diri anda bahawa anda bekeyakinan penuh boleh melakukan, maka secara sepontan anda berusaha bersungguh-sungguh dan mental anda dapat berfikir ke arah kejayaan dan apa-apa yang anda cita-citakan selama ini akan membuahkan kejayaan yang membanggakan.

3. Masa rehat perlu secukupnya

Semasa belajar anda berasa cepat letih, sama ada dari segi fizikal atau mental. Ambil masa untuk otak anda berehat sepenuhnya. Anda juga digalakkan bangun dan cuba berjalan-jalan sebentar dan setelah merasakan kelegaan barulah anda menyambung semula pembelajaran anda.

4. Hapuskan tabiat suka tidur

Sebaiknya para pelajar tidak terlalu melayan keinginan untuk tidur dari belajar. Kurangkan waktu tidur anda demi meraih satu kejayaan. Gunakan lebih banyak masa mengulangkaji pelajaran di samping melakukan latihan-latihan sendiri supaya anda berkeyakinan. Jadualkan masa tidur anda supaya anda tidak terlebih tidur. Sekiranya anda hendak tidur beberapa jam, anda pelu mengunci jam dan letakkan jam loceng berhampiran anda supaya anda terjaga pada waktu yang dikehendaki.

Masa-masa beginilah yang paling sesuai agar tidak akan diganggu. Penumpuan tenaga dan fikiran terhadap pembelajaran juga akan menjadi mudah. Keadaan ini tidak mendatangkan masalah kerana kajian yang pernah dibuat menunjukkan bahawa kecerdasan berfikir dan keupayaan membuat keputusan tidak terjejas berikutan dengan pengurangan waktu tidur yang dilakukan.

Tidur merupakan waktu rehat yang paling baik dalam persediaan menghadapi peperiksaan. Tetapi ramai pelajar membawa masalah pelajaran ke tempat tidur dan memikirkan pelbagai perkara tentang masalah ini. Akibatnya mereka mengalami gangguan tidur dan ada yang tidak dapat tidur langsung. Pada keesokan harinya, pelbagai perkara akan berlaku seperti berasa pening, tidak selesa dan tidak tenteram kerana ketegangan fikiran dan kelesuan tubuh badan. Ini boleh menjejaskan prestasi mereka pada hari peperiksaan. Sekiranya mereka terpaksa menghadapi peperiksaan pada hari itu, mungkin mereka tidak dapat berfikir dengan tenang seterusnya akan menjejaskan ketepatan jawapan yang diberikan.

5. Jangan mengambil sebarang ubat yang meragukan

Pengambilan sebarang ubat mengganggu sistem saraf dan menyebabkan keadaan menjadi tegang dan mudah terangsang. Anda tidak perlu lagi mengambil sebarang pil peransang atau ubat-ubatan yang diragukan kesahihannya untuk mencegah tidur. Dapatkan nasihat doktor sekiranya anda hendak mengambil pil-pil sedemikian. Jangan sesekali bertindak sendirian. Ini akan membahayakan anda.

Ubat peransang menyebabkan keletihan yang melampau. Ubat peransang sedemikian mematikan segala perasaan dan keinginan. Melalui ubat-ubat seperti ini, anda mungkin tidak dapat mengesan keletihan yang melampau secara terus. Ubat-ubat ini meransang anda untuk terus belajar tanpa rasa keletihan tetapi kesan yang bakal diterima menjadi lebih buruk setelah habis belajar.

Selain itu, elakkan juga dari meminum minuman berkafein seperti kopi atau teh yang berlebihan. Kesannya sama seperti memakan pil peransang yang menyebabkan kesan-kesan negatif seperti tangan menggeletar, tumpuan terjejas. Dalam keadaan yang tertentu mungkin menyebabkan lupa selain daripada kesan-kesan negatif yang lain. Seeloknya untuk mengawal rasa mengantuk, amalkan meminum lobak susu kerana ia akan mencergaskan lagi otak untuk berfikir.

