Sinar Kehidupan

Hidup ialah Sebuah Perjuangan

Pelihara percakapan elak dosa mengumpat

mengumpat

Pelihara percakapan elak dosa mengumpat

Oleh : Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad

LIDAH adalah alat komunikasi penting dalam menjalin hubungan mesra antara masyarakat manusia di dunia. Ia juga untuk menyebar ilmu dan banyak lagi manfaat lain. Sebaliknya, lidah boleh jadi bahaya, kerana boleh digunakan untuk memecah belahkan masyarakat, memfitnah, mencaci, mengumpat dan sebagainya.

Justeru, Islam memberi perhatian serius terhadap penjagaan lidah. Peri pentingnya penjagaan lidah itu sehingga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa diam dia berjaya”(Hadis riwayat al-Tirmizi)

Pada waktu lain Baginda SAW memberi jaminan kepada orang yang sanggup menjaga lidahnya. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang boleh memberi jaminan kepadaku apa yang ada antara misai dan janggutnya dan apa yang ada antara dua pahanya, aku jamin baginya syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Al-Quran mengingatkan bahawa setiap ucapan yang diucapkan seseorang tidak akan terlepas daripada catatan malaikat-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf, ayat 18)

Antara keburukan lidah ialah bercakap perkara yang tidak berfaedah, tidak baik, mengucapkan kata keji, mencaci, mencarut, menghina, membuka rahsia orang, mengumpat dan perbuatan negatif lain yang tidak sepatutnya.

Mereka yang mengetahui nilai masa serta umur tidak akan membiarkan diri menggunakan lidah untuk berkata perkara tidak mendatangkan faedah, kemarahan orang lain atau menyebabkan perbalahan sesama manusia.

Diriwayatkan bahawa Luqmanul Hakim pernah ditanya: “Apa rahsia kebijaksanaanmu? Jawabnya: Aku tidak bercakap perkara yang tidak memberi faedah kepadaku. Kata Luqman lagi: Diam itu bijaksana, tetapi sedikit pelakunya.”

Sewajarnya lidah digunakan untuk memberitahu atau mengajak orang lain kepada kebaikan dengan memberi nasihat serta menegur sahabat jika mereka melakukan perkara mungkar supaya segera kembali ke pangkal jalan.

Sebaliknya, mengeji, mencaci dan mencarut adalah perkara yang dilarang Islam dan mereka yang melakukan perkara itu dengan lidahnya wajib bertaubat serta memohon maaf kepada mereka yang disakitinya.

Selain itu, menghina orang lain termasuk keburukan lidah yang patut dijauhi, kerana ia boleh merosakkan hubungan mesra dan harmoni antara anggota masyarakat. Paling buruk tindakan lidah ini dalam konteks Islam ialah mengumpat.

Allah Taala mengumpamakan pengumpat itu sebagai pemakan daging saudaranya yang sudah mati. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu berasa jijik kepadanya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Mengumpat ialah menyebut di belakang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya, sama ada kekurangan itu pada fizikalnya, keturunannya, peri lakunya, pakaiannya atau sebagainya.

Berdasarkan pengertian ini, jika kita tidak menjaga betul-betul lidah, maka rata-rata kita tidak terlepas daripada dosa mengumpat. Pada hal dosa itu tidak akan diampun Allah jika tuannya tidak memaafkannya lebih dulu.

Umumnya masyarakat kita kurang memberi perhatian serius terhadap amalan mengumpat yang kesannya akan menyebabkan berlaku pergaduhan, saling tuduh menuduh dan memburukkan orang lain dengan perkara mengaibkan.

Namun, ulama menyenaraikan beberapa kelonggaran yang mengizinkan kita menyebut kekurangan orang lain di belakangnya iaitu tidak dikira dosa. Ia termasuk beberapa keadaan berikut:

§ Apabila seseorang itu dizalimi, maka dia dibolehkan menceritakan kezaliman ke atasnya kepada pihak yang bertanggungjawab;

§ Apabila hendak mendapat fatwa atau mengetahui hukum sesuatu;

§ Apabila ingin memberi peringatan kepada orang lain;

§ Apabila seseorang itu dikenali dengan gelaran itu secara menyeluruh; dan

§ Apabila ia terkenal dengan jahatnya.

Seuntai kata untuk dirasa : Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Sabda Rasulullah S. A. W. bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Semoga kita semua terpelihara daripada dosa mengumpat.. Adakalanya diam itu lebih baik daripada berkata-kata.. Sahabat.. selalu ingatkan saya ya!

Isu Penggunaan Kalimah Allah

Lets take a look, read, think and understand…

Ustaz Hasrizal

http://saifulislam.com/?p=7371

Ustaz Zaharuddin

http://www.zaharuddin.net/content/view/900/72/

http://www.zaharuddin.net/content/view/902/72/

Dr Asri

http://drmaza.com/home/?p=566

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

http://www.ahlidarussyifa.org/index.php?option=com_content&view=article&id=336:penjelasan-isu-orang-kristien-menggunakan-kalimah-allah&catid=908:umum

Hamka

http://keretamayat.blogspot.com/2010/01/isu-nama-allah-setuju-tak.html

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/2010/01/isu-kalimah-allah-allah-for-all.html

Seuntai kata untuk dirasa : “When the student is ready, the teacher will appear. Knowledge is understanding that tomato is a fruit. Wisdom is not to put it in a fruit salad.”