6. Beri tumpuan lebih kepada bab yang penting

Dalam keadaan sebegini, anda hanya sempat mempelajari bahagian-bahagian yang penting sahaja. Jangan beri tumpuan berlebihan kepada bahagian-bahagian yang kurang penting. Cuba pilih lima atau enam isi penting daripada satu-satu bahagian dan tuliskan isi-isi penting ini di atas kertas dan cuba ingat serta hafalkan. Anda tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempelajari butir-butir yang kurang penting. Banyakkan membuat soalan-soalan tahun lepas yang sering keluar sebagai latihan dapat membantu anda menumpukan bahagian yang patut dipelajari terlebih dahulu. Cuba pilih soalan-soalan yang mesti dijawab dan sediakan sekuarng-kurangnya enam atau tujuh isi dari setiap soalan yang anda pilih.

Sumber : Tips belajar saat akhir

Seuntai kata untuk dirasa : Selamat menduduki peperiksaan!!! Masih ada masa untuk ulangkaji sehingga saat sebelum kaki melangkah ke dalam dewan peperiksaan.. =D

Sudah lupa atau masih ingat?

Boycott Israel Logic Pictures, Images and Photos

sto killing Pictures, Images and Photos

stop israel Pictures, Images and Photos

Seuntai kata untuk dirasa : Ain't remember??

Srikandi Islam : Rabiatul Adawiyah

بسم الله الرحمن الرحيم

PENGHUJUNG abad pertama Hijrah. Keadaan kota Basrah sudah jauh berubah dari sebelumnya. Penghuninya sudah menjadi pencinta-pencinta dunia dan segala harta kekayaan yang ada. Percampuran lelaki dan perempuan semakin berleluasa, sehingga muncullah pelbagai bidaah dan kemungkaran yang tidak pernah ada sebelumnya. Mereka berlumba-lumba mencari kemegahan duniawi sehingga tersebarlah kejahatan di serata pelosok kota Baghdad. Kekuatan iman mulai pudar dan orang-orang yang warak, qanaah dan hidup sederhana sudah hampir lenyap sama sekali.

Namun, Allah tetap memelihara agamanya dengan menghidupkan di kalangan mereka, orang-orang yang tidak terpesona dengan keindahan duniawi yang sementara. Mereka ini dipimpin oleh Allah menuju ke jalan-Nya dengan menjauhkan diri dari kesibukan urusan duniawi dan kemewahan hidup.

Maka tumbuhlah pondok-pondok sufi di sekeliling kota Basrah, bertaburan di kawasan-kawasan yang sunyi dan terpencil. Para penghuninya adalah para mukminin yang bertakwa, yang tidak punya apa-apa, mencari jalan mereka untuk mengasingkan diri dan menetap jauh-jauh dari manusia, dan mereka ini tidak dipedulikan.

Di sanalah, tinggal sepasang suami isteri yang sangat fakir. Si suami bekerja mendayung sampan, menyeberangkan manusia antara dua tebing Sungai Dajlah yang luas itu. Orangnya sangat bertakwa, terhindar sama sekali dari kecintaan terhadap mata benda dunia, sementara rohaninya meluap-luap dengan keimanan. Ia tidak pernah jemu beribadah kepada Tuhan, tidak pernah berhenti dari bertasbih kepada Allah, sehingga ia dikenali sebagai Al-Abid kerana begitu banyak sekali ibadahnya.

Seluruh masa siangnya digunakan sepenuhnya dengan kerja-kerja sampannya, manakala masa malamnya digunakan untuk munajat kepada Tuhan. Al-Abid yang fakir ini, meski mempunyai tiga orang anak perempuan, dan isterinya sedang sarat mengandung lagi, tidak pernah berasa kekurangan, sebaliknya sentiasa berasa cukup dengan rezeki yang sedikit itu. Ia sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmat-Nya sehingga tidak pernah hatinya cenderung kepada dunia dan tidak tamak untuk memilikinya.

Pada suatu malam yang hening dan gelap-gelita, bergemalah tangisan nyaring seorang bayi yang baru dilahirkan ke dunia. Al-Abid mengucap syukur kepada Allah. Diangkatnya bayi perempuan itu, lalu dinamakannya Rabi'ah. Namun, jauh di sudut hatinya, terguris sedikit kesedihan, kerana ia pernah menginginkan anak lelaki yang kelak dapat membantunya di waktu tuanya.

Pada tengah malam itu, ketika ingin merebahkan diri setelah penat bekerja seharian, tiba-tiba Al-Abid bermimpi didatangi Rasulullah s.a.w. Berkata Rasulullah kepadanya: “Jangan engkau berasa sedih, kerana anak perempuan yang baru dilahirkan tadi itu adalah seorang yang akan menjadi orang utama, yang nanti ramai di kalangan umatku akan mendapat syafaat daripadanya.”

Rabi'ah membesar di pondok kelahirannya itu, terpencil dari keluarga lainnya, dan acapkali menderita kelaparan disebabkan kemiskinan yang membelenggu. Di samping itulah tumbuh perasaan keimanan dan ketakwaan yang tinggi sekali. Ia telah mengambil pelajaran agamanya, sifat qanaah dan warak daripada ayahnya. Rohaninya mulai berkembang, dan dia amat gemar membaca al-Quran. Ia telah membaca dan menghafalnya dengan penuh khusyuk serta memahami maknanya dengan penuh yakin dan iman yang mendalam.

Sejak kecil, Rabi'ah sudah biasa menggantungkan semua harapannya kepada dirinya sendiri. Ia selalu diselaputi oleh perasaan sedih dan pilu kerana kemiskinan dan kepayahan hidup yang dilaluinya. Apatah lagi, dalam usia yang masih mentah, ia terpaksa menjalani kehidupan sebagai anak yatim apabila ayahnya meninggal dunia. Dan tidak lama kemudiannya, disusuli pula oleh ibunya. Hilanglah tempat berpaut Rabi'ah dan tiga kakaknya.

Mereka tetap tinggal di pondok yang kian usang itu, menempuh kehidupan yang penuh penderitaan dan sentiasa kelaparan. Masa siang mereka semuanya merupakan kepayahan dan penderitaan, dan malamnya pula merupakan ketakutan dan tangisan. Tiga orang kakaknya bekerja di kota dengan pendapatan yang tidak seberapa, manakala Adawiyah sendiri meneruskan usaha bapanya bekerja mendayung sampan. Sehingga dengan kerjanya itu, Rabi'ah dikenali oleh orang ramai dengan nama Rabi'ah Al-Adawiyah.

Rabi'ah sentiasa berasa sedih dan hiba, takut dan bimbang dalam meneruskan kehidupannya. Sehingga ada kalanya dia bertanya pada dirinya, mengapa dia tiada sebab untuk bersedih sedemikian rupa. Setiap hari, apabila ia kembali ke rumah, dia tenggelam dalam tangisannya yang panjang, dan ada kalanya terus-menerus menangis sepanjang malam tanpa sebab yang tertentu.

Sehinggalah tiba suatu masa, kota Basrah ditimpa kemarau dan kebuluran merata di mana-mana. Ramailah penduduk Basrah berhijrah meninggalkan kota itu, mencari tempat lain yang lebih subur dan kaya dengan rezeki. Antara kumpulan tersebut termasuklah ketiga-tiga orang kakak Rabi'ah.

Mereka telah berpecah, masing-masing menuju ke haluan masing-masing, dan meninggalkan Rabi'ah seorang diri. Sejak hari itu, Rabi'ah tidak pernah lagi melihat mereka, dan tidak pernah mendengar berita mereka, seolah-olah mereka semuanya telah meninggal dunia.

Dalam keadaan terkontang-kanting seorang diri, Rabi'ah telah diculik lalu dijual kepada seorang pedagang dengan harga hanya sebanyak enam dirham. Sejak hari itu, jadilah ia seorang hamba sahaya yang sering disiksa dan dihina dengan bermacam-macam kehinaan oleh tuannya. Namun Rabi'ah tetap menahan diri dengan bersabar dan melakukan segala kerja-kerja berat yang diperintahkan oleh tuannya.

Apabila tiba waktu malam, barulah Rabi'ah terlepas dari belenggu perhambaan, bahkan dari belenggu dunia seluruhnya. Ketika itulah ia tenggelam dalam alam rohani yang mutlak, tenggelam dalam fana kepada Tuhan, dengan sembahyang dan doanya yang tidak pernah putus. Begitulah yang berlaku terus-menerus sehingga beberapa lama.

Suatu malam, pedagang itu cuba mengintip untuk melihat apa yang sedang dilakukan oleh Rabi'ah. Maka ia berasa begitu terharu apabila melihat Rabi'ah sedang sembahyang, dan kemudian bermunajat kepada Tuhan.

“Wahai Tuhanku! Engkau telah mengetahui tentang hatiku yang ingin berbuat ketaatan kepada-Mu, dan cahaya hatiku untuk berbuat khidmat kepada-Mu. Kalaulah perkara itu terserah di dalam anganku sendiri, nescaya aku tidak akan berhenti sebentar pun daripada munajat kepada-Mu. Akan tetapi Engkau telah melepaskan aku di bawah rahmat seorang makhluk yang kasar dan zalim dari hamba-hamba-Mu.”