Facebook?

Hukum Sertai Facebook

Oleh : Ustaz Zaharuddin


SAYA ditanya soalan: “Ustaz, syubhahkah menyertai Facebook? Saya terbaca artikel yang menyatakan pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan Facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?”


Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak juga ditulis oleh pelbagai individu di forum juga blog. Dalam menentukan keputusan dan hukum menyertai Facebook, menurut pendapat saya, ada beberapa isu yang perlu diperhati:

1. Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi?

Kesimpulannya, dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, mengguna pakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal. Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis sahih berurusan dan membuat transaksi jual beli juga cagaran dengan seorang Yahudi iaitu: “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda.” ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841).

2. Apa maksud penyoal dengan ayat 'menyumbang kepada bangsa Yahudi'? Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah SAW dan sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi di Madinah. Cuma persoalannya adakah ia bermaksud menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis? Sejauh mana kebenaran dakwaan itu? Adakah sebarang bukti jelas atau hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?

3. Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin?
Begini, jika ternyata daripada sumber yang sahih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang hasil pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama. Dalam konteks Facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang membantah Facebook tidak menyertakan bukti jelas berkaitan hal itu. Semuanya membuat andaian itu dan ini sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar mengajak kita untuk berhati-hati dan peka. Malah majoriti pengguna Facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat itu kecuali yang menyertai skim ditawarkan (ini memerlukan perbincangan berasingan).

Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum, boleh saya katakan, kajian sudah dibuat dan kami gagal menemui bukti untuk menyokong andaian pihak yang membuat andaian. Jika dikatakan: “Bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pengurusan Facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap,” maka jawapannya, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama itu. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak ia mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara juga aktiviti lain.

Ini kerana, larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam iaitu yang beragama Hindu, Kristian, Buddha dan sebagainya. Penjual terbabit juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap, akhirnya, kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri hingga bermusuh dengan semua tanpa bukti jelas. Oleh itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukumnya adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun Facebook. Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syubhah di ketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian satu persatu.

4. Hak peribadi pengguna Facebook dijajah?
Ini mungkin ada benarnya, selepas saya menghabiskan bacaan polisi hak peribadi yang terkandung di dalam web Facebook, ia memberi gambaran bahawa gambar, maklumat dan segala yang terkandung di dalam Facebook kita boleh wujud juga di akaun Facebook orang lain yang dikongsi dan saya yakin pihak Facebook juga mempunyai simpanan data terbabit. Walaupun begitu, ia sekali lagi tidak cukup kuat untuk sampai menjadikan penggunaan Facebook sebagai haram. Apa yang perlu adalah kawalan dan had

KESIMPULAN
Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut:

1. Hukum membuka akaun dan menggunakan Facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika Syarikat dan lainnya.

2. Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka dinasihatkan TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna Facebook supaya sentiasa berhati-hati namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram.

3. Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan:

a. Memanipulasi akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c. Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had kerana ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat, kerana ia akan kekal di Facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook itu sendiri.

d. Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e. Tidak terbabit dengan permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

f. Tidak mempercayai tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

g. Menyedari bahawa maklumat kita di Facebook boleh menjadi pangkalan data pihak asing untuk memantau kehidupan dan maklumat peribadi kita jika tidak dikawal. Pangkalan data sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana Facebook. Hatta, parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu terkini sebagaimana Facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan. Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna Facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Jika terdapat unsur syubhah sekalipun, ia diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui Facebook itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/HukumsertaiFacebook/Article/index_html




Seuntai kata untuk dirasa : Ada beberapa sahabat yang bertanya mengenai Facebook.. Jadi, saya harap ‘posting’ ini bermanfaat untuk yang sering tertanya-tanya mengenai laman sosial ini.. Fikirkan... Renungkan… =)


Related Posts with Thumbnails

Followers

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)

Solat dahulu ya! (◠‿◠✿)
Solat dahulu, barulah selesaikan urusan lain. Selepas itu, Insya-Allah hati akan terasa lebih tenang untuk lakukan apa jua urusan kerana urusan dengan Allah telah kita selesaikan. =)

Hamba-Nya

My photo
Penang, Malaysia
Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah. Ya Allah kumengharap keredhaan-Mu. Kumenuju pada-Mu Ya Rabb. Pimpinlah daku. Amin Ya Rabb al-A'lamin...

Mutiara kata

...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.(Al-Baqarah:216)

Perjuangan Secebis Jihad.. Terkadang meruntun hati, menguji rasa. Namun, setiap kegetiran yang melanda, renungkanlah kembali satu hakikat, kitalah mujahidah Allah. Senyum dan menangislah hanya kerana Dia.

Nota: Saya mengalu-alukan nasihat dan teguran membina daripada anda. Teguran dan nasihat anda amat bermakna untuk saya. Sekian, terima kasih. Jazakumullah khayran khateera. =)