Mendengar kata-kata Rabi'ah itu, pedagang tersebut berasa gementar lalu berundur dari situ. Keesokan harinya, ia memanggil Rabi'ah lalu membebaskannya. Rabi'ah pun terlepas dari belenggu perhambaan, dan bebas memilih jalan hidupnya sendiri.

Sejak itu, ada perbezaan dalam riwayat hidupnya. Setengah riwayat mengatakan, dia terus menenggelamkan dirinya dalam lingkungan zikir kepada Allah dan bersemadi di dalamnya. Manakala setengah riwayat lain mengatakan, dia terpesong dalam lautan hawa nafsu dan terpalit dengan maksiat dan dosa. Kemudian barulah dia bertaubat dan kembali beribadah kepada Tuhan.

Waktu malamnya dihabiskan dengan bermunajat kepada Tuhan. Ia seringkali menangis, sehingga kalau diberi sesuatu, ia tidak mahu menerimanya dan mengatakan bahawa ia tidak berhajat kepada dunia. Beginilah antara munajatnya kepada Tuhan: “Ya Allah! Aku berlindung diri kepada Engkau dari segala yang ada, yang boleh memesongkan diriku daripada-Mu, dari segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dan Engkau!"

“Tuhanku! Bintang-bintang telah menjelma indah, mata-mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintu, dan setiap pencinta telah berpadu dengan orang yang dicintainya, dan inilah dudukku di hadapan-Mu!

“Tuhanku! Tiada kudengar kepada suara binatang yang mengaum, tiada kepada desiran pohon yang bergeser, tiada kepada derasan air yang mengalir, tiada kepada siulan burung yang bernyanyi, tiada kepada nikmatnya teduhan yang melindung, tiada kepada tiupan angin yang menyaman, tiada kepada dentuman guruh yang menakutkan, melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti kepada keesaan-Mu, dan menunjukkan bahawasanya tiada sesuatu yang menyamai-Mu!”

Rabi'ah dikatakan pernah meraung seraya berkata: “Demi kemuliaan-Mu dan kebesaran-Mu. Aku tidak akan tidur (lalai) daripada berkhidmat kepada-Mu di setiap malam dan siang, kecuali jika tidak sengaja, sehingga aku menemui-Mu.”

Ketika Imam Hassan al-Basri ingin melamarnya, Rabi'ah menolak dengan kata-katanya: “Perkahwinan itu memang perlu sekali bagi siapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tidak mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah untuk Tuhanku, dan di bawah perintah Tuhanku. Aku tiada mempunyai harga apa pun pada diriku.”

Di kala usianya mencapai 80 tahun, dan ketika menghadap kematian, ia memanggil pembantunya Abdah dan berkata kepadanya: “Wahai Abdah, Jangan kau menggangguku sesudah aku mati nanti, dan kapankanlah aku di dalam jubahku ini.”

Setelah Rabi'ah meninggal dunia, dia dikafankan oleh pembantunya dengan jubah guni itu, dan dilipatkan pada tubuhnya selendang sufinya. Rabiah telah dikebumikan di Baitul Maqdis pada tahun 135 Hijrah. Semoga Allah merahmatinya.

Sumber : Kisah Rabiatul Adawiyah

" Biar waktu yang akan membuktikan …
bahawa tiap langkah yang telah dipijakkan,
tiap titisan darah dan keringat yang telah dialirkan,
tiap jiwa yang telah melayang,
akan sampai pada satu keadaan …
di mana keadilan adalah nadinya,
kesejahteraan adalah nafasnya,
kebijaksanaan adalah sifatnya,
dan redha Sang Khalik adalah tujuannya. "
" Tuhanku, apa-apa saja yang hendak kau berikan kepadaku di dunia ini
maka berikanlah kepada musuh-musuh-Mu.
Serta apa-apa saja yang hendak kau berikan kepada ku di akhirat kelak,
maka berikanlah kepada sahabat-sahabat-Mu.
Sebab engkau saja cukuplah bagiku. "

(Rabiatul Adawiyah)

Sumber : Kata-kata hikmah Rabia'tul Adawiyah

Seuntai kata untuk dirasa : Aku cinta padaMu kerana dua sisi cinta, cintakan diriMu dan cinta kerana Engkau patut dicintai. Aku cinta akan diriMu, aku selalu mengingatiMu, bukan yang selainMu. (Madah Rabiatul Adawiyah)

2 yang harus selalu diingat

kata hikmah Pictures, Images and Photos
Seuntai kata untuk dirasa : Mungkin agak susah tapi cuba latih diri sehingga berjaya.. InsyaAllah boleh.. =)

Taqwa Pendinding Rohani


DALAM kehidupan, manusia sebagai hamba Allah sentiasa diuji dan diduga dengan pelbagai cabaran hidup. Ujian tidak sama, ada yang berbentuk kesusahan, kesenangan dan kekayaan. Semua harus dihadapi dengan penuh kesabaran agar kita tergolong di kalangan hamba Allah yang menuju ke jalan lurus dan diredai-Nya.

Ujian berbentuk kesusahan dan kesulitan sesetengahnya boleh dihadapi manusia dengan tabah dan sabar. Bagaimanapun, ujian dalam bentuk kesenangan dan kekayaan menjadikan manusia lupa dan lalai untuk mengingati Allah. Kedua-dua ujian dan dugaan ini adalah untuk menguji kesabaran sama ada manusia itu ingat atau lupa kepada Allah.

Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan berikan cubaan kepada mu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 155) Setiap manusia, khususnya orang beriman tidak akan terlepas daripada cubaan dan ujian Allah. Ada yang mampu menghadapinya dan ada yang tidak mampu menyebabkan dugaan penyakit rohani dan tekanan jiwa kepada seseorang.

Ujian dan cubaan kesenangan dan kekayaan juga untuk memperlihatkan manusia sama ada kekayaan harta dan wang ringgit itu digunakan ke jalan betul dan diredai Allah seperti berzakat, bersedekah dan menginfakkan harta kepada fakir miskin. Sebenarnya kesenangan dan kekayaan yang diberikan kepada seseorang adalah ujian untuk melihat sifat amanah seseorang menguruskan harta dan kekayaannya. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” (Riwayat at-Tirmizi) Hakikatnya, ujian dan dugaan adalah untuk membersihkan, mengangkat darjat, menghapus dosa, memperlihatkan kesabaran dan ketaatan seseorang kepada Allah. Ini juga akan membentuk peribadi seseorang agar tahan diuji dengan ujian hidup, melatih diri agar diri bertambah sabar, tabah dan berpendirian teguh bagi menghadapi musibah.

Seseorang manusia itu diuji dengan kesusahan dan kesengsaraan sesuai dengan kesanggupannya. Allah tidak membebankan seseorang itu dengan bebanan orang lain. Segala kesusahan dan kesengsaraan itu adalah untuk menguji kesabaran selama ujian itu. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 153) Oleh itu, orang beriman banyak menghadapi cubaan dan dugaan dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Segala-galanya haruslah ditempuh dengan sabar dan tabah tanpa putus asa, kecewa dan pantang menyerah kepada takdir Allah atau nasib semata-mata. Sebagai orang beriman, kita wajib berusaha, berdoa dan memohon petunjuk daripada-Nya.

Menurut tokoh Islam, Ibnu Jauzi, orang yang tidak mengerti akan menyangka bahawa rasa tertarik serta tabiat untuk cenderung kepada dunia yang sangat besar pengaruhnya dalam diri manusia. Sedangkan mengingati kehidupan akhirat dianggap masalah luar dan tabiat manusia itu sendiri. Kecenderungan daripada tabiat cinta kepada dunia bagai air mengalir secara semula jadi menuju muara. Hanya dengan cara menggugah kehendak jiwa dan sikap keras serta sabar mampu menguatkan kekuatan akal.

Daripada pandangan itu, jelaslah harta dan kekayaan dunia mempunyai pengaruh untuk menarik manusia mendapatkannya. Sedangkan semua itu jika tidak diurus dengan baik dan amanah, akan mendatangkan musibah seperti melakukan rasuah dan penyelewengan, suatu ujian daripada Allah kepada hamba-Nya. Hanya dengan kekuatan jiwa, amanah, sabar dan pemikiran yang sihat mampu menghindarkan manusia daripada ujian berkenaan.

Kekuatan rohani dan jiwa meliputi penghayatan agama adalah benteng penyakit rohani yang mampu menghindarkan gangguan kejiwaan ke atas perasaan seseorang yang dapat dilihat daripada rasa tidak tenteram, muram, pilu, sedih, cemas, gelisah, murung, susah hati, jiwa tidak tenteram yang menyebabkan hati dan diri tidak berdaya untuk mengatasi persoalan dihadapi. Semua ini akan mengganggu jasmani dan emosi seterusnya menyebabkan gangguan kepada seluruh tubuh.


Dalam hal ini, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim pun yang ditimpa gangguan seperti tusukan duri atau lebih berat daripadanya melainkan dengan ujian itu dihapuskan Allah perbuatan buruknya serta digugurkan dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daunnya.” (Riwayat Muttafaq’ alaih) Justeru, bagi mengelakkan penyakit rohani dan kegelisahan jiwa, jauhi sifat yang boleh merosakkan hati nurani. Antaranya hasad dengki, sombong, riak (bangga diri), mengumpat, zalim (kejam), berdusta, marah, mencaci, bakhil (kikir), mungkir janji, tidak amanah, cintakan dunia dan munafik (nifak).
Bagi merawat penyakit rohani dan kegelisahan jiwa secara keseluruhan, dekatkan diri dengan mengingati Allah, menunaikan solat, taubat, bermujahadah, muhasabah diri, muraqabah, takwa, amanah, sabar, qana’ah, warak, zuhud, tawaduk, istiqamah dan menjauhi makanan dan minuman yang haram.

Jadikan takwa sebagai pakaian dan perlindungan bagi menghindar hati dan diri daripada segala penyakit jiwa dan rohani. Perintah Allah supaya bertakwa bukan hanya untuk umat sekarang, malah kepada umat terdahulu. Apabila sesuatu umat itu dibekalkan dengan al-Quran dan kitab sebagai panduan, maka di situlah amalan takwa diperintahkan. Para rasul diperintahkan supaya menyeru manusia bertakwa dan mereka menjadi contoh dan ikutan dari segi amalan kepada umatnya. Lantaran itu, tiada sesuatu kebaikan di dunia atau di akhirat, sama ada kebaikan zahir atau batin, melainkan takwa yang menjadi perintis dan jalan ke arah mendekatkan kita kepada- Nya. Begitu juga sebaliknya, tiada sesuatu kejahatan zahir atau kejahatan batin, melainkan takwa yang menjadi pendinding melepaskan kita daripada bencana-Nya.

Dengan bertakwa kita terpelihara daripada tekanan hidup, rezeki sentiasa melimpah-ruah dan mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang amat mulia di antara kamu dalam pandangan Tuhan ialah orang yang lebih takwanya.” (Surah Al-Hujarat: 13) Dalam hal ini, kita wajar membersihkan hati daripada segala sifat kejahatan bagi mengelakkan penyakit rohani dan jiwa. Didiklah hati supaya sentiasa bersih dan berbicara lunak, sentiasa memohon pertolongan Allah, berbelas kasihan sesama insan, sentiasa memaafkan orang lain, menyegerakan taubat, memohon taufik untuk sentiasa beramal soleh, menghindari kejahatan, sabar dan reda menghadapi segala ujian dan dugaan-Nya.

Imam Malik pernah berkata: “Takwa kepada Allah, dan janganlah engkau padamkan cahaya takwa yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu dengan mengerjakan dosa.” Antara kebaikan takwa adalah penyertaan Tuhan dalam pemeliharaan diri kita, mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat, kekuatan keimanan yang dapat membuahkan amal soleh, dijanjikan akan dimasukkan ke dalam syurga Allah. Sesungguhnya, takwa dengan sebenar-benarnya akan menghindari segala ancaman penyakit rohani dan kegelisahan jiwa yang banyak menduga dan menguji manusia akhir zaman. Manusia yang sihat hati dan jiwanya dengan keimanan akan selamat di dunia dan akhirat.

Sumber : Harian Metro

Seuntai kata untuk dirasa : Taqwa dan iman penentu harga diri..

Allah Maha Perancang

Bersandar di suatu sudut surau, Humaira merenung jauh masa depannya. Bagaikan menggalas sebuah harapan besar, dia terduduk menangis sendirian. Khaulah menyedari mad'unya itu kelihatan bersedih sejak tiba di surau tadi. Khaulah menyentuh lembut bahu Humaira...

Khaulah : Mengapa bersedih adikku?

Humaira : Emm... Ayah dan ibu mahu ana jadi seorang doktor.

Khaulah : Jadi, mengapa berduka adikku? Bukankan doktor itu satu pekerjaan yang mulia, yang halal dan direhai-Nya?

Humaira : Ukhti, ana tak mahu jadi doktor. Ana mahu jadi penulis. Seorang penulis. Penulis yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Khaulah : SubhanAllah... Sebuah impian yang murni. Ana tak mampu menyusun kata-kata yang terbaik untuk memujuk hatimu. Tapi adikku, dengarkan ini...

  • Abu Manshur Al-Tsa'alibi bekerja menjahit kulit kijang, bagaimanapun cita-citanya tinggi sehingga beliau menjadi penyair dunia.
  • Al-Farra' bekerja sebagai tukang kulit, bagaimanapun beliau menjadi orang yang pakar dalam bidang nahu.
  • Ibn Zayyat pernah menjual minyak, bagaimanapun beliau akhirnya menjadi menteri.

Oleh itu, tidak mustahil hal ini akan terjadi, "Humaira bekerja sebagai doktor, bagaimanapun beliau menjadi penulis terkenal yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah."

Humaira :
Syukran ya ukhti...(Mengesat air matanya)

Khaulah : Afwan.. Usah bersedih lagi. Leraikan hiba. Pujuklah hatimu. Adikku ini seorang yang cerdas pemikirannya. Sudah tentu mengerti sekaligus memahami kata-kata sebentar tadi.

Humaira : Alhamdulillah...(terdiam sebentar) Ana sudah menghadam kata-kata ukhti... Ana yakin ana mampu menghadapinya.. Bukankan ukhti sering mengingatkan ...boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu;
Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui(Al-Baqarah:216)

Khaulah : Alhamdulillah...(tersenyum) Segala puji bagi Allah yang mengilhamkan ketaqwaan di dalam hati hamba-Nya.. Mari adikku...(memimpin tangan Humaira menuju ke jihat sebuah halaqah di tengah surau)


Seuntai kata untuk dirasa : Allah merupakan perancang yang terbaik untuk hamba-Nya...

Dia Lebih Mengerti

Seuntai kata untuk dirasa : Renungkan firman Allah ini... [Hanya sedikit di antara hamba-hamba Ku yang bersyukur (Surah Saba':13)]

Dia Maha Mengetahui


Bila engkau memandang segalanya dari Tuhanmu, yang mencipta segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuat keinginanmu terhalang, serta menyusahkan hidupmu, pasti akan damailah hatimu kerana masakan Allah sengaja untuk sesuatu yang sia-sia, bukan Allah tidak tahu derita hidupmu, retaknya hatimu, tapi mungkin itulah yang Allah mahukan kerana Allah tahu hati yang sebeginilah lebih mudah lunak dan mudah dekat dan akrab denganNya...

Seuntai kata untuk dirasa : Carilah hikmah di sebalik musibah.. Sesungguhnya ada jannah di sebalik musibah!

Duhai hati..


Duhai hati
usah kau tangisi
biarkan senyum membawa pergi
mengusir menukar ganti
hiba yang membelenggu diri
biarkan kedukaan pergi
usah kau merantai diri

Seuntai kata untuk dirasa : La tahzan innallaha ma'ana...

Related Posts with Thumbnails

Followers

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)
Solat dahulu, barulah selesaikan urusan lain. Selepas itu, Insya-Allah hati akan terasa lebih tenang untuk lakukan apa jua urusan kerana urusan dengan Allah telah kita selesaikan. =)

Hamba-Nya

My photo
Penang, Malaysia
Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah. Ya Allah kumengharap keredhaan-Mu. Kumenuju pada-Mu Ya Rabb. Pimpinlah daku. Amin Ya Rabb al-A'lamin...

Mutiara kata

...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(Al-Baqarah:216)

Perjuangan Secebis Jihad.. Terkadang meruntun hati, menguji rasa. Namun, setiap kegetiran yang melanda, renungkanlah kembali satu hakikat, kitalah mujahidah Allah. Senyum dan menangislah hanya kerana Dia.

Nota: Saya mengalu-alukan nasihat dan teguran membina daripada anda. Teguran dan nasihat anda amat bermakna untuk saya. Sekian, terima kasih. Jazakumullah khayran khateera. =